Wednesday, January 2, 2013

MCKK Dirasmikan Pada 02.01.1905


Diantara pelajar-pelajar pertama MCKK bergambar bersama Guru Besar Pertama MCKK Mr. William Hargreaves pada tahun 1906.  Mr. William Hargreaves dibantu oleh dua orang guru iaitu F.A Vanrennan dan C.W Rowlands..  Sebelum  bertugas di MCKK beliau merupakan guru besar Penang Free School.

  
02.01.2013, Rabu - Tahukan anda bahawa Kolej Melayu Kuala Kangsar atau Malay College Kuala Kangsar merupakan sebuah sekolah berasarama penuh yang pertama dinegara kita dan sistem pembelajarannya telah dijadikan model kepada asas dasar pendidikan negara hari ini. MCKK terletak Kuala Kangsar, Perak berhampiran Stesyen Keretapi Kuala Kangsar dan Bandar Diraja Bukit Chandan yang merupakan pusat pemerintahan Kesultanan Negeri Perak Darul Ridzuan. MCKK dirasmikan pada 02.01.1905 dan ketika itu dikenali sebagai Malay Residential School dan sekolah ini ditubuhkan sebagai sekolah percubaan.  Matlamat asal penubuhannya adalah untuk untuk memberi pelajaran dan melatih anak-anak kerabat diraja dan para pembesar Melayu untuk mengisi jawatan-jawatan penting dalam perkhidmatan kerajaan British di Tanah Melayu. Pada awal penubuhannya sekolah ini mempunyai seramai lapan orang pelajar dan kemudiannya bertambah kepada 63 orang menjelang Mac 1905 dan meningkat kepada 79 orang menjelang akhir tahun 1905.  Kelas dibahagikan kepada tiga dimana Kelas 1 untuk anak-anak raja, kelas 2 untuk anak-anak Pembesar dan Kelas 3 untuk anak-anak Pembesar Rendah. Pada 1909 sebuah bangunan tambahan sekolah ini telah dibina dengan peruntukan sebanyak $30,000.00 dan telah diberi nama baru iaitu Malay College Kuala Kangsar atau ringkasannya MCKK dan beroperasi sebagai English Public School.  

MCKK dibina diatas sebidang tanah seluas 16.2 hektar di Jalan Stesyen, Kuala Kangsar yang dikurniaan oleh Paduka Seri Sultan Perak ke-28, Sultan Idris Murshidul Azam Shah I. Idea asal penubuhan sekolah ini telah mendapat sokongan daripada empat orang Sultan Tanah Melayu iaitu Sultan Perak,  Sultan Idris Murshidul Azam Shah I, Sultan Selangor, Sultan Ala'eddin Sulaiman Shah, Yang di Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhammad Shah dan Sultan Pahang, Sultan Ahmad Muadzzam Shah. Mereka-mereka ini merupakan penaung kepada MCKK. Jika dahulu MCKK dikhaskan untuk anak-anak kerabat diraja dan para pembesar Melayu sahaja  tetapi selapas kebangkitan nasionalisme Melayu pada tahun 1947, syarat kemasukan telah dilonggarkan dimana anak-anak Melayu yang berpotensi tanpa mengira darjat dan status berpeluang belajar di MCKK daripada tingkatan 1 hingga tingkatan lima.  Yang tidak berubah semenjak dari dahulu hingga kini adalah MCKK hanya menerima pelajar lelaki sahaja dan seindah namanya ia hanya untuk orang Melayu.

Sumber :- Arkib Negara / MCKK.edu.my

No comments: