Sunday, January 13, 2013

Allahyarham Dato' Seri Diraja Dr Syed Mahmood Jamalullail

13.01.2012, Ahad - Ini adalah Allahyarham Dato' Seri Diraja Dr Syed Mahmood Ibni Syed Hussain Jamalillail.  Tahukah anda siapakah Allahyarham ini?  Jika anda orang Perlis tentu masih ada yang mengenalinya lagi terutamanya golongan warga emas.  Allahyarham merupakan Kerabat Diraja Perlis dan Ayahanda Saudara kepada Raja Negeri Perlis, Duli Yang Maha Mulia Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail.  Allahyarham Dr Syed Mahmood merupakan bekas Pemangku Raja Perlis selama dua tahun bermula 1960 ketika kekanda Allahyarham iaitu Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong Malaysia III. Ketika itu Raja Muda Perlis (Tuanku Syed Sirajuddin) sedang melanjutkan pelajaran ke United Kingdom.  

Syed Mahmood diputerakan pada 21 September 1921 di  Arau Perlis. Mendapat pendidikan awal di sekolah Melayu di Arau sebelum menyambung pelajaran ke Pulau Pinang di Government English School, Hutching School dan Penang Free School.  Beliau telah berjaya dengan cemerlang dalam peperiksaan OSCE pada tahun 1939 dan kemudiannya memohon memasuki University of Cambridge dalam jurusan undang-undang tetapi terpaksa membatalkan niatnya apabila permohonan untuk mendapatkan biasiswa ditolak. Walau bagaimanapun, Syed Mahmood berjaya mendapat tawaran belajar dalam bidang perubatan dan berlepas ke Hong Kong pada tahun yang sama. Ayahanda Syed Mahmood memberikan sokongan penuh dan semangat kepada beliau untuk meneruskan pelajaran dalam bidang kedoktoran dan menghantar beliau ke Stesyen Keratapi Arau untuk ke Hong Kong. 

Syed Mahmood amat terkenal dan disukai ramai sewaktu menuntut di Hong Kong dan seorang yang aktif dalam sukan serta mewakali universitinya dalam permainan kriket. Apabila tercetusnya perang dunia kedua dan Hong Kong telah ditawan Jepun pada 1941, Syed Mahmood telah dijadikan sebagai tawanan perang dan dipenjarakan bersama tahanan-tahanan india untuk memudahkan beliau mendapatkan makanan halal sebagai seorang Islam di kem tahanan Ma Tau Chung. Beliau kemudiannya dibebaskan dengan Parole (pembebasan dengan bersyarat dan dipantau oleh pihak tentera) kerana keringat beliau sebagai pelajar perubatan diperlukan oleh Jepun terutamanya untuk menangani masalah kesihatan ketika itu bersama-sama pasukan perubatan. Beliau juga pernah bertugas di Star Ferry sebagai Inspektor. Beliau boleh berbahasa Kantonis dan mempunyai hubungan yang erat dengan masyarakat di Hong Kong.
Potrait Allahyarham Syed Hassan Ibni Syed Mahmud Jamalullail, Ayahanda kepada Allahyarham Dato' Seri' Diraja Dr. Syed  Mahmood yang juga merupakan nenda kepada Raja Negeri Perlis sekarang DYMM Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail.

Selepas perang tamat pada tahun 1945, beliau telah diberi peluang untuk menyambung pelajarannya dalam bidang perubatan di University of Oxford.  Disebabkan beliau sudah enam tahun tidak balik  ke Arau dan bertemu dengan keluarganya, beliau memohon untuk kembali ke Arau dahulu sebelum melanjutkan semula pelajaran dan telah dibenarkan berbuat demikian.  Sesampainya beliau di Arau pada September 1945, beliau mendapat tahu Ayahanda yang menjadi sumber inspirasinya selama ini telah mangkat.  Keadaan ini menyebabkan belaiu bersedih dan merasakan bonda serta keluarganya memerlukan kehadiran beliau untuk membantu mereka.  Beliau telah membatalkan hasrat menyambung pelajaran ke Oxford dan menyambung pelajaran di Universiti Malaya di Singapura yang lebih dekat dengan Perlis berbanding England. Akhirnya beliau memperolehi MBBS pada tahun 1951 dan bergelar Doktor.

Apabila kembali ke Perlis, beliau menjadi Pegawai Perubatan.  Beliau berpindah ke Kuala Lumpur pada 1967 untuk membuka kelinik sendiri yang diberi nama Kelinik Dr Syed Mahmood dan Ruby Majeed di bangunan MARA, Jalan Tuanku Abdul Rahman.  Beliau pernah diberikan tanggung jawab oleh Timbalan Perdana Menteri, Tun Dr. Ismail untuk mengetuai  delegasi perubatan pertama Malaysia ke Cina pada 1972 yang ketika itu Malaysia tidak mempunyai hubungan diplomatik dengan kerajaan Cina.   Beliau banyak memberi sumbangan tenaga dan idea kepada Universiti Malaya dan berkhidmat sebagai Pengerusi dan Ahli Lembaga Pengarah Hospital Universiti yang sekarang dikenali sebagai  Pusat Perubatan Universiti Malaya.  Beliau juga bergiat cergas dalam badan-badan profesional  dan dilantik sebagai Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (Malaysia Medical Association) pada 1988 dan Presiden College of General Practitioners (1978-1980). 

Syed Mahmood mendirikan rumahtangga dengan Dr Ruby bte Abdul Majeed pada tahun 1956 dan dikurniakan dengan sepasang cahayamata dan lima orang cucunda. Syed Mahmood  mangkat pada jam 16:15hhrs, 30.11.2011 kerana sakit tua dalam usia 93 tahun di Pantai Medical Center, Kuala Lumpur. Jenazah Allahyarham dibawa pulang ke Perlis dan disolatkan di Masjid Negeri sebelum dimakamkan di Makam Diraja Lama Arau jam 09:30hrs 01.12.2011.  Turut menziarahi jenazah dan istiadat permakaman  Allahyarham adalah Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibni Almarhum Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis Duli Yang Teramat Mulia Tuanku Hajjah Lailatul Shahreen Akashah Khalil, Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan dan Industri Perlis, Dato' Seri Diraja Syed Razlan Putra Jamalullail, Setiausaha Kerajaan Perlis, Dato' Azizan Hamid serta  Ketua Polis Perlis, SAC Zull Aznam Haron.

Al-Fatihah ............... Semuga Roh Allahyarham Dato' Seri Diraja Syed Mahmood bin Syed Hussain Jamalullail ditempatkan bersama-sama orang-orang yang beriman dan beramal solleh.  Amin.

Sumber :- The Early Malay Doctors / MyMetro / Pertabalan DYMM Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail

7 comments:

seif jamalullail said...

Salam tuan....
Tuanku Syed Hassan bukanlah Ayahanda kepada Dr Syed Mahmood Jamalullail...
Syed Hassan cuma mempunyai seorang anak sahaja iaitu Tuanku Syed Harun Putra Jamalullail..
Terima kasih

DROPSHIP ONLINE MODEM ROUTER said...
This comment has been removed by the author.
DROPSHIP ONLINE MODEM ROUTER said...
This comment has been removed by the author.
DROPSHIP ONLINE MODEM ROUTER said...
This comment has been removed by the author.
DROPSHIP ONLINE MODEM ROUTER said...
This comment has been removed by the author.
DROPSHIP ONLINE MODEM ROUTER said...

pencerahan fakta :

Almarhum Syed Mahmood ibni Almarhum Syed Safi Jamalullail..

baginda berkahwin dengan Che Munah menghasilkan Syed Hassan...

Syed Hassan berkahwin dengan wan teh menghasilkan tuanku Syed Putra Jamalullail.bermakna Almarhum Syed Mahmood adalah Datuk kepada Tuanku Syed Putra Jamalullail.

RUJUK BUKU PUTRA KARANGAN YM CHE PUAN TEMENGGUNG PERLIS DATIN SERI NOOR AINI BINTI DATUK ABDULLAH.

PEMBANTU MUZIUM
GALERI DIRAJA ARAU...

DROPSHIP ONLINE MODEM ROUTER said...

pencerahan fakta :

Almarhum Syed Mahmood ibni Almarhum Syed Safi Jamalullail..

baginda berkahwin dengan Che Munah menghasilkan Syed Hassan...

Syed Hassan berkahwin dengan wan teh menghasilkan tuanku Syed Putra Jamalullail.bermakna Almarhum Syed Mahmood adalah Datuk kepada Tuanku Syed Putra Jamalullail.

RUJUK BUKU PUTRA KARANGAN YM CHE PUAN TEMENGGUNG PERLIS DATIN SERI NOOR AINI BINTI DATUK ABDULLAH.

PEMBANTU MUZIUM
GALERI DIRAJA ARAU...