Monday, January 26, 2015

Yang Maha Mulia Tengku Ampuan Tua Terengganu Tengku Ampuan Intan Zaharah Mangkat


Al-Fatihah

Semuga Rohnya Almarhumah Yang Maha Mulia Tengku Ampuan Tua Terengganu Tengku Ampuan Intan Zaharah ditempatkan bersama-sama orang-orang yang beriman dan beramal solleh. Amien.


26 Januari 2015, Isnin :-

Yang Maha Mulia Tengku Ampuan Tua Terengganu Tengku Ampuan Intan Zaharah binti Almarhum Tengku Seri Setia Raja Tengku Hitam Omar telah mangkat dalam usia 86 tahun di Hospital Pantai Kuala Lumpur lebih kurang jam 15:26hrs akibat radang paru-paru pada hari Sabtu 24 Januari 2015 bersamaan 03 Rabiulakhir 1436. Jenazal Almarhumah YMM Tengku Ampuan Intan Zaharah dibawa pulang ke Kuala Terengganu pada pagi Ahad menggunakan pesawat C130 Tentera Udara Diraja Malaysia melalui Pengkalan Tentera Udara Subang. 

Jenazah tiba di Lapangan Terbang Sultan Mahmud lebih kurang jam 10:15hrs dan dibawa terus ke Istana Maziah untuk Istiadat Penghormatan Terakhir. Jenazah disemayamkan (diletak) diatas  Perbalaian Tiga Tingkat di Istana Maziah mulai jam 11:00hrs sehingga jam 13:00hrs untuk memberi kesempatan kepada kerabat-kerabat diraja, para pemimpin dan pelbagai lapisan rakyat menziarah dan memberikan penghormatan terakhir kepada jenazah Almarhumah.

Jenazah kemudiannya dibawa keluar dari Istana Maziah mengunakan pedati khas untuk Istiadat Permakaman di Makam Diraja Terengganu yang terletak didalam kawasan Masjid Abidin (Masjid Negeri) atau lebih dikenali oleh warga tempatan sebagai Masjid Putih. Istiadat Permakaman dan bacaan talkin disempurnakan oleh Mufti Terengganu, Dr. Haji Zulkifly bin Muda. Istiadat Permakaman berlangsung selepas Solat Zohor dan jenazah dimakamkan bersebelahan makam paduka suami Almarhumah iaitu Almarhum Sultan Ismail Nasiruddin Shah.

Almarhumah YMM Tengku Ampuan Intan Zaharah diputerikan pada 13 April 1928 di Singapura merupakan puteri kepada YBM Tengku Hitam Omar bin Tengku Osman dan YM Raja Zainab binti Raja Alang.  Almarhumah bertemu jodoh dengan Almarhum Sultan Ismail Nasiruddin Shah ibni Almarhum Sultan Zainal Abidin III, Sultan Terengganu ke-14 pada 03 April 1944 ketika berusia 16 tahun. 

Almarhumah dilantik sebagai Tengku Ampuan Besar Terengganu pada 06 Jun 1949. Pada 21 September 1965, Almarhumah menjadi Raja Permaisuri Agong ke-4 untuk tempoh 5 tahun sehingga 20 September 1970 dengan gelaran Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tuanku Intan Zaharah binti Tengku Seri Setia Raja. Almarhumah minat bermain badminton dan memancing. Perkahwinan diantara Almarhumah dan Almarhum Tuanku Ismail Nasiruddin Shah tidak dikurniakan sebarang cahayamata. 

Selepas kemangkatan Almarhum Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Almarhumah bersemayam di Istana Zahratul Ihsan, Jalan Sultan Mahmud, Kuala Terengganu, Terengganu.

Sila Click gambar untuk imej yang lebih besar.


Almarhum Tuanku Ismail Nasiruddin Shah dan Almarhumah YMM Tengku Ampuan Intan Zaharah ketika menjadi Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong.


Almarhumah YMM Tengku Ampuan Intan Zaharah (kiri) bersama  Allahyarhamah YMM Tengku Ampuan Bariah  ketika Istiadat Pertabalan Tuanku Mizan sebagai Sultan Terengganu Ke-17.


Almarhumah YMM Tengku Ampuan Intan Zaharah bersama Tuanku Mizan dan Tuanku Nur Zahirah dalam satu Istiadat Rasmi. Disebelah Tuanku Mizan adalah Allahyarhamah YMM Tengku Ampuan Bariah yang merupakan permaisuri kepada Almarhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Ismail Nasiruddin Shah.


Keberangkatan tiba Jenazah Almarhumah YMM Tengku Ampuan Intan Zaharah ke Kuala Terengganu dari Kuala Lumpur.




Istiadat Penghormatan Terakhir di Istana Maziah



Dari kiri Duli Yang  Maha Mulia Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani bte Almarhum Tengku Besar Mahmud yang juga merupakan salah seorang Kerabat Diraja Terengganu  dan Yang Teramat  Mulia Tengku Besar Terengganu Dato’ Seri Sharifah Nong Asegaff yang merupakan bonda kepada Tuanku Mizan serta kerabat Diraja yang lain sedang memberi Penghormatan Terakhir kepada Jenazah Almarhumah YMM Tengku Ampuan Intan Zaharah.

   

Dua orang Puteri Tuanku Mizan,  Tengku Nadhirah Zaharah (kiri) dan Tengku Fatimatuz Zahra (dua, kiri) memberi penghormatan terakhir kepada Almarhumah YMM Tengku Ampuan Intan Zaharah.  Tuanku Mizan dan Tuanku Nur Zahirah berada diluar Negara ketika ini.

Solat Jenazah disempurnakan oleh Mufti Terengganu, Dr. Haji Zulkifly bin Muda.


Jenazah Almarhumah YMM Tengku Ampuan Intan Zaharah berangkat keluar daripada Istana Maziah ke Makam Diraja Terengganu di Masjid Abidin (Masjid Negeri).



Duli Yang  Maha Mulia Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani bte Almarhum Tengku Besar Mahmud menyiram air mawar di Makam Almarhumah YMM Tengku Ampuan Intan Zaharah.


Tengku Seri Laksamana Raja, Tengku Sulaiman ibni Almarhum Sultan Ismail Nasiruddin Shah menyiram air mawar dimakam bonda tirinya.


Tengku Sri Temenggung Raja, Tengku Baharuddin ibni Almarhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah menyiram air mawar dimakam nenda tirinya.


Menteri Besar Terengganu, YAB Dato' Ahmad Razif bin Abdul Rahman menyiram air mawar di makam Almarhumah YMM Tengku Ampuan Intan Zaharah.


Ini adalah makam kepada suami Almarhumah YMM Tengku Ampuan Intan Zaharah, