Monday, April 18, 2016

Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Nor Ehsani


18 April 2016, Isnin :-

Tahukan anda siapa wanita berbaju merah ini.  Beliau adalah Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Nor Ehsani binti Almarhum Sultan Ahmad Tajuddin Akazul Khairi WaddienIni yang kini berusia 79 tahun.  Ini adalah gambar terbaru Yang Teramat Mulia diambil sewaktu Majlis Bersanding YAM Pengiran Anak Hajah Nurul Amal Ni’matullah Athirah Dan YM Awang Mohamad Bazil Azhar pada 17 April 2016 di Baitul Athirah, Kampung Beribi, Gadong.  

Yang Teramat Mulia merupakan puteri kepada Almarhumah Tengku Raihani (Tengku Ampuan Raihani) binti Sultan Ala'eddin Sulaiman Shah bersama suami pertama Almarhumah, Al-Marhum Sultan Ahmad Tajuddin Akazul Khairi Waddien ibni Al-Marhum Sultan Muhammad Jamalul Alam II, Sultan Brunei ke-27 yang memerintah pada 1924 hingga 1950. Almarhumah Tengku Raihani merupakan kerabat Diraja Selangor dan puteri kepada Sultan Selangor ke-5. Almarhumah mendirikan rumahtangga dengan Al-Marhum pada tahun 1934.

Pada tahun 1950, Al-Marhum Sultan Ahmad Tajuddin telah jatuh gering secara tiba-tiba sewaktu berada di Singapura dalam perjalanan berangkat ke England dan mangkat pada hari Sabtu, 03 Jun 1950 di Singapore General Hospital kerana tiada tindak balas terhadap pemindahan darah yang dilakukan dan Al-Marhum telah koma beberapa jam sebelum mangkat. Al-Marhum ketika itu berusia 37 tahun.

Sebelum jenazah Al-Marhum Sultan Ahmad Tajuddin dibawa ke Kubah Makam Diraja untuk Istiadat Permakaman pada 06 Jun 1950, adinda baginda, Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisura Pengiran Muda Omar 'Ali Saifuddien (Kemudiannya bergelar Sultan Haji 'Omar 'Ali Saifuddien III – Ayahanda Sultan Brunei sekarang)  telah ditabalkan sebagai Sultan Brunei yang baru. Adinda Al-Marhum dipilih sebagai Sultan Brunei ke-28 kerana Al-Marhum Sultan Ahmad Tajuddin tidak mempunyai anak lelaki.  Hasil perkahwinan Al-Marhum Sultan Ahmad Tajuddin dengan dua orang isterinya hanya menghasilkan anak perempuan sahaja.

Entry Terdahulu : 

Sumber :- Maharum Bugis Syah/bruneiroyalfamily IG

No comments: