Monday, January 16, 2012

Sultan Perak Lancarkan Buku Selvamany : More Than a Teacher

16.01.2012, Isnin - Semalam Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Azlan Muhibbuddin Shah ibni Almarhum Sultan Yussuf Izzuddin Shah Ghafarullahu-lah telah berkenan melancarkan buku biografi "Selvamany : More Than a Teacher". Majlis diadakan di Hotel Royale of Chulan, Kuala Lumpur. Cikgu Selvamany atau Datuk Seri N.S. Selvamany berusia 86 tahun telah mengabdikan hidupnya selama 20 tahun sebagai pendidik. Bermula pada tahun 1952 beliau mengajar di Sekolah Menengah Anderson, Ipoh Perak dan terkenal bukan sahaja sebagai pendidik yang berdidikasi tetapi mengambil berat aspek kesihatan dan kebajikan murid-murid dan digambarkan oleh anak-anak muridnya sebagai bukan sekadar seorang guru tetapi seorang sahabat.

Buku setebal 280 muka surat ini menceritakan secara terperinci pengalaman pahit manis Selvamany sebagai pendidik. Buku ini diterbitkan oleh bekas pelajar beliau yang juga merupakan karyawan tamu Universiti Kebangsaan Malaysia dan bekas professor di Jabatan Antropologi Universiti Malaya, Dr. Rokiah Talib. Selvamany juga merupakan rakan sekolah Tuanku Azlan semasa di Sekolah Inggeris Kerajaan Batu Gajah yang sekarang ini dikenali sebagai Sekolah Sultan Yussuf. Beliau juga merupakan tokoh Guru Perak 1996 dan Tokoh Guru peringkat kebangsaan 1997.

Tuanku Azlan dalam kata aluan dibuku tersebut menyatakan :-

Ia satu penghargaan daripada sekumpulan pelajar Sekolah Anderson (yang turut disokong oleh rakan lain disekolah yang sama, Sekolah Menengah Idris Shah dan Sekolah Menengah Seri Teja, Gopeng) yang percaya guru mereka itu memberi kesan besar terhadap kehidupan mereka menghadapi cabaran dunia moden.

Selvamany dilihat mewarisi pengaruh datuk beliau (Malaiperumal Pillay yang mengasaskan Sekolah Sultan Yussuf) yang begitu berminat terhadap bidang pendidikan.

Sebenarnya beliau merupakan seorang guru berbakat menggambarkan kemuliaan profesion perguruan dan lebih daripada itu beliau mengangap semua anak muridnya seperti anaknya sendiri.

Salah seorang anak didiknya adalah Tengku Razaleigh Hamzah yang merupakan seorang Kerabat Diraja Kelantan dan Ahli Parlimen Gua Musang. Didalam buku biografi berkenaan, Tengku menyifatkan Selvamany sebagai seorang yang penyayang dan amat mengambil berat terhadap permasalahan pelajar-pelajarnya. Menurut Tengku, Silvamany tidak pernah berlaku kasar terhadap pelajarnya malah menambat hati pelajarnya dengan kasih sayang, keihklasan dan sikap mengambil berat yang tulus. Selvasamy melayan mereka sebagai sahabat bukan pelajar.

Turut berangkat sama dalam majlis ini adalah DYMM Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan, DYTM Raja Muda Perak Darul Ridzuan dan isteri, DYTM Raja Puan Besar Perak Darul Ridzuan. Turut serta adalah bekas-bekas pelajar beliau diantaranya Tengku Razaleigh Hamzah dan Datuk Seri Mohd Annuar Zaini, bekas Pengerusi Bernama.

Sumber : Bernama / Utusan Malaysia

No comments: