Tuesday, May 6, 2014

Yang Amat Mulia Tengku Puan Nor Sa'adah binti Almarhum Sultan Ala'eddin Suleiman Shah


06 Mei 2014, Selasa :-


Innalillahi wa inna ilaihi Rojiun. 

Inilah dia  Yang Amat Mulia Tengku Puan Nor Sa'adah binti Almarhum Sultan Ala'eddin Suleiman Shah yang mangkat semalam, 05 Mei 2014 di Hospital Ampang Puteri. Allahyarhamah Yang Amat Mulia Tengku Puan Nor Sa'adah telah dimasukkan ke hospital berkenaan pada 01 Mei lepas untuk mendapatkan rawatan perubatan dan mangkat pada pagi 05 Mei 2014 dalam usia 92 tahun 6 bulan 2 hari.  Jenazah  Yang Amat Mulia Tengku Puan telah dibawa ke Istana Alam Shah, Klang untuk penghormatan terakhir manakala solat jenazah diadakan di Masjid Istana Diraja, Istana Alam Shah sebelum dimakamkan di Makam Diraja Sultan Sulaiman, Klang pada petang semalam dengan penuh adat istiadat diraja Selangor. 

Salam takziah kepada seluruh keluarga Allahyarhamah Yang Amat Mulia Tengku Puan Nor Sa'adah. Alfitahah ........ Semuga Rohnya Allahyarhamah Yang Amat Mulia Tengku Puan Nor Sa'adah binti Almarhum Sultan Ala'eddin Suleiman Shah ditempatkan bersama-sama orang-orang yang beriman dan beramal solleh.  Amin. 

Allahyarhamah Yang Amat Mulia Tengku Puan Nor Sa'adah diputerikan pada 07 November 1922 di Istana Bandar di Jugra. Allahyarhamah Tengku Puan merupakan puteri kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan Ala'eddin Suleiman Shah ibni Almahum Raja Muda Musa, Sultan Selangor Kelima yang memerintah pada tahun 1898 hingga 1938. Bonda  Allahyarhamah Tengku Puan adalah Almarhumah Tengku Ampuan Fatimah binti Almarhum Sultan Idris Murshiidul Aadzam Shah (Sultan Perak) .  Sehubungan dengan itu, Allahyarhamah Tengku Puan mempunyai pertalian darah dengan kerabat Diraja Selangor disebelah ayahandanya dan Perak disebelah bondanya.

Apabila pusat pemerintahan kerajaan Selangor beralih dari Jugra ke Klang, Allahyarhamah Tengku Puan telah berpindah dan dibesarkan di Istana Mahkota, Klang (kini telah dirobohkan bagi mendirikan Istana Alam Shah, Istana rasmi Sultan Selangor sekarang). Allahyarhamah Tengku Puan telah dibesarkan dan mendapat pendidikan di Bandar Diraja Klang.  Allahyarhamah Tengku Puan bertemu jodoh dengan salah seorang kerabat diraja Selangor, Allahyarham Raja Tun Sir Uda Al-Haj bin Raja Muhammad pada 30 Julai 1939 iaitu selepas hampir setahun kemangkatan Paduka Ayahandanya. Allahyarhamah Tengku Puan merupakan isteri ketiga kepada Allahyarham Raja Tun Sir Uda Al-Haj.  

Allahyarham Raja Tun Sir Uda Al-Haj sebelum ini berkahwin dengan Raja Maslama Raja Busu dan Yang Amat Mulia Tengku Badariah binti Almarhum Sultan Ala'eddin Suleiman Shah. Selepas kemangkatan Tengku Badariah pada 11 Februari 1937, Allahyarham Raja Tun Sir Uda Al-Haj berkahwin dengan Allahyarhamah Tengku Puan pada 1939 seperti kata orang-orang dahulu "berganti tikar". Istiadat perkahwinan diantara Allahyarhamah Tengku Puan dan Allahyarham Raja Tun Sir Uda Al-Haj berlangsung dengan meriah sekali mengikut adat istiadat diraja Selangor sebagai mana seorang puteri Sultan.

Perkahwinan diantara Allahyarhamah Tengku Puan dan Allahyarham Raja Tun Sir Uda Al-Haj kekal selama 37 tahun sehingga kemangkatan Allahyarham Raja Tun Sir Uda Al-Haj pada 1976. Hasil daripada perkahwinan ini,  Allahyarhamah Tengku Puan telah dikurniakan dengan tujuh orang cahayamata, lima lelaki dan dua perempuan. Sehingga hari ini empat orang anakanda Allahyarhamah Tengku Puan masih hidup yang mana selebihnya telah mangkat dan ada yang mangkat sewaktu kecil.

Pada July 1949 – March 1953, Allahyarham Raja Tun Sir Uda Al-Haj  menjadi Menteri Besar Selangor ke-2 dan ini menjadikan beliau sebagai Isteri kepada Menteri Besar. Pada April 1953 - September 1954, Allahyarhamah Tengku Puan ke London kerana mengikut suaminya bertugs sebagai Wakil Malaya dan Singapura di London. Pada September 1954 - Ogos 1955 sekali lagi Allahyarham Raja Tun Sir Uda Al-Haj  menjadi Menteri Besar Selangor ke-4. Pada 31 0gos 1957 - 30 Ogos 1967 Allahyarhamah Tengku Puan bergelar Isteri Kepada Governor Pulau Pinang atau Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang apabila suami Allahyarhamah Tengku Puan  dilantik sebagai Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang pertama selepas kemerdekaan.

Dibawah adalah gambar-gambar Allahyarhamah Tengku Puan  dan sila click gambar untuk imej yang lebih besar.





Allahyarhamah Tengku Puan dari kecil hingga dewasa


Perkahwinan Diraja 


Allahyarhamah Tengku Puan bersama anak-anak dan suami



Allahyarhamah Tengku Puan bersama anak-anak, dari kiri Raja Sharif, Raja Datin Paduka Fuziah, Allahyarham Raja Dato' Redzwa (anak tiri/anak saudara), Raja Dato' Seri Dzulkifli dan Raja Tan Sri Dato' Seri Arshad.


Allahyarhamah Tengku Puan ketika begelar Isteri kepada Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang.



Jenazah Allahyarhamah Tengku Puan diletakkan di Istana Alam Shah, Bandar Diraja Klang untuk penghormatan terakhir manakala solat jenazah diadakan di Masjid Istana Diraja, Istana Alam Shah sebelum dimakamkan di Makam Diraja Sultan Sulaiman, Klang pada petang semalam dengan penuh adat istiadat diraja Selangor.


Sumber :-  THE RAJA SIR TUN UDA AL HAJ BIN RAJA MUHAMMAD FAMILY WEBSITE / Raja Petra / Tengku Yasmin bt Tenggu Aris Temenggong Mohamad Yusuf / Ku Jannah / Ku Gee / Raja Molek/Royal Ark

No comments: