Tuesday, January 15, 2013

Sharifah Hanim


15 Januari 2013, Selasa -

Tentunya kita semua pernah menonton filem Allahyarham Tan Sri P Ramlee dan ingat tak cerita berjenre jenaka Masam-Masam Manis.  Kisah mengenai seorang teruna dan dara yang menyewa bilik dan bilik mereka bersebelahan.  Nak jadi cerita mereka nie tak pernah kenal antara satu sama lain tetapi kerap bergaduh melalui dinding bilik masing-masing.   Dalam masa yang sama diluar rumah mereka sebenarnya bercinta. Dipendikkan cerita akhirnya setelah menjalani pelbagai dugaan mereka berkahwin dan dua bilik tu akhirnya dipecahkan tetapi tuan rumah informed sewa tetap dua.............. heheheheheh.  Salah satu dialogue sidara yang bernama Norkiah itu :-

"Hoi orang sebelah! Awat yang hang jolok kayu terjelir terjuntai kebilik aku, haaaa?  

Memang kecoh mereka berdua nie, bergaduh hari-hari bagai nak rak. Tapi itulah yer kata orang dahulu kalau kita nie jangan benci melampau kat sesorang kerana lama-lama nanti jadi suka balik kat orang tu pula. Syah hendak bercerita pasal pelakon perempuan yang bernama Norkiah tu. Pelakon nie namanya seperti yang dikenali satu Malaya adalah Sharifah Hanim tetapi banyak yang tak kenal siapakah sebenarnya wanita cantik ini.  Nama sebenarnya adalah Yang Mulia Sharifah Hanim binti Almarhum Tuanku Syed Hamzah Jamalullail. Beliau adalah kerabat Diraja Perlis dan merupakan anak perempuan pertama Almarhum Tuanku Syed Hamzah Jamalullail iaitu Raja Negeri Perlis semasa era pemerintahan Jepun.  Selepas Jepun menyerah kalah dalam perang dunia kedua dan British masuk semual ke Tanah Melayu, Almarhum Tuanku Syed Hamzah Jamalullail telah diturunkan dari tahta dan digantikan dengan Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail iaitu Ayahanda kepada Raja Negeri Perlis sekarang, Duli Yang Maha Mulia Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail.

Sharifah Hanim diputerikan di Bandar Diraja Arau, Perlis pada 1935 dari bondanya Sharifah Amina binti Syed Abbas Al-Sagoff yang merupakan isteri ketiga Almarhum Tuanku Syed Hamzah Jamalullail.  Mendapat pendidikan di Kolej Sultan Abdul Hamid hingga peringkat Senior Cambridge.  Beliau pernah bertugas sebagai juruhebah sambilan di Radio Malaysia dan pernah berkhidmatan sebagai operator telefon di Bank Negara Malaysia. Sharifah Hanim juga merupakan juara pertandingan Ratu UMNO pada tahun 1956. 

Sharifah Hanim mendirikan rumahtangga pada tahun 1957 dengan Jazamudin Baharuddin yang merupakan seorang penulis yang menggunakan nama pena Adi Muara. Hasil daripada perkahwinan ini Sharifah Hanim dikurniakan dengan dua orang cahayamata perempuan, Sulasteri dan Siti Asma.  Suami beliau telah memperkenalkan Sharfah Hanim kepada dunia perfileman tanahair dan filem Masam-Masam Manis merupakan penampilan pertama beliau dalam industri perfileman Melayu pada tahun 1965.  Tan Sri P Ramlee sendiri telah mendapatkan kebenaran daripada Istana Perlis sebelum Sharifah Hanim memulakan pengambaran filem berkenaan. Jodoh Sharifah Hanim bersama suaminya tidak panjang dan pada tahun 1974 mereka bercerai. Penglibatan Sharifah Hanim dalam dunia lakonan agak terhad kerana beliau lebih menumpukan perhatian terhadap anak-anaknya.

Sharifah Hanim mangkat di Kuala Lumpur akibat masalah kencing manis dan hati dalam usia 69 tahun.  Setelah dua bulan gering, Sharifah Hanim mangkat pada tahun 2004, sebelum itu beliau menderita masalah tulang pinggul akibat terjatuh.  Jenazah Sharifah Hanim telah dibawa ke Perlis dan dimakamkan di Makam Diraja Lama Arau. Almarhum Tuanku Syed Hamzah Jamalullail merupakan komposer kepada lagu rasmi negeri Perlis, mungkin darah seni yang mengalir dalam diri Sharifah Hanim diturunkan daripada Almarhum Ayahandanya.  Adakah boleh kita katakan bahawa Sharifah Hanim merupakan kerabat diraja pertama Malaysia yang menceburi bidang hiburan tanahair sebagai seorang anak wayang............. ?


Al-Fatihah ............ Semuga roh Allahyarhamah Sharifah Hanim binti Almarhum Tuanku Syed Hamzah Jamalullail ditempatkan bersama-sama orang-orang yang beriman dan beramal solleh.  Amin.

Sumber :- Cinemamalaysia.com / The Royal Ark

2 comments:

Anonymous said...

Terima kasih, baru saya tau... Che' gu suka main bola, hari-hari che' gu.... TIDO.... (",)

Anonymous said...

mmg goda gila pnmpilan kebaya sharifah hanim tu.....