Tuesday, May 14, 2013

Istiadat Mengangkat Sumpah dan Membaca Ikrar Akujanji Menteri Besar Selangor Dihadapan Sultan Selangor


14 Mei 2013, Selasa :-

Pagi tadi telah diadakan Istiadat Mengangkat Sumpah dan Membaca Ikrar Akujanji  Menteri Besar Selangor di Balairong Seri Istana Alam Shah, Klang, Selangor. Istiadat berlangsung lebih kurang jam 10:10hrs dihadapan Sultan Selangor, Duli Yang Maha Mulia Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj.  Dalam istiadat ini Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim  telah menandatangani Aku Janji Menteri Besar Selangor dengan Hakim Utama Mahkamah Tinggi Shah Alam, Dato' Mohamad Zabidin Mohd Diah sebagai saksi. Dengan ini, Tan Sri Khalid Ibrahim dilantik sebagai Menteri Besar Selangor untuk penggal yang kedua. Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor, Faekah Husin memaklumkan antara yang hadir dalam majlis ini adalah kerabat-kerabat diraja dan ketua-ketua jabatan berkaitan kerajaan manakala ADUN Pakatan Rakyat dan Barisan Nasional tidak hadir dalam istiadat ini.


Kelihatan Tan Sri Abdul Khalid  memegang sebatang tombak yang matanya berbalut kain kuning, turut melafazkan 10 Aku janji Jawatan Menteri Besar untuk dilaksanakan sepanjang tempoh perkhidmatannya. Tombak ini bernama "Sang Buana" dan merupakan lambang kuasa baginda Sultan. Ini merupakan istiadat mengangkat sumpah jawatan Menteri Besar  paling unik di Malaysia sempena PRU ke-13.

Aku janji itu termasuk akan menjunjung tinggi prinsip Rukun Negara, memelihara dan melindungi kesucian serta keagungan agama Islam sebagai agama negeri, mematuhi kedaulatan institusi Raja dan mempertahankannya daripada digugat oleh mana-mana pihak serta melaksanakan tugas beliau dengan integriti yang tinggi, penuh rasa tanggungjawab, amanah, jujur dan ikhlas. Menteri besar juga berjanji untuk memelihara keistimewaan orang Melayu dan kepentingan sah kaum lain seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan Undang-undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959, mendahulukan rakyat selagi ia tidak menjejaskan kepentingan kestabilan, kemakmuran dan keselamatan negeri; memelihara hubungan baik kerajaan persekutuan dan negeri-negeri lain dalam Persekutuan serta memastikan perpaduan antara kaum dengan menitikberatkan semangat muhibah dan kerjasama antara kaum.

Sumber :- Malaysiakini/Berita Harian Online/Bernama

No comments: