Saturday, March 23, 2013

Siam Sahkan Perlantikan Sultan Abdul Hamid Halim Shah Sebagai Sultan Kedah

23 Mac 2013, Sabtu :-

Hari ini 23 Mac dalam tahun 1882, Duli Yang Maha Mulia Sultan Abdul Hamid Halim Shah ibni Almarhum Sultan Ahmad Tajuddin Mukaram Shah telah disahkan perlantikan baginda sebagai pemerintah Kedah oleh Kerajaan Siam. Pengesahan ini mengambil masa selama 5 tahun kerana terdapatnya perselisihan faham dan perebutan kuasa  di Kedah.  Perbalahan berlaku apabila Tengku (Tunku) Kudin atau Tunku  Dhiauddin ibni Almarhum Sultan Zainal Rashid yang cuba menaikkan menantu beliau, Tunku Kassim sebagai Sultan Kedah dengan mengenepikan Raja Muda Tunku Abdul Hamid. Cadangan ini telah ditentang oleh Tunku Yaakob, Wan Muhammad Saman dan Wan Hajar yang menyokong Tunku Abdul Hamid untuk ditabalkan sebagai Sultan Kedah.

Tujuan utama Tunku Kudin mahu melantik menantunya sebagai Sultan Kedah adalah untuk memudahkan proses perlantikan beliau untuk menjadi Sultan Kedah satu hari nanti. Sebenarnya Tunku Kudin pernah dilantik sebagai Raja Muda Kedah pada September 1859 semasa pemerintahan kekandanya DYMM Sultan Ahmad Tajuddin III.  Walau bagaimanapun, beliau yang merupakan menantu kepada Sultan Selangor, Duli Yang Maha Mulia Sultan Abdul Samad ibni Almarhum Raja Abdullah telah dilucutkan daripada jawatan Raja Muda Kedah pada tahun 1873 atas alasan terlibat dalam Perang Saudara yang berlaku di Selangor. 

Dengan perlantikan Tunku Abdul Hamid sebagai Sultan Kedah, krisis perebutan tahta yang boleh mencetuskan perang saudara ini telah dapat diatasi.  Pihak Siam juga telah menolak permintaan Tunku Kudin yang mahukan sebuah daerah untuk diperintah.  Perlantikan DYMM Sultan Abdul Hamid Halim Shah sebagai Sultan Kedah pada 1882 ini telah memulakan satu era baru dalam sejarah Kedah dan akhirnya baginda dikenali sebagai Pengasas Kedah Moden. DYMM Sultan Abdul Hamid Halim Shah merupakan Ayahanda kepada Bapa Kemerdekaan Negara kita iaitu Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj.  DYMM Sultan Abdul Hamid Halim Shah juga merupakan Nenda kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Almu'tasimu Billahi Muhibuddin Tuanku Alhaj Abdul Halim Mu'adzam Shah ibni Almarhum Sultan Badlishah.

Anda perasan tak suatu perkara berhubung gambar DYMM Sultan Abdul Hamid Halim Shah ini. Kebanyakan kedai-kedai atau penjaja di pasar malam umpamanya menyimpan gambar baginda dan bila Syah bertanya kepada beberapa orang mengapa gambar baginda diletakkan di premis perniagaan mereka, mereka maklumkan kepada Syah ianya sebagai  "PELARIS" ............ Wallahualam bissawab.

Sumber :- Arkib Negara /MBS

3 comments:

Skudal said...

mungkin pasal kat mahkota dia ada bulu burung cenderawasih....

Anonymous said...

Berkenaan Gambar Sultan Abd Hamid ni janganlah kita sampai terjadi syirik plak..! tetapi ada keistimewaannya dengan gambar tersebut.Sultan Abd Hamid, Beliau Sultan yang warak alim bab ilmu agama dan Sultan dulu dulu ada daulah tersendiri termasuklah Sultan Abd Hamid,Kita renongkan,cuba sejenak kita imbas dewan mensyuarat majlis raja raja dulu dulu kerusinya masih lagi ada yang kosong, Knapa...?
Jeng.....Jeng....1001 Rahsia. ikutilah Leave Your Comment akan Datang....Pelik Tapi Benar terjadi.kuasa tuhan,

Anonymous said...

Syirik sesiapa yang letakkan gambar foto Almarhum Sultan Abdul Hamid ini sebagai pelaris di premis2 /kedai makan, dll...
Berdosa besar menyukutukan Allah!