Thursday, September 2, 2010

Sultan Selangor Gantung Gelaran - 02.09.2010

Selepas Dewan DiRaja Selangor bersidang pada 19.08.2010 lepas, Sultan Selangor, DYMM Sultan Sharafuddin Idris Shah telah membuat keputusan untuk menggantung darjah kebesaran negeri Selangor yang membawa gelaran Datuk kepada Tun Dr Ling Liong Sik dan Datin Paduka O.C. Phang. Penggantungan ini adalah ekoran daripada kedua-duanya telah dihadapkan ke Mahkamah berhubung skandal Zon Perdagangan Bebas Pelabuhan Kelang (PKFZ). Tindakan ini diambil kerana kesalahan-kesalahan yang dipertuduhkan kepada Tun dan Datin Paduka merupakan kesalahan serius yang melibatkan kepentingan rakyat dan negara. Walau bagaimanapun penggantungan gelaran dan penggunaan darjah kebesaran bagi kedua-duanya akan disemak semula bergantung kepada keputusan mahkamah samada mereka bersalah atau tidak dan dibebaskan dari pertuduhan.
  • Tun Dr Ling Liong Sik menerima Darjah Kebesaran Datuk Paduka Mahkota Selangor yang membawa gelaran Datuk pada tahun 1992 daripada Paduka Ayahanda Sultan Sharafuddin Idris Shah iaitu Al-Marhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Al-Haj ibni AL-Marhum Sultan Hisamuddin Alam Shah Al-Haj.

  • Datin Paduka OC Phang menerima Darjah Kebesaran Datuk Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah yang membawa gelaran Datin Paduka pada tahun 2001 juga daripada Al-Marhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Al-Haj ibni Al-Marhum Sultan Hisamuddin Alam Shah Al-Haj.

No comments: