Monday, January 9, 2012

Pengisytiharan Che Puan Kedah Hajah Haminah sebagai Sultanah Kedah

09.01.2012, Isnin - Pada hari ini dalam tahun 2004, Che Puan Kedah Hajah Haminah binti Haji Hamidun telah dimasyhurkan sebagai Sultanah Kedah dalam satu majlis penuh adat istiadat diraja yang berlangsung di Balai Penghadapan, Istana Anak Bukit, Alor Setar, Kedah. Istiadat pemasyhuran ini dimulakan dengan bacaan selawat dan paluan nobat mengiringi keberangkatan masuk Sultan Kedah, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al-Sultan Almu'tasimu Billahi Muhibbuddin Tuanku Alhaj Abdul Halim Mu'adzam Shah ibni Almarhum Sultan Badli Shah dan Che Puan Hajah Haminah binti Haji Hamidun ke dewan penghadapan dan diikuti dengan perarakan membawa masuk alat-alat kebesaran diraja. Watikah pemasyhuran telah dibacakan oleh Menteri Besar, YAB Datuk Seri Syed Razak Syed Zain yang diikuti dengan istiadat memakaikan mahkota kebesaran oleh Sultan kepada Che Puan Kedah.

Upacara itu melayakkan Che Puan Kedah menggunakan gelaran Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultanah Kedah Darul Aman. Baginda Sultan kemudiannya berkenan mengurniakan Darjah Kebesaran (DK) kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultanah Hajah Haminah binti Haji Hamidun. Serentak itu tembakan meriam dilepaskan menandakan istiadat telah disempurnakan. Istiadat diakhiri dengan bacaan doa oleh Mufti Kedah, Datuk Sheikh Hasbullah Abd. Halim. Istiadat pemasyhuran ini diadakan berikutan kemangkatan Sultanah yang lepas, Almarhumah Tuanku Bahiyah binti Almarhum Tuanku Abdul Rahman pada 26 Ogos 2003. Berangkat sama pada majlis bersejarah ini ialah Raja Muda dan Raja Puan Muda Kedah, putera-puteri, kerabat-kerabat diraja.

Sumber : Arkib Negara

No comments: