Thursday, March 7, 2013

Sultan Brunei Berangkat Ke Kem Latihan Projek Rintis Ketiga PKBN


Kelihatan Tuanku Sultan Brunei berkenan mencuba salah satu peralatan yang digunakan semasa Latihan Projek Rintis Ketiga Program Khidmat Bakti Negara.

07 Mac 2013, Khamis :-

Semalam Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah berkenan  berangkat ke Kem Latihan Projek Rintis Ketiga Program Khidmat Bakti Negara (PKBN) di Perkampungan Sukan, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah di  Berakas.  Keberangkatan tiba Tuanku Sultan dan rombongan disambut oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, YB Pehin Orang Kaya Pekerma Laila Diraja Dato Seri Setia Awang Haji Hazair bin Haji Abdullah.
Majlis dimulakan dengan Hormat Diraja dan diikuti dengan nyanyian lagu 'Allah Peliharakan Sultan' iaitu lagu kebangsaan Negara Brunei.  Tuanku Sultan kemudiannya memeriksa Perbarisan Kawalan Kehormatan para Perintis Ketiga PKBN yang terdiri daripada 129 orang pelatih lelaki dan 70 orang pelatih perempuan. Upacara diteruskan dengan beberapa persembahan daripada para pelatih seperti Sorak PKBN, nyanyian lagu 'Sedia Berbakti', Persembahan Kawad, Persembahan Seni Mempertahankan Diri dan Persembahan Latihan Jasmani. Sebelum berangkat meninggalkan padang kawad, doa selamat dibacakan oleh Ketua Guru Ugama PKBN, Awang Haji Abdul Afiq bin Zainudin, disusuli dengan tabik hormat diraja dan diikuti dengan lagu kebangsaan 'Allah Peliharakan Sultan'.
Baginda kemudian berkenan berangkat melawat  Arena Paintball untuk menyaksikan secara dekat aktiviti yang dijalankan sebelum menyaksikan pameran PKBN yang berkisar mengenai sejarah Projek Rintis PKBN dan tayangan video.  Tuanku Sultan kemudiannya berangkat  melawat asrama lelaki dan perempuan sambil menyaksikan persembahan dan bengkel-bengkel keusahawanan, keagamaan, MIB, kebudayaan di samping menyaksikan aktiviti keagamaan di surau perempuan dan juga bengkel-bengkel yang dikendalikan oleh agensi-agensi yang terlibat.
Tuanku Sultan juga telah berkenan menyaksikan latihan merempuh halangan yang dipersembahkan oleh para pelatih. Tuanku Sultan juga telah berkenan menghadiri Majlis Santapan Tengahari (makan tengahari) bersama para Pelatih Rintis Ketiga PKBN, para jemputan dan para pegawai serta kakitangan yang menjayakan program berkenaan. Baginda juga telah menandatangani Buku Lembaran Kenangan Projek Rintis Ketiga PKBN sebelum sesi ramah mesra bersama para pelatih.  Sebelum berangkat meninggalkan majlis Tuanku Sultan telah berkenan bergambar bersama-sama para pelatih sebagai kenang-kenangan.

Sumber :- Pelitabrunei

No comments: