Wednesday, September 11, 2013

Tuanku Zara Sempurnakan Istiadat Konvokesyen UPSI Ke-15

11 September 2013, Rabu :- 

Semalam Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Duli Yang Teramat Mulia Raja Puan Besar Perak Darul Ridzuan Tuanku Zara Salim telah berkenan menyempurnakan Istiadat Konvokesyen ke-15 UPSI di Dewan Besar Kampus Sultan Azlan Shah, Proton City di Tanjung Malim Perak. Dalam istiadat ini juga, Tuanku Zara telah berkenan mengurniakan watikah perlantikan Pro-Canselor UPSI yang baru kepada Prof. Emeritus Datuk Seri Dr. Zakri Abdul Hamid.  Prof. Emeritus Datuk Seri Dr. Zakri Abdul Hamid merupakan Penasihat Sains kepada Perdana Menteri, Pengerusi Majlis Profesor Negara dan  Pengerusi Pengasas 'Intergovernmental Science-Policy Platform on Biodiversity and Ecosystem Services' iaitu badan perantara di peringkat Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu yang menghubungkan komuniti ahli sains dengan ketua-ketua negara.

Istiadat Konvokesyen UPSI ke-15 diadakan selama empat hari bermula semalam, 10 September 2013 hingga 13 September 2013. Seramai 6,451 graduan menerima ijazah dan diploma dalam konvokesyen pada kali ini yang terdiri daripada 23 graduan doktor falsafah, 790 graduan sarjana, 2882 graduan sarjana muda dan 2,756 penerima diploma. Dalam istiada semalam Tuanku Zara juga telah berkenan menyampaikan :-
  • Ijazah Kehormat Doktor Kepimpinan Pendidikan kepada Tan Sri Dr Muhammad Rais Abdul Karim yang merupakan bekas Naib Canselor UPSI dan bekas Ketua Pengarah Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU)
  • Ijazah Kehormat Doktor Pendidikan Sejarah kepada Tan Sri Omar Mohd Hashim, Pengerusi Jawatankuasa Eksekutif Persatuan Sejarah Malaysia dan bekas Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR)
  • Anugerah gelaran Profesor Emeritus kepada Prof. Dr. Abdul Hamid Mahmood yang merupakan seorang individu yang bergiat aktif dalam penyelidikan serta penulisan mengenai bahasa dan linguistik Melayu.

Dalam titah baginda, Tuanku Zara menegaskan kejayaan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) dan Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara bergantung kepada keupayaan pelaksana menterjemahkannya kepada tindakan. Kedua-dua pelan itu merupakan satu transformasi yang dilaksana oleh kerajaan untuk mengangkat martabat sektor pendidikan negara, Titah baginda lagi, graduan UPSI mesti menjadi insan budiman yang mensejahterakan masyarakat melalui hemah seorang pendidik. Tuanku Zara juga berharap agar graduan tidak berpuashati dengan segulung ijazah yang diterima oleh mereka malah berusaha melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi lagi.

Baginda juga menyarankan agar graduan dan warga pendidikan khususnya, menghayati sepenuhnya Falsafah Pendidikan Negara yang mentafsirkan pendidikan sebagai usaha berterusan ke arah memperkembang potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang. Titah baginda lagi UPSI sebagai satu-satunya universiti yang berteraskan pendidikan di negara ini juga perlu bersedia untuk menjadi wadah kepada pembangunan pendidikan dengan melahirkan sumber manusia berilmu dan berketerampilan tinggi.

Sumber :- Bernama

No comments: