Saturday, June 29, 2013

Majlis Akad Nikah YAM Pengiran Muda Abdul Qawi dan YAM Tengku Amalin A'ishah Putri Berjalan Lancar

29 Jun 2013, Sabtu :-

Majlis Akad Nikah pengantin diraja diantara YAM Pengiran Muda Abdul Qawi dan YAM Tengku Amalin A'ishah Puteri berjalan lancar dengan penuh adat istiadat diraja Kelantan di Istana Mahkota, Kelantan pada hari Khamis malam Jumaat bersamaan 27 Jun 2013.  Turut berangkat dalam majlis ini adalah Mantan Al-Sultan Kelantan, Duli Yang Maha Mulia Sultan Ismail Petra ibni Almarhum Sultan Yahya Petra ; Duli Yang Maha Mulia Raja Perempuan Tengku Anis ; Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal-Waqar Pengiran Muda Mohamed Bolkiah ibni Al-Marhum Sultan Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien dan Yang Teramat Mulia Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Hajah Zariah binti Al-Marhum Pengiran Pemancha Pengiran Anak Haji Mohamed Alam.




Majlis dimulai dengan bacaan ayat suci Al-Quran diikuti dengan pemasangan dian (lilin) empat sebagai simbolik bermulanya Majlis Akad Nikah.  Akad Nikah disempurnakan oleh Imam Besar Masjid Sultan Ismail Petra.  YAM Pengiran Muda Abdul Qawi kemudiannya menandatangani sijil perkahwinan dengan disaksikan oleh para hadirin di majlis  berkenaan.  Akhir sekali bacaan doa berkumandang diudara menandakan majlis Akad Nikah telah disempurnakan.  Setelah sah bergelar suami kepada YAM Tengku Amalin A'ishah Puteri, YAM Pengiran Muda Abdul Qawi telah memeluk dan mencium kedua ayahanda dan bondanya.  Majlis diteruskan dengan kedua-dua pengantin diraja berada dipelamin khas sebagai simbolik YAM Pengiran Muda Abdul Qawi menerima YAM Tengku Amalin A'ishah Puteri sebagai isterinya. Akhir sekali para jemputan yang terdiri daripada keluarga diraja Brunei dan keluarga diraja Kelantan serta teman rapat keluarga diraja Kelantan menghadiri Majlis Santapan sempena meraikan kedua-dua penganti diraja.




Sumber : MBS/Pelita Brunei

No comments: