Saturday, July 27, 2013

Al-Marhum Sultan Ahmad Tajuddin - Sultan Brunei Ke-27



27 Julai 2013, Sabtu :-

Dibahagian hadapan sekali adalah Makam Al-Marhum Sultan Ahmad Tajuddin Akazul Khairi Waddien ibni Al-Marhum Sultan Muhammad Jamalul Alam II, Sultan Brunei ke-27 yang memerintah pada 1924 hingga 1950.  Al-Marhum diputerakan pada 22 Ogos 1913 di Istana Kota Pekan Brunei merupakan Putera Gahara yang bergelar Pengiran Muda Besar adalah putera kelima daripada 10 orang adik beradik.  Menaiki tahta pada 21 September 1924 ketika berusia 11 tahun menggantikan Ayahanda baginda yang mangkat pada 19 September 1924. Disebabkan usianya terlalu muda, dua orang Wazir telah dilantik sebagai Pemangku Raja iaitu Pengiran Bendahara Pengiran Anak Abdul Rahman ibni Pengiran Muda Omar Ali Saifuddin dan Pengiran Pemancha Pengiran Anak Haji Muhammad Yasin bin Pengiran Omar Ali. Ketika Istiadat Mengangkat dan Memasyhurkan Raja, Al-Marhum ketika itu didukung oleh Pengiran Abu Bakar yang merupa nenda kepada bonda Al-Marhum. Istiadat Penyerahan Kuasa Penuh kepada Al-Marhum Sultan Ahmad Tajuddin diadakan pada 1931 ketika Al-Marhum Sultan Ahmad Tajuddin berusia 18 tahun manakala baginda ditabalkan sebagai Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam pada 17 Mac 1940 ketika berusia 27 tahun. Al-marhum Sultan Ahmad Tajuddin mangkat dalamusia yang muda ketika berusia 37 tahun.


Al-Fatihah :-

Semuga Roh Al-Marhum Sultan Ahmad Tajuddin ibni Al-Marhum Sultan Muhammad Jamalul Alam II ditempatkan bersama-sama orang-orang yang beriman dan beramal solleh.  Amin.


Banyak informasi baginda yang boleh di kongsi bersama anda tetapi secara ringkasnya hari ini Syah hendak berkongsi cerita mengenai kemangkatan Al-Marhum dan keadaan Sultan dan Negara Brunei yang ketika itu tidak semewah sekarang.  Al-Marhum Sultan Ahmad Tajuddin sebenarnya tidak berpuas hati terhadap layanan British kepada baginda terutamanya berhubung isu peruntukan kewangan dimana terdapat perbezaan yang ketara terutamanya berhubung isu elaun sara hidup jika dibandingkan dengan Raja-Raja di Tanah Melayu. Semasa Sistem Residen mula diperkenalkan pada 1909, Brunei merupakan sebuah negeri miskin dan hampir muflis tetapi berubah kepada sebuah negeri yang penting bagi British setelah industri minyak wujud pada 1930-an. Setahun sebelum kemangkatan baginda, elaun sara hidup baginda hanya $3,500 sebulan berbanding Sultan Perak $12,500.00 dan Sultan Pahang $8,000.00 sebulan.


Al-Marhum Sultan Ahmad Tajuddin ketika Istiadat Penyerahan Kuasa Penuh sebagai Sultan dan Yang Di-Pertuan Brunei Darussalam pada tahun 1931.

Pendapatan Brunei telah bertambah dari hasil minyak tetapi kerabat diraja dan rakyat Brunei tidak mendapat manfaat dari hasil pengagihan kekayaan berkenaan menyebabkan Al-Marhum Sultan Ahmad Tajuddin  serta kerabat diraja  tidak berpuas hati terhadap British. Untuk menangani masalah ini, British telah menaikkan elaun sara hidup Al-Marhum Sultan Ahmad Tajuddin pada tahun 1934 daripada $1,000.00 sebulan kepada $1,500.00. Pada 1939 ianya ditambah sebanyak $500.00 serta elaun tambahan  bagi kos-kos perkhidmatan dan seumpamanya. Hanya pada tahun 1939 Al-Marhum Sultan Ahmad Tajuddin baru menerima peruntukan sebuah kereta untuk tugas-tugas rasmi baginda. Kerajaan British juga telah membina sebuah Istana untuk Almarhum Sultan Ahmad Tajuddin bagi menggantikan Istana lama baginda yang musnah semasa perang dunia kedua, walau bagaimanapun baginda tidak sempat bersemayam di Istana berkenaan kerana baginda mangkat semasa istana berkenaan masih dalam pembinaan.

Al-Marhum Sultan Ahmad Tajuddin pernah menulis surat kepada pihak British untuk menaikkan elaun sara hidup baginda.   Diantara kandungan surat berkenaan yang ditujukan kepada Setiausaha Negara Bagi Tanah Jajahan, Mr A. Creech Jones, baginda menyatakan :-

"..... hasil pendapatan Brunei daripada sumber minyak pada tahun 1948 ialah berjumlah $6,000,000.00 dan jika sekiranya elaun baginda dinaikkan, baginda percaya hasil pendapatan negeri ini tidak akan berkurangan dan sebagai seorang manusia biasa baginda tidak akan lama hidup di dunia ini sehingga mencapai umur 100 tahun"


Istiadat Pertabalan Al-Marhum Sultan Ahmad Tajuddin sebagai Sultan dan Yang Di-Pertuan Brunei Darussalam pada tahun 1940.  Istiadat Pertabalan ini lebih dikenali sebagai Istiadat Perpuspaan di Brunei.

Disebabkan pembendaharaan negeri dikawal oleh Residen, hanya satu cara sahaja yang dapat digunakan oleh baginda untuk menggunakan peruntukan berkenaan iaitu dengan mengadakan lawatan keluar negara kerana segala kos perbelanjaan berkenaan akan ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan British. Sehubungan dengan itu, baginda sering berangkat keluar negara seperti Malaya (Malaysia), Singapura dan England.

Al-Marhum Sultan Ahmad Tajuddin telah jatuh gering semasa berada di Singapura dan mangkat pada hari Sabtu, 03 Jun 1950 di Singapore General Hospital kerana tiada tindak balas terhadap pemindahan darah yang dilakukan dan Al-Marhum telah koma beberapa jam sebelum mangkat. Al-Marhum sebenarnya berada di Singapura kerana dalam perjalanan untuk berangkat ke England. Sebagai menghormati kemangkatan baginda kerajaan Singapura telah mengisytiharkan semua bangunan-bangunan kerajaan di Singapura mengibarkan bendera separuh tiang selama dua hari sebagai tanda berkabung. Manakala di Kelantan pula, semua jabatan-jabatan kerajaan diarah mengibarkan bendera separuh tiang selama tiga hari sebagai tanda berkabung manakala di Pulau Pinang, kebanyakan kapal dagang mengibarkan bendera separuh tiang pada 05 Jun sebagai tanda berkabung.


Jenazah Al-Marhum Sultan Ahmad Tajuddin disemayamkan di Istana Besar, Johor Baharu, Johor sebelum dibawa pulang ke Brunei untuk dimakamkan.

Tengku Mahkota Johor ketika itu, Tengku Ismail (kemudiannya bergelar DYMM Sultan Ismail) telah berangkat ke Singapura untuk menguruskan jenazah Al-Marhum Sultan Ahmad Tajuddin.  Jenazah telah dibawa ke Johor Baharu dan disemayamkan di Istana Besar Johor Baharu untuk istiadat penghormatan terakhir. Jenazah Al-Marhum Sultan Ahmad tajuddin telah dimandi dan dikafankan oleh Tuan Syed Salim bin Syed Hasan yang merupakan Kadi Besar Johor manakala Solat Jenazah disempurnakan oleh Tuan Syed Alwi Al-Hadad, Mufti Kerajaan Johor. 

