Thursday, January 30, 2014

Kubah Makam Diraja Brunei

30 Januari 2014, Selasa :-

Makam Diraja Brunei yang terletak di KM 2, Jalan Tutong atau juga dikenali juga sebagai Jalan Kubah Makam Diraja di Bandar Seri Bagawan mula digunakan semasa pemerintahan Al-Marhum Sultan 'Omar 'Ali Saifuddin I ibni Al-Marhum Sultan Muhammad 'Alauddin, Sultan Brunei ke-18 yang memeritah pada tahun 1762 hingga 1786 - Maklumat di Makam Diraja dan ada menyatakan 1740 hingga 1778 - Pusat Sejarah Brunei. Baginda mangkat pada hari Khamis 22 Zulhijjah 1200 bersamaan 16 Oktober 1786 dan ada juga menyatakan baginda mangkat pada 09 Julai 1795. Baginda merupakan Sultan Brunei yang pertama dimakamkan dikawasan ini dan Sultan-Sultan selepas Al-Marhum juga dimakamkan disini.  Makam-makam Sultan Brunei sebelum baginda di makamkan di beberapa kawasan sekitar Badar Seri Bagawan seperti di Kota Batu, Tanjung Kindana, Kiangeh dan Luba serta Pulau Chermin. Syah sempat ziarah ke Kubah Makam Diraja Brunei sebanyak lima kali sempena ziarah Syah ke Brunei Darssalam pada 18 hingga 25 November 2013.  

Didalam kawasan makam diraja ini juga terdapat batu bersurat yang diukir oleh Khatib Abdul Latif pada 10 Februari 1806 atas titah perintah Al-Marhum Sultan Muhammad Tajuddin, Sultan Brunei ke-19 iaitu putera kepada Al-Marhum Sultan 'Omar 'Ali Saifuddin I. Tujuan utama baginda adalah supaya salah silah Sultan-Sultan Brunei yang di ceritakan dari mulut ke mulut dapat didokumentasikan sebagai rujukan generasi akan datang terutamanya kepada keluarga diraja.  Batu bersurat ini juga merupakan sebahagian daripada makam Al-Marhum Sultan 'Omar 'Ali Saifuddin II, Sultan Brunei ke-23.

Kubah Makam Diraja yang merupakan sebuah bangunan makam untuk menempatkan Sultan dan Kerabat Diraja yang kanan pula siap dibina sepenuhnya pada 1965.  Didalam kubah ini terdapat makam empat orang Sultan Brunei iaitu Al-Marhum Sultan Hashim Jalilul 'Alam 'Aqamaddin, Sultan Brunei ke-25 ;  Al-Marhum Sultan Muhammad Jamalul 'Alam II, Sultan Brunei ke-26 ; Al-Marhum Sultan Ahmad Tajuddin, Sultan Brunei ke-27 dan Al-Marhum Sultan Haji 'Omar 'Ali Saifuddien III, Sultan Brunei ke-28. 

Dibahagian luar Kubah Makam Diraja pula terdapat makam Al-Marhum Sultan 'Omar 'Ali Saifuddin I, Sultan Brunei ke-18 ; Al-Marhum Sultan Muhammad Tajuddin, Sultan Brunei ke-19 ; Al-Marhum Sultan Muhammad Jamalul 'Alam I, Sultan Brunei ke-20 ; Al-Marhum Sultan Muhammad Kanzul Alam, Sultan Brunei ke-21 ; Sultan Muhammad 'Alam, Sultan Brunei ke-22 ; Al-Marhum Sultan 'Omar 'Ali Saifuddien II, Sultan Brunei ke-23 ; Al-Marhum Sultan 'Abdul Momin, Sultan Brunei ke-24.  Semasa lawatan Syah tempohari makam-makam Sultan dibahagia luar Kubah sudah dialihkan binaannya buat sementara waktu bagi memberi laluan kepada proses baikpulih makam Sultan-Sultan Brunei.

Kubah Makam Diraja dibuka untuk ziarah mulai jam 07:45 hrs hingga jam 18:00hrs setiap hari tujuh hari seminggu. Setiap hari Penjaga Kubah Makam Diraja akan membaca ayat-ayat suci Al-Quraan di Kubah Makam Diraja. Kubah Makam Diraja juga mempunyai kakitangan-kakitangan penyelengaraan bagi memastikan Kubah Makam Diraja dan kawasan persekitarannya sentiada kemas dan bersih.  Dimakam ini juga selalu diadakan majlis tahlil oleh para pelawat yang terdiri daripada Kerabat Diraja, kakitangan jabatan-jabatan kerajaan, Univesiti dan seumpamanya. Kubah Makam Diraja juga dibuka untuk lawatan kepada para pelancung dari dalam dan luar negara. Jika anda ke Brunei jangan lupa singgah ke Kubah Makam Diraja untuk ziarah makam Al-Marhum Sultan-Sultan Brunei serta Keluarga Diraja sambil sedekahkan bacaan Al-Fatihah sekurang-kurangnya dan jika hendak baca Yasin itu lagi bagus.

Jom kita ronda-ronda sekitar Makam Diraja ...............
  

Dari jalan besar kita boleh  nampak tanda arah ke Makam Diraja yang terletak jauh sedikit diatas kawasan berbukit.





Papan tanda makam dipintu masuk utama makam


Pandangan kawasan Makam daripada pintu masuk utama.  Disebelah kanan seperti kawasan lapang itu adalah tempat meletak kenderaan.



Pandangan dari atas kubah Makam Diraja Brunei memperlihatkan tempat meletak kenderaan yang luas disediakan untuk  para tetamu yang menziarahi makam. Kebiasaanya pada hari Jumaat merupakan waktu puncak dimakam dimana kebanyakan kerabat diraja menziarahi makam kerabat masing-masing. Napak tak dibelakang sekali ada bentuk Kubah Masjid. Itu adalah Masjid Duli Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah yang terletak Kampung Tamoi yang merupakan salah satu Kampung Air di Brunei.


Kubah Makam Diraja terletak diatas bukit dalam kawasan Makam Diraja. Bangunan disebelah kanan adalah komplek Makam manakala binaan disebelah kiri itu adalah tempat mengambil air sembahyang dan tandas.


Untuk naik ke Kubah Makam Diraja kita perlu menggunakan tangga ini.



Tangga menuju Kubah Makam Diraja



Pintu masuk Kubah Makam Diraja



Sebahagian pandangan didalam Kubah Makam Diraja. Sesuatu yang unik di Kubah Makam Diraja adalah lantai dalam Kubah Makam Diraja diletakkan permaidani bewarna merah. Dengarnya selepas Syah balik ke Malaysia permaidani ini diganti dengan karpet yang baru dengan warna yang sama.


Tentu kita merasa pelik jika lantai diletakkan permaidani macam mana hendak menyiram air mawar kan? Sebenarnya permaidani itu direka khas dimana ianya boleh dibuka jika hendak meletakkan bunga atau menyiran air mawar dan ianya akan ditutup semula seperti gambar diatas. Tugas-tugas ini akan dilakukan oleh Penjaga Makam jika ada permintaan daripada waris untuk membukanya.


Tandas dan tempat mengambil air sembahyang disediakan untuk kemudahan para pelawat dan petugas makam. 


Dibahagian sebelah belakang Makam ada sungai dan Kampung Air.


Ini adalah papantanda makam yang terletak dibahagian atas bangunan Kubah Makam Diraja. Syah rasa bertuah kerana dapat naik keatas bumbung makam diraja dan dapat melihat keseluruhan kawasan makam diraja dari atas.



Pandangan sebahagian daripada kawasan makam dari atas bumbung Kubah Makam Diraja

Syah diatas bumbung Kubah Makam Diraja.


Tahukah anda bahawa betul-betul dibawah binaan berbentuk kubah di belakang Syah ini dibawahnya adalah Makam Al-Marhum Sultan Haji 'Omar 'Ali Saifuddien III, Sultan Brunei ke-28 yang juga merupakan Ayahanda kepada Sultan Haji Hassanal Bolkiah.



Makam Al-Marhum Sultan Haji 'Omar 'Ali Saifuddien III.  Lubang yang bercahaya itu  adalah binaan berbentuk kubah yang Syah maklumkan tadi.


Terdapat 9 buah kubah seperti ini didalam Kubah Makam Diraja. Ini adalah salah satu kubah berkenaan.


Pelan Lantai Kubah Makam Diraja. Benjolan berkenaan adalah 9 kubah seperti gambar Syah diatas.  


Rekod Kedudukan Makam-Makam didalam Kubah Makam Diraja


Anda boleh menandatangani buku pelawat sebagai tanda kenang-kenangan sempena ziarah anda ke Kubah Makam Diraja.


Al-Fatihah .......



Papantanda memaklumkan kerja-kerja pengbahsuaian makam-makam Sultan Brunei sedang dijalankan 


Kerja-kerja pengubahsuaian makam sedang giat dijalankan. Anda boleh lihat pancang-pancang besi di sekeliling makam untuk membina bumbung bagi makam-makam berkenaan.


Salah satu contohnya adalah Makam Al-Marhum Sultan Muhammad Kanzul Alam, Sultan Brunei ke-21 sedang dalam proses kerja-kerja pengubahsuaian.


Batu bersurat yang juga merupakan sebahagian daripada makam Al-Marhum Sultan 'Omar 'Ali Saifuddin II, Sultan Brunei ke-23 sedang dalam proses pengubahsuaian.


Sebahagiah daripada binaan makam Al-Marhum Sultan di keluarkan untuk proses pengubahsuaian dan akan dipasang semula seperti bentuk asalnya.


Makam Al-Marhum Sultan 'Abdul Momin, Sultan Brunei ke-24. Batu Nesan Al-Marhum telah dikeluarkan untuk sementara waktu bagi memberi laluan kepada kerja-kerja pengubahsuaian makam.


Teko alaminum dan paip air untuk kegunaan para penziarah untuk mengisi air bagi disiram diatas kubur/makam.



Walau bagaimanapun didalam kawasan makam ini ada penjual yang menyediakan perkhidmatan jualan air dengan campuran tertentu yang dipanggil Aing Asah Asahan untuk disiram keatas kubur/makam yang dijual dengan harga BND1.00 sebotol. 













Kelihatan kanak-kanak menjual  Aing Asah Asahan didalam kawasan Makam Diraja.  Gambar ini diambil pada hari Jumaat dimana iannya merupakan hari cuti umum di Brunei. Hari Jumaat dan Ahad merupakan hari cuti umum di Brunei manakala hari Sabtu adalah hari bekerja.


Kawasan persekitaran makam


Sebahagian Makam-Makam Kerabat Diraja Brunei.


Dua makam disebelah Syah merupakan makam puteri kepada Al-Marhum Sultan Ahmad Tajuddin, Sultan Brunei ke-27 iaitu Allahyarhamah YAM Pengiran Anak Hajah Siti Halimah (disebelah Syah) dan Allahyarhamah YAM Pengiran Anak Datin Seri Setia Hajah Siti Saerah yang baru mangkat pada 04 November 2013 dalam usia 83 tahun. 


MAKAM-MAKAM SULTAN DIDALAM KUBAH MAKAM DIRAJA


Al-Marhum Sultan Hashim Jalilul 'Alam 'Aqamaddin, Sultan Brunei ke-25 


Al-Marhum Sultan Muhammad Jamalul 'Alam II, Sultan Brunei ke-26


Al-Marhum Sultan Ahmad Tajuddin, Sultan Brunei ke-27


Al-Marhum Sultan Haji 'Omar 'Ali Saifuddien III, Sultan Brunei ke-28 dan disebelah kanan gambar Syah adalah makam Al-Marhumah Duli Raja Isteri Pengiran Anak Damit yang merupakan Ayahanda dan Bonda kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sekarang. 


Makam Bekas Mufti Pertama Brunei didalam Kubah Makam Diraja. Allahyarham Pehin Datu Seri Maharaja Dato Seri Utama Dr. Awang Haji Ismail bin Omar Abdul Aziz. Allahyarham merupakan orang Johor, Malaysia dan telah mendapat penghormatan daripada Sultan Haji Hassanal Bolkiah sehinggakan jenazah Allahyarham dan isterinya mendapat perkenan baginda untuk disemadikan didalam Kubah Makam Diraja. 

Allahyarham meninggal dunia dalam usia 82 tahun pada 03 Februari 1993 bersamaan 11 Syaaban 1413 di Rumah Sakit Raja Isteri Pengiran Anak Saleha di Bandar Seri Bagawan. Jenazah Allahyarham dikebumikan pada keesokan harinya 04 Februari 1993 bersamaan 12 Syaaban 1413 di Kubah Makam Diraja Brunei.

Setakat ini sahajalah yang Syah dapat ceritakan secara ringkas mengenai Kubah Makam Diraja. Yang dapat Syah ceritakan Syah akan kongsi bersama anda tetapi jika ada yang rahsia terpaksa disimpan untuk pengetahuan diri sendiri dan tidak dapat dikongsi bersama anda semua. Akhir kata jutaan terima kasih kepada sahabat Syah, Runy kerana sudi menyambut ketibaan Syah di Kubah Makam Diraja dan membawa Syah ziarah ke beberapa tempat lainnya di Brunei Darussalam. 

5 comments:

PutriPurnama said...

Assalammualaikum Syah.
Terimakasih kongsikan gambar2 yg.sangat berguna ini.Minta kebenaran Syah untuk menyalin dan menyimpannya utk.bahan bantu mengajar pd.anak murid. Sangat penting maklumat sejarah yg.Syah kongsikan, saya dah baca entry yg.sebelum2 ini, sangat berguna, ia menyuburkan kecintaan kepada bangsa dan negara.Harap teruskannya.Tahniah.

tengkusyah said...

Silakan Puteri Purnama

Anonymous said...

Maklumat yang sangat berguna,..,

tengkusyah said...

Terima Kasih

Elbisaiful said...

Yang batu bersurat tu kita di Brunei ni lebih menggelarnya sebagai 'Batu Tarsilah'