11.03.2012, Ahad - Ini adalah makam Isteri Pertama kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Tuanku Almu'tasimu Billahi Muhibbuddin Tuanku Alhaj Abdul Halim Mu'adzam Shah ibni Almarhum Sultan Badlishah. Almarhumah Tuanku Hajjah Bahiyah adalah kerabat diraja Negeri sembilan dan Puteri kepada Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan dan juga merupakan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang Pertama iaitu Almarhum Tuanku Abdul Rahman Ibni Tuanku Muhammad. Bonda Almarhumah Hajjah Bahiyah adalah Tunku Ampuan Negeri Sembilan dan juga merupakan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Pertama, Almarhumah Tuanku Kurshiah binti Almarhum Tunku Besar Burhanuddin.
Tuanku Abdul Halim menghawini Almarhumah Hajjah Bahiyah pada 09 Mac 1956 di Seri Menanti, Negeri Sembilan dan ditabalkan sebagai Sultanah Kedah pada 20.02.1959 kemudiannya menduduki singahsana negara sebagai Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong ke-5 pada 21.09.1970 untuk tempoh lima tahun. Hasil daripada perkahwinan ini baginda berdua dikurniakan dengan seorang puteri iaitu Tunku Panglima Besar Kedah YTM Dato' Seri Diraja Tunku Puteri Intan Shafinaz pada 22.07.1966 setelah 10 tahun mendirikan rumahtangga. Sebelum itu, Almarhumah mempunyai dua orang anakanda angkat kembar dari keluarga diraja Kedah iaitu Almarhumah YTM Tunku Sarina dan YTM Dato' Seri Diraja Tunku Soraya.
Almarhumah diputerikan pada 24.04.1930 dan mangkat pada 26.08.2003 dalam usia 73 tahun di Istana Kuala Cegar, Alor Star, Kedah kerana mengidap kanser. Almarhumah dimakamkan di Makam Diraja Kedah, Langgar dengan penuh adat istiadat diraja Kedah. Semasa hayatnya Almarhumah merupakan salah seorang Permaisuri yang sering mendapat perhatian umum kerana memiliki kecantikan semulajadi yang unik. Al-Fatihah kepada Almarhumah Tuanku Hajjah Bahiyah binti Almarhum Tuanku Abdul Rahman Semuga Rohnya Ditempatkan Bersama-Sama Orang-Orang Yang Beriman dan Beramal Solleh. AMIN.
Sumber : Gambar dari Tunku Shah
No comments:
Post a Comment