Sunday, January 19, 2014

Tempoh Tahanan Nor Jan Tuah Dilanjutkan

19 Januari 2014, Ahad :-

Tempoh tahanan reman terhadap Nor Jan Tuah atau lebih dikenali sebagai Raja Nor Jan Shah yang mendakwa dirinya sebagai Sultan Melaka telah dilanjutkan untuk tempoh tiga hari lagi bermula hari ini hingga Selasa depan. Perintah berkenaan dikeluarkan oleh Mahkamah Majistret semalam pada jam 11:10hrs oleh Penolong Pendaftar Mahkamah Rendah, V. Kanansan kepada wakil pihak polis, Pegawai Penyiasat Kanan Assisten Superintendan RR Kumerasan. Nor Jan Tuah sedang disiasat dibawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948.

Polis Melaka telah mendapat perintah tahanan reman terhadap Nor Jan Tuan bermula 15 Januari lepas.  Tangkapan dibuat pada Rabu, 15 Januari 2014 di Jeti Anjung Batu, Serkam, Jasin sewaktu Nor Jan Shah dan 30 orang pengikutnya hendak bertolak ke Pulau Besar bagi menghadiri satu majlis kesyukuran sempena sambutan Maulidur Rasul. 

Timbalan Ketua Polis Melaka, Datuk Shah Ghazali Khan Shah memaklumkan bahawa penahanan Raja Nur Jan dibuat setelah mendapat laporan polis dari pelbagai pihak berhubung penganjuran beberapa majlis penganugerahan pingat, bintang dan darjah kebesaran yang tidak diiktiraf. Menurut Datuk Shah Ghazali lagi " Kami menerima tidak kurang 10 laporan dari pertubuhan NGO (badan bukan kerajaan) yang risau dengan penganjuran majlis dan jemputan yang menghadiri majls tersebut".

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri Melaka, Assisten Komisioner Raja Shahrom Raja Abdulah dalam kenyataannya memaklumkan bahawa pihak Polis masih lagi belum dapat menemui isteri Nor Jan Shah dan beberapa orang pengikutnya untuk pihak polis melengkapkan laporan siasatan yang sedang dijalankan. Beliau memaklumkan bahawa pihak polis akan terus berusaha untuk mengesan isteri dan beberapa orang pengikut Nor Jan Tuah.

Sumber :- Kosmo /Facebook

No comments: