Saturday, March 2, 2013

Dua Anggota Keselamatan Negara Kita Terkorban Angkara Serangan Penceroboh Yang Diketuai Oleh Adik Sultan Sulu

Dari Kanan :- Inspektor Zulkifli bin Mamat berasal dari Kg Kubang Ikan, Tembila, Besut merupakan anak ke-3 daripada 5 orang adik beradik dan merupakan anak kepada seorang ibu tunggal, Khadijah bt Ismail (64 tahun). Isteri Allahyarham, Noraziah bt Nor, merupakan seorang guru dan mereka mempunyai 2 orang anak lelaki berumur 5 dan 1 tahun serta sedang hamil anak yang ke-3. Manakala Allahyarham Kopral Sabaruddin bin Daud mempunyai 6 org adik beradik. Beliau berasal dari Sabak Bernam, Selangor telah meninggalkan seorang balu, Puan Nurul Nisah bt Abu dan 3 org anak yang berusia 19, 17 dan 13 tahun. 

03 Mac 2012, Sabtu  :- 

Inilah dia dua wira negara kita yang telah gugur dalam mempertahankan kedaulatan negara daripada dicerobohi oleh kumpulan penceroboh yang diketuai oleh adik Sultan Sulu, Sultan Jamalul Kiram III, Agbimuddin Kiram dari Selatan Filipina yang telah menceroboh negara kita pada 09 Februari lepas dan berkubu di Felda Sahabat 17 di Tungku, Kampung Tanduo, Daerah Lahat Datu di Sabah. Anggota polis komando VAT 69 yang terkorban selepas terkena serangan mortar pagi semalam adalah Inspektor Zulkifli bin Mamat berusia 29 tahun dan Koperal Sabaruddin bin Daud berusia 47 tahun.  Jenazah dua anggota polis komando VAT 69 ini dijadualkan tiba di Pengkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang pada pagi ini jam 09:00hrs.  Jenazah telah disolatkan di Masjid Batalion 17 Pasukan Gerakan Am sebelum diterbangkan ke Semenanjung Malaysia. Allahyarham Inspektor Zulkifli akan disemadikan di Tanah Perkuburan Gong Bayor, Tembila, Besut, Terengganu manakala Koperal Sabaruddin akan disemadikan Parit 1, Sungai Besar, Sabak Bernam, Selangor.

Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam kenyataannya semalam memaklumkan bahawa kumpulan  penceroboh telah memulakan dahulu serangan terhadap pasukan keselamatan negara kita  apabila mereka mara 1.5km dari tempat mereka berkampung sebelum ini. Datuk Seri Najib Tun Razak juga mengesahkan dua anggota keselamatan Malaysia telah terbunuh dan tiga lagi cedera dalam pertempuran ini manakala 10 hingga 12 anggota penceroboh telah terbunuh. Beliau juga menzahirkan rasa kesalnya kerana telah berlaku insiden pertumpahan darah dan mengakibatkan negara kehilangan dua anggota keselamatan.

Menurut Datuk Seri Najib Tun Razak lagi, beliau telah memberikan mandat kepada Ketua Polis Negara dan Panglima Angkatan Tentera untuk mengambil sebarang tindakan terhadap penceroboh negara kita dan tiada kompromi lagi. Ini bermakna pihak Polis dan Tentera telah diberikan kuasa untuk mengambil tindakan mengikut budi bicara mereka. Datuk Seri Najib juga memberi amaran kepada penceroboh samada mereka menyerah diri atau berhadapan dengan sebarang tindakan hasil daripada perbuatan mereka menceroboh negara kita.  Tambah beliau lagi, pasukan tentera laut telah mempertingkatkan tahap keselamatan di perairan negara bagi mengelakkan kumpulan penceroboh ini terlepas keluar dan melarikan diri. 

Anggota-anggota keselamatan kita yang tercedera adalah Kopral Mohd Tarmizi Hashim berusia 32 tahun, Kopral Azman Ampong berusia 39 tahun dan Konstable Mohamad Qaiyum'aiqal Zolkifli berusia 22 tahun.

Ucapan takziah Syah ucapkan kepada keluarga Allahyarham Inspektor Zulkifli dan Allahyarham Koperal Sabaruddin agar kalian semua tabah menghadapi dugaan ini dan kita semua telah kehilangan dua butir permata yang berharga demi menyelamatkan marwah bangsa dan negara Malaysia. Keluarga Allahyarham harus berbangga kerana Allahyarham Inspektor Zulkifli dan Allahyarham Koperal Sabaruddin telah Mati Syahid kerana mempertahankan negara.

Al-Fatihah :-
Semuga Roh Allahyarham Inspektor Zulkifli bin Mamat dan Allahyarham Koperal Sabaruddin bin Daud ditempatkan bersama-sama orang-orang yang beriman dan beramal solleh. Amin

Sumber :- Bernama

1 comment:

Anonymous said...

Al-Fatihah