Wednesday, August 1, 2012

Sultan Selangor Rasmikan Masjid Rantau Panjang

01.08.2012, Rabu - Semalam Sultan Selangor, Duli Yang Maha Mulia Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj telah berkenan merasmikan Masjid  Rantau Panjang, Bistari Jaya, Selangor.  Masjid ini mula digunakan semenjak 02 Ogos 2011 dan mula dibina pada 2009 dengan kos RM4.6 juta. Dalam majlis ini juga, baginda telah menerima zakat perniagaan daripada Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor berjumlah RM200,000.00 daripada En Ali Ahmad Pengurus Besar Kumpulan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor. Kemudiannya baginda menyampaikan sumbangan Hari  Raya kepada 514 golongan kurang berkemampuan termaasuk 207 asnaf miskin, 141 anak yatim dan 125 asnaf mualaf. 

Sultan Selangor dalam titah baginda mahukan agar Masjid bebas daripada pengaruh politik dan pihak-pihak yang berkepentingan bagi menjamin kesejahteraan dan perpaduan dikalangan umat Islam terutamanya di Selangor. Tambah baginda lagi, Masjid dan Surau merupakan tempat ibadah yang suci bagi mendekatkan diri dengan Allah dan bukannya lokasi penyebaran ideologi politik.  Sehubungan dengan itu, baginda menasihatkan agar Ahli jawatankuasa Masjid dan Surau menggunakan imam dan pensyarah jemputan bertauliah yang dilantik oleh Jabatan Agama Islam Selangor.  Sebagai Ketua Negeri, baginda akan memastikan tiada anasir yang akan merosakkan bangsa Melayu dan agama Islam.  Tindakan tegas akan dikenakan kepada individu atau pihak yang mencetuskan permusuhan dan perbalahan antara kaum dan masyarakat di Selangor. Tuanku menyeru supaya kaum Melayu di Selangor bersatu padu dan tidak berbalah kerana perbezaan ideologi politik.

Titah baginda, "Kita orang Melayu harus bersatu padu dengan satu agama iaitu agama Islam.  Beta kecewa dan sedih jika rakyat Melayu di Selangor berpecah-belah disebabkan pendapat politik yang berlainan"

Sumber :- Bernama

No comments: