Saturday, July 20, 2013

Makam Mufti Haji Ismail Omar Abdul Aziz Didalam Kubah Makam Diraja Brunei


20 Julai 2013, Sabtu :-

Gambar diatas merupakan sebahagian makan yang berada didalam Kubah Makam Diraja Brunei yang terletak di Jalan Tutong, Bandar Seri Bagawan Brunei Darussalam. Didalam Kubah Makam Diraja ini jugalah dimakamkan beberapa orang Sultan Brunei dan Raja Isteri serta kerabt-kerabat diraja yang kanan. Syah hendak bercerita secara ringkas mengenai makam yang dihadapan sekali.  Tahukah anda bahawa makan ini bukan kepunyaan seorang Kerabat Diraja Brunei tetapi kepunyaan rakyat Malaysia yang telah berkhidmat di Brunei sebagai Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam. Sunguh mulia hati KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang telah berkenan supaya Allahyarham dimakamkan didalam Kubah Makam Diraja Brunei. Keadaan ini memperlihatkan betapa rapatnya hubungan silaturahim diantara Allahyaram dan Baginda Sultan selain daripada sebagai pengitirafan keatas sumbangan yang diberikan oleh Allahyarham kepada Negara Brunei Darussalam.


Individu yang Syah maksudkan ini adalah Allahyarham Pehin Datu Seri Maharaja Dato Seri Utama Dr. Awang Haji Ismail bin Omar Abdul Aziz. Allahyarham dilahirkan pada tahun 1911 di Kampung Rengit, Batu Pahat, Johor.  Pada 1938 Allahyarham mendapat biasiswa daripada kerajaan Johor untuk melanjutkan pelajaran ke Mesir dan dikatakan memperolehi tidak kurang dari 5 ijazah daripada Universiti al-Azhar dan Universiti Kaherah. Allahyarham dianugerahkan Ijazah Doktor Kehormat Undang-Undang oleh Universiti Brunei Darussalam pada 25 September 1991.

Sekembali dari Mesir pada tahun 1949 Allahyarham bertugas di sekitar Johor dan Selangor sebelum dijemput ke Brunei atas titah perintah Al-Marhum Sultan Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien pada tahun 1955 untuk meninjau cadangan mendirikan Sekolah Agama Kerajaan Brunei.  Hasilnya pada September 1956 sebuah sekolah agama yang bersistem telah ditubuhkan buat pertama kalinya di Brunei. Selepas itu Allahyarham kembali semula ke Johor untuk meneruskan tugas-tugasnya. Pada 01 April 1962 sekali lagi Allahyarham dipinjamkan oleh kerajaan Johor ke Negara Brunei sebagai Mufti Kerajaan Brunei untuk tempoh tiga tahun.  Sebelum meninggalkan Johor Allahyarham memegang jawatan sebagai Kadi Besar Johor yang disandangnya mulai 1958. 


Setelah tamat kontrak pada 31 Mac 1965, Allahyarham kembali semula ke Johor dan bertugas sebagai Timbalan Mufti Johor sehingga bersara pada 01 Januari 1967.  Pada 08 Mac 1967 Allahyarham telah menerima tawaran untuk berkhidmat di Negara Brunei Darussalam  sebagai Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam sehingga akhir hayatnya.  Allahyarham meninggal dunia dalam usia 82 tahun pada 03 Februari 1993 bersamaan 11 Syaaban 1413 di Rumah Sakit Raja Isteri Pengiran Anak Saleha di Bandar Seri Bagawan. Jenazah Allahyarham dikebumikan pada keesokan harinya 04 Februari 1993 bersamaan 12 Syaaban 1413 di Kubah Makam Diraja Brunei.

Al-Fatihah - 

Semuga Rohnya Allahyarham Pehin Datu Seri Maharaja Dato Seri Utama Dr. Awang Haji Ismail bin Omar Abdul Aziz ditempatkan bersama-sama orang-orang yang beriman dan beramal solleh.  Amin

Sumber :- Arizuan / Bahrusshofa.blogspot.com

1 comment:

Anonymous said...

mufti yg diberkati.

al fatehah.