Pada 05 Jun 1950, Jenazah Al-Marhum Sultan Ahmad Tajuddin dibawa ke Lapangan Terbang Singapura untuk diterbangkan ke Labuan menggunakan pesawat Tentera Udara Diraja British, R.A.F Dakota. Turut mengiringi jenazah adalah Tengku Ampuan Raihani dan kerabat diraja Brunei. Turut mengucapkan selamat jalan kepada jenazah Al-Marhum Sultan Ahmad Tajudin di Lapangan Terbang Singapura adalah pembesar-pembesar negara dan duta-duta asing diantaranya Sultan Selangor, Tengku Ampuan Selangor, Raja Muda Selangor, Tunku Mahkota Johor dan isteri, Menteri BesarJohor, wakil Pesuruhjaya Tinggi Agung British bagi Asia Tenggara, Naib Marshall Udara A.O.C. Malaya dan Penasihat British Selangor.

Bangunan dipinggiran bukit ini adalah Kubah Makam Diraja yang berada didalam Komplek Makam Diraja Brunei.

Setibanya jenazah Al-Marhum Sultan Ahmad Tajuddin di Labuan, jenazah disambut dengan perbarisan kehormat terdiri daripada anggota-anggota Polis Labuan. Pada jam 13:00hrs, jenazah Al-Marhum dibawa ke Jeti Labuan untuk berangkat ke Brunei menggunakan Kapal M.L. Muara. Jenazah sampai ke Dermaga Kastam lebih kurang jam 17:00hrs dan disambut oleh kerabat diraja, para pembesar dan rakyat Brunei. Jenazah dibawa menggunakan kenderaan khas ke Istana Mahkota untuk disemayamkan bagi istiadat penghormatan terakhir. Jenazah juga disemayamkan di Opis Besar Kerajaan Brunei untuk memudahkan istiadat penghormatan terakhir kepada para pembesar dan rakyat jelata.

Sebelum jenazah Al-Marhum Sultan Ahmad Tajuddin dibawa ke Kubah Makam Diraja untuk Istiadat Permakaman pada 06 Jun 1950, adinda baginda, Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisura Pengiran Muda Omar 'Ali Saifuddien telah ditabalkan sebagai Sultan Brunei yang baru. Adinda Al-Marhum dipilih sebagai Sultan Brunei ke-28 kerana Al-Marhum Sultan Ahmad Tajuddin tidak mempunyai anak lelaki.  Hasil perkahwinan Al-Marhum Sultan Ahmad Tajuddin dengan dua orang isterinya hanya menghasilkan anak perempuan sahaja.


Al-Marhum Sultan Ahmad Tajuddin

Setelah selesai pemasyhuran Sultan Brunei yang baru, lebih kurang jam  13:30hrs, 06 Jun 1950, jenazah Al-Marhum Sultan Ahmad Tajuddin telah diarak ke Makam Diraja yang terletak di KM2, Jalan Tutong dengan penuh adat istiadat diraja Brunei untuk dimakamkan di Kubah Makam Diraja. Turut mengiringi  jenazah adalah KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Kerabat Diraja, Para Pembesar Negara, Orang-Orang Kenamaan dan Rakyat Brunei.

Sila click link dibawah untuk membaca Entry Syah sebelum ini berhubung Al-Marhum Sultan Ahmad Tajuddin :-
  1. Makam Tengku Ampuan Brunei Di Selangor
  2. Sultan Tidak Berputra
  3. Pengiran Anak Puteri Hajah Nor Ehsani
  4. Pengiran Anak Puteri Hajah Nor Ehsani 1

Sumber :- Pemerintahan Sultan Ahmad Tajuddin 1924-1950 /MBS Mini Royal Library

2 comments:

Anonymous said...

actually nama sebenarnya adalah Pengiran Bendahara Pengiran Anak AbduR Rahman dan bukannya Pengiran bendahara Pengiran Anak AbduL Rahman, because he is my great grandpa , saya adalah cucunda kepada Pengiran Lela Negara Pengiran Hj Mohammad, Anak kepada Pengiran Bendahara.........Salah dalam penyebutan nama kerabat diraja Brunei is something Crucial

tengkusyah said...

?