Wednesday, May 22, 2013

Tuanku Muhriz Sempurnakan Majlis Angkat Sumpah Anggota EXCO Negeri Sembilan

22 Mei 2013, Rabu :-

Hari ini Duli Yang Maha Mulia Yang DiPertuan Besar Negeri Sembilan Darul Khusus, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir telah berkenan menyempurkan Majlis Angkat Sumpah   Anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) Negeri Sembilan. Turut berangkat mengiringi baginda adalah Duli Yang Maha Mulia Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan Darul Khusus, Tuanku Aishah Rohani bte Almarhum Tengku Besar Mahmud.  Dalam majlis yang diadakan di Istana Besar Seri Menanti ini, Tuanku Muhriz menyampaikan watikah perlantikan dan menyaksikan 10 EXCO berkenaan menandatangani surat sumpah jawatan. Tuanku Muhriz dalam titah baginda mengucapkan tahniah kepada ahli EXCO yang telah dipilih dan berharap agar mereka berkhidmat sebagai satu  pasukan yang mantap dalam memajukan negeri.  Titah baginda lagi, ahli EXCO harus menjalankan amanah yang diberi, ikhlas dan telus dalam melaksanakan tugas mereka kepada masyarakat. Diantara titah baginda dalam majlis ini :-
  • Beta percaya dengan pelantikan ini juga, kamu akan memastikan segala kepentingan luar seperti kepentingan perniagaan akan dilepaskan kerana kedudukan yang diamanahkan ini bukan untuk disalahgunakan bagi tujuan kepentingan diri sendiri.
Dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 pada 05 Mei 2013 lepas, Barisan Nasional telah memenangi 22 daripada 36 kerusi Dewan Undangan Negeri yang dipertandingkan dan telah mendapat mandat dari rakyat Negeri Sembilan untuk meneruskan kesinambungan pentadbiran kerajaan negeri. ADUN N27 Rantau, Dato' Seri Mohamad Hassan telah mendapat perkenan daripada Tuanku Muhriz untuk dilantik semula sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan untuk tempoh lima tahun yang akan datang. Tahniah diucapkan kepada semua YB yang terpilih sebagai EXCO Negeri Sembilan.

Sumber :- Bernama /MBS / BH Online

No comments: