Hari ini Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang, Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah ibni Almarhum Sultan Abu Bakar Ri'ayatuddin Al-Mu'adzam Shah telah berkenan meluangkan masa selam dua jam menziarahi keluarga empat pemancing yang dilaporkan hilang selepas berlepas dari Jeti Sungai Kuantan dengan menaiki bot gentian kaca fiber pada 20 Februari lepas. Mereka yang terlibat adalah Baheruzaman Yusof (40 tahun), Ayzzat Rahmat Yaakop (40 tahun), Rahmat Chik (50 tahun) dan Karim Zakaria (41 tahun). Tuanku Sultan Ahmad Shah menitahkan agar Jabatan Kebajikan Masyarakat memberikan bantuan sewajarnya kepada keluarga mangsa-mangsa yang terlibat. Baginda juga telah menitahkan agar Penghulu kawasan berkenaan memberi perhatian sewajarnya kepada keluarga terlibat.
Diantara titah baginda :-
- Saya baca surat khabar, sepatutnya dia (mangsa) tak pergi hari tu, tetapi tergerak nak pergi juga keluar 6.45 petang ........ dah gelap.
- Kesedihan yang ditanggung lebih besar pada isteri-isteri (mangsa). Saya berdoa mudah-mudahan Allah akan tentukan kehidupan anak-anak mereka terpelihara dengan baik.
Baginda juga turut mengucapkan terima kasih kepada pihak polis, Agensi Pengangkutan Maritim Malaysia (APMM), tentera laut dan tentera udara atas bantuan yang diberikan untuk mengesan kedudukan mangsa yang hilang. Ketua Penguatkuasa APMM, Laksamana Pertama Maritim Datuk Nasir Adam memaklumkan bahawa operasi mencari dan menyelamat akan diteruskan hingga Ahad ini. Kebiasaannya usaha mencari mangsa yang hilang dilaut akan mengambil masa empat hingga tujuh hari sahaja, walau bagaimanapun jika terdapat petunjuk baru, operasi akan dilanjutkan lagi. Tambah beliau lagi usaha mencari telah diperluaskan sehingga ke Tanjung Gemuk, Rompin. Keadaan laut yang bergelora sekarang ini merupakan faktor utama yang menghalang usaha pencarian mangsa yang hilang.
Marilah kita bersama-sama berdoa agar mangsa-mangsa yang hilang ini selamat dan dijumpai dengan segera. Kepada keluarga mangsa, Syah berharap agar mereka bersabar dan tabah menghadapi dugaan ini.
Sumber:- Bernama
No comments:
Post a Comment