Wednesday, August 11, 2010

Raja Muda Perlis menyampaikan Ijazah & Anugerah di KLIA - 11.08.2010

Keperhatinan Canselor Universiti Malaysia Perlis atau UniMAP harus mendapat pujian dan sanjungan kerana telah sudi mencemar duli menyampaikan ijazah dan anugerah kepada graduan cemerlang UniMAP, Mohd Hafiz Zakaria yang tidak dapat menghadiri majlis konvokesyen UniMAP Sabtu lepas kerana kematian ibunya pada malam Jumaat iaitu sehari sebelum majlis konvo berkenaan. Mohd Hafiz mendapat berita kematian ibunya semasa sedang beratur untuk menerima pingat dalam satu majlis makan malam anjuran UniMAP bagi pelajar-pelajar yang berjaya. Beliau yang dijadualkan berucap sebagai wakil pelajar pada malam itu terpaksa meninggalkan majlis tersebut untuk pulang ke Johor. Ibunya, Jaonah Bahari (61 tahun) menghembuskan nafas terakhir di Hospital Kuala Lumpur jam 10:20pm malam Jumaat 06.08.2010 kerana mengidap ketumbuhan dalam otak.


Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra dan juga merupakan Canselor UniMAP telah mengambil kesempatan mencemar duli menyampaikan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Alam Sekitar dan Anugerah Emas Diraja Universiti Malaysia Perlis kepada pelajar cemerlang UniMAP, Mohd Hafiz Zakaria dalam satu istiadat ringkas di VIP Lounge, Kuala Lumpur International Airport pada hari Isnin, 10.08.2010. Baginda sebenarnya dalam perjalanan pulang ke Perlis melalui Pulau Pinang. Turut mengiringi baginda adalah Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil dan Naib Canselor UniMAP, Prof. Datuk Dr Kamaruddin Hussin. Hafiz (25 tahun) sekarang bertugas sebagai Jurutera di Melaka. Beliau melahirkan rasa terharu dan gembira atas kesudian Raja Muda Perlis menyampaikan ijazah kepada beliau walaupun konvokesyen telah berakhir dan beliau merasa sedih kerana arwah ibunya tiada bersama pada hari istemewa ini. Walau bagaimanapun beliau telah memaklumkan kepada arwah ibunya mengenai kejayaan beliau memperolehi Anugerah Emas Diraja dan arwah begitu teruja untuk menghadiri konvokesyen berkenaan tetapi takdir yang telah ditentukan tiada siapa yang boleh merubahnya. Hafiz reda dengan ketentuan ini dan menyifatkannya sebagai satu dugaan.

No comments: