Wednesday, January 1, 2014

Sultan Haji Hassanal Bolkiah Berpuashati Dengan Prestasi Negara Brunei Darusalam Sepanjang 2013


01 Januari 2014, Rabu :-

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang kini sedang bercuti bersama keluarga baginda di London telah menzahirkan rasa bangga baginda kerana Negara Brunei Darussalam telah menjalankan tugas dan tanggungjawabnya sebagai Pengerusi ASEAN pada tahun 2013 dengan jayanya.

Titah ini disampaikan oleh baginda sempena sambutan tahun baru 2014 yang disiarkan secara langsung kepada rakyat Brunei dari London. Diantara titah baginda :- 

 “Untuk itu, beta mengucapkan terima kasih dan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua peringkat dan masyarakat seluruhnya yang telah sama-sama mengangkat imej negara di mata tetamu-tetamu kita daripada luar negara,”

Manakala di bidang pembangunan, titah baginda, sektor awam dan swasta berperanan penting untuk berganding bahu mempertingkatkan sosioekonomi negara. Khasnya dalam bidang pentadbiran, perkhidmatan awam adalah jentera kerajaan bagi memberikan perkhidmatan berkualiti kepada orang ramai mahupun komuniti bisnes. 

Baru-baru ini, kedudukan negara di dalam ‘Ease of Doing Business’ menunjukkan pembaikan yang menggalakkan dari tangga 79 pada tahun 2012 kepada tangga 59 pada tahun 2013.

“Beta berharap pencapaian ini akan menyemarakkan lagi semangat kita untuk terus membuat lebih banyak pembaharuan yang diperlukan bagi memudahcara perniagaan,” 

Titah baginda , Matlamat kita, adalah jelas untuk menjadikan negara benar-benar pro-bisnes di mana dengannya, Insya-Allah ekonomi kita akan mendapat berkembang dan berdaya maju, serta banyak lagi peluang pekerjaan dapat diwujudkan. Baginda seterusnya bertitah, negara memang memerlukan lebih banyak peluang pekerjaan khasnya di sektor swasta untuk menangani pengangguran yang meningkat, di mana kerajaan melalui agensi-agensi berkenaan sangat giat menggerakkan pengambilan anak-anak tempatan bekerja di sektor swasta untuk mengisi kekosongan yang ada. 

 “Kerajaan melalui Kementerian Pendidikan juga giat mensejajarkan latihan-latihan teknikal dan vokasional supaya terdapat kesepadanan di antara peluang-peluang pekerjaan dan kemahiran yang diperlukan. Cara ini akan memastikan anak-anak muda yang mencari pekerjaan mendapat latihan yang bersesuaian dengan peluang pekerjaan yang ada.

Dalam masa yang sama, titah baginda, komuniti bisnes hendaklah mendukung usaha kerajaan bagi sama-sama memberikan keutamaan bekerja kepada anak-anak tempatan dengan menawarkan gaji dan kemudahan-kemudahan lain yang berpatutan lagi munasabah.

Sumber : Pelita Brunei

No comments: