Saturday, April 10, 2010

Marhum Affifullah Shah - 10.04.2010

Sebentar tadi semasa Syah melayari Face Book terjumpa salah seorang anakanda Al-Marhum Sultan Idris Almutawakkil Allallahi Shah atau dikenali dengan panggilan Marhum Afifullah Shah selepas kemangkatan Baginda. YAM merupakan anakanda bongsu Marhum Afifullah Shah bersama Almarhumah Dato Seri Norizan Haji Hamzah atau Syah panggil Mak Engku sahaja. Tak pernah berjumpa Al-Marhumah Dato' Seri cuma bercakap melalui telefon sahaja. Tak sangka Syah beliau telah kembali ke rahmatullah. Semuga Allah menempatkan roh kedua-dua Al-Marhum Tuanku dan Dato Seri bersama orang-orang yang soleh. Amin.

Al-Marhum Paduka Seri Sultan Idris Almutawakkil Allallahi Syah [Marhum Affifullah]
Sultan Perak ke-33

Sultan Idris diputerakan pada 17 Ogos 1924 di Bukit Chandan, Bandar DiRaja Kuala Kangsar, Perak. Merupakan putera sulung kepada Marhum Kadasallah iaitu Sultan Perak ke-30, Paduka Seri Sultan Iskandar Shah ibni Al-Marhum Paduka Seri Sultan Idris Murshidul 'Adzam Shah 1. Bondanya merupakan isteri ketiga Sultan Idris, Raja Perempuan Raja Puteh Umi Kalsom binti Raja Kulup Muhammad.


Serba sedikit mengenai Al-Marhum

Perlantikan :-

  • Raja DiHilir Perak pada 10.05.1934 sewaktu berusia 10 tahun
  • Raja Bendahara Perak pada 17.10.1938
  • Raja Muda Perak pada 15.07.1948
  • Sultan Perak pada 04.01.1963 - ditabalkan pada 26.10.1963

Pendidikan :-

  • Sekolah Melayu Bukit Chandan -03.01.1931
  • Sekolah Clifford
  • Maktab Melayu Kuala Kangsar
  • Mengikuti kursus dalam bidang Kerajaan Tempatan, Kebajikan Masyarakat dan Ekonomi Pertanian di Universiti Londan (1934 - 1951)
  • Ditauliahkan FMSVF dalam ketenteraan pada 1951 dan kemudiannya mendapat latihan ketenteraan di Depoh Askar Melayu DiRaja Port Dickson, Negeri Sembilan.

Kerjaya

  • Sultan Perak ke 33 (1963 - 1984) menggantikan sepupu Baginda Marhum Ghafarullah, Paduka Seri Sultan Yusoff Izuddin Shah iaitu ayahanda kepada Sultan Perak Sekarang Paduka Seri Sultan Azlan Muhibbuddin Shah
  • Konel Yang DiPertua Rejimen Jurutera Malaysia (1963-1984)
  • Mejar Askar Melayu DiRaja.
  • Pesuruhjaya Perkhidmatan Penghulu Negeri Perak (1951 - 1958)
  • Ahli Rasmi Majlis Mesyuarat Negeri Perak (1952 - 1957)
  • Pengerusi Jemaah Pangkuan Negeri (1956)
  • Pemangku Sultan Perak (1953)
  • Ahli Dewan Negara Perak (semenjak ditubuhkan pada 1953)
  • Penolong Pemungut Hasil Tanah di Kuala kangsar (1934 - 1945)

Anugerah
  • CMG oleh kerajaan British
  • PJK - Pingat Jasa Kebaktian - Baginda merupakan kumpulan pertama penerima pingat berkenaan apabila Kerajaan Perak pertama kali memulakan tradisi pengurnian bintang dan kebesaran pada tahun 1952.

Hobi

  • Amat mencintai bidang muzik, seni foto dan seni lukis yang dikatakan diwarisi dari Ayahanda baginda - Sultan Perak ke-30 dan dan Nenda baginda, Sultan Perak ke-28.
  • Amat mencintai Sejarah terutamanya Sejarah Kesultanan Perak. Dizaman pemerintahan baginda banyak makam-makam Al-Marhum Sultan Perak telah dibaikpulih.
  • Sukan bermotor air
  • Memburu / memancing (menangkap ikan)
  • Menanam Orkid

Semasa Baginda di atas tahta, telah diwujudkan gelaran Orang Besar Tiga Puluh Dua dari kalangan kaum wanita iaitu Toh Pekerma Wati, Toh Bijaya Wati, Toh Puspawati dan Toh Surawati.

Bak kata orang jodoh, ajal, maut dan pertemuan ditangan Tuhan. Setelah memerintah Perak selama hampir 21 tahun, ALLAH lebih sayangkan Baginda. Pada 31.01.1984 Baginda telah mangkat dalam usia 59 tahun di Lumut, Perak dan dimakamkan di Makam Diraja Bukit Chandan dengan penuh adat istiadat diraja Perak pada 03.02.1984. Baginda meninggalkan empat orang isteri. Ada pendapat menyatakan bahawa baginda mengiktiraf keempat-empat isterinya sebagai isteri rasmi kerana dalam kerajaan hanya isteri pertama sahaja yang berhak sebagai isteri rasmi dan disebabkan keadaan ini baginda tidak dilantik sebagai Yang Di-Pertuan Agong. Setakat mana kebenaran kenyataan itu wallah hu alam. Mungkin anda semua tidak tahu bahawa hanya penerima Dato' di negeri Perak sahaja yang membenarkan Isteri-Isteri pembawa gelaran berkenaan menggunakan gelaran Datin manakala ni negeri lain ianya hanya boleh digunakan oleh isteri pertama sahaja yang dianggap rasmi.

Seri Paduka Sultan Azlan Muhibuddin Shah bersama-sama keempat-empat isteri Marhum Affifullah semasa Istiadat Permakaman DiRaja Al-Marhum Sultan Idris Almutawakkil Allallahi Shah di Makam DiRaja Bukit Chandan, Bandar DiRaja Kuala Kangsar, Perak.

Selepas kemangkatan baginda, Dewan Negara yang bersidang telah mengesahkan perlantikan Raja Muda Perak, Tun Raja Azlan Shah menjadi Sultan Perak ke 34 sehingga sekarang dengan gelaran Paduka Seri Sultan Azlan Muhibuddin Shah ibni Al-Marhum Sultan Yussuff Izuddiin Ghafarullahulahu Shah. Tuanku Azlan Shah juga pernah dilantik sebagai Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong IX dalam tempoh lima tahun bermula 26.04.1989 hingga 25.04.1994.

No comments: