Saturday, April 11, 2015

Ziarah Ke Makam Sultan Tengah


11 April 2015, Sabtu :-

Pada 20 hingga 23 Mac lepas Syah telah ke Negeri Sarawak bersama Mus, Haziq, Cd dan Nurul. Semasa di Sarawak Syah mengambil kesempatan menziarahi Makam Sultan Tengah yang merupakan Sultan Pertama dan Terakhir Sarawak. Mungkin ramai yang tidak tahu Sarawak pernah ada Sultan satu ketika dahulu.  Kali terakhir Syah ziarah ke makam ini adalah pada tahun 2012.





Lokasi Makam ini di Santubung dan jika kita dalam perjalanan ke Kampung Budaya Sarawak kita akan melalui kawasan ini. Iannya terletak diatas bukit kecil ditepi jalan utama sahaja dan mudah untuk menjejakinya tetapi jika kita tidak biasa dengan kawasan ini mungkin kita tidak akan perasan lokasi makam walaupun iannya terletak betul-betul ditepi jalan. Pemandu teksi yang bawa kamipun hampir terlepas kawasan ini sehingga kami maklumkan supaya dia berhenti.


Shukur Alhamdulillah sampai juga hajat Syah ziarah ke Makam Sultan Tengah. Sempat hadiahkan Al-Fatihah kepada Al-Marhum. Mula-mula Syah terasa seperti hendak melihat bentuk batu yang ditutupi kain kuning ini tetapi akhirnya Syah batalkan niat itu kerana tiba-tiba hati Syah berkata tak perlu melihat batu itu. Anak saudara Syah maklumkan kepada Syah warna kain itu cantik sangat, kuning seperti emas dan Syah senyum sahaja. Selepas ziarah, kami meneruskan perjalanan ke Bandar Kuching.


Al-Marhum Sultan Tengah merupakan putera kepada Sultan Muhammad Hasan, Sultan Brunei. Apabila Sultan Muhammad mangkat pada 1598, tahta kerajaan diganti oleh putera sulung baginda, Sultan Abdul Jalilul Akhbar (1598-1659) sebagai Sultan Brunei ke-10. Walau bagaimanapun adinda kepada Sultan Abdul Jalilul iaitu Pengiran Muda Tengah mendakwa beliau yang sepatutnya layak menjadi Sultan atas alasan beliau merupakan putera Sultan kerana dia dilahirkan sewaktu Ayahandanya menjadi Sultan manakala abangnya itu dilahirkan sebelum ayahanda mereka menjadi Sultan. Bermakna kekandanya merupakan putera kepada Pengiran Muda dan bukan putera seorang Sultan sewaktu dilahirkan manakala beliau dilahirkan sebagai putera seorang Sultan.


Untuk mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku, Sultan Abdul Jalilul Akhbar telah mendapat satu helah dengan merajakan Pengiran Muda Tengah di Sarawak yang merupakan jajahan Brunei ketika itu. Baginda menggunakan gelaran Sultan Tengah. Mengikut Tarsilah Sambas Sultan Tengah mangkat pada 1641, iaitu selepas 10 tahun putera baginda, Sultan Muhammad Safiuddin I (Radin Sulaiman) menaiki tahta Sambas pada 09.07.1631. Baginda mangkat sewaktu dalam perjalan pulang dari Matan ke Sarawak. Baginda telah dibunuh oleh pengiring baginda ketika baginda hendak ke sungai untuk membuang air besar. Kejadian berlaku di Batu Buaya, Santubung, Sarawak.


Dengan kemangkatan ini maka berakhirlah Kesultanan Sarawak, tetapi nama gelaran kepada Datu-Datu Sarawak masih tinggal kekal menjadi warisan bangsa. Tiada pengganti Sultan selepas kemangkatan Al-Marhum dan Sebab itulah Al-Marhum Sultan Tengah dikenali sebagai Sultan Pertama dan Terakhir Sarawak.

Al-Fatihah


Semuga Rohnya Al-Marhum Sultan Tengah ditempatkan bersama-sama orang-orang yang beriman dan beramal Solleh. Amien

No comments: