29 Januari 2013, Selasa :-
Hari ini Sultan Johor, Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim ibni Almarhum Sultan Iskandar telah berkenan merasmikan ibu Pejabat Polis Kulaijaya. Turut mengiringi Tuanku Ibrahim adalah isteri baginda, Duli yang Maha Mulia Raja Zarith Sofiah binti Almarhum Sultan Idris Shah,Tunku Mahkota Johor DYAM Tunku Ismail ibni Sultan Ibrahim, Tunku Temenggong Johor YAM Tunku Idris Iskandar dan YAM Tunku Tun Aminah. Dalam titah baginda, Tuanku Ibrahim membidas tindakan sesetengah pihak yang menggangap Polis Diraja Malaysia tidak boleh dipercayai sebagai tidak masuk akal dan melampau. Tambah baginda lagi, ada penjenayah yang meninggalkan negara kerana takut berhadapan dengan tindakan undang-undang dan kemudiannya membuat tomahan dan memburukkan negara sendiri.
Diantara titah baginda :-
"Tindakan itu hanya akan dilakukan penjenayah yang bersalah sahaja dengan memutar belit fakta selain menyalahkan undang-undang bagi mengelak diri mereka daripada dihukum".
"Manusia berlidah biawak seperti ini adalah pengkhianat kepada negara. Jika mereka berkata benar, buktikanlah kebenarannya dan jangan terus menjadi pengecut, ibarat melontar batu sembunyi tangan".
Titah baginda lagi, Malaysia adalah negara berdaulat dan mempunyai undang-undang yang digubal rapi serta semua tindakan yang diambil pihak berkuasa mengikut peruntukan yang ditetapkan. Tambah baginda lagi, latihan dan ilmu pengetahuan yang diberi kepada anggota polis semasa menjalani latihan sudah cukup untuk mereka menguatkuasakan undang-undang. Tuanku Ibrahim telah memberi pujian kepada Polis Johor yang telah berjaya meningkatkan tahap keselamatan di Johor serta memberi pertimbangan terhadap sensitiviti masyarakat serta kepentingan ekonomi.
Sumber :- Bernama
No comments:
Post a Comment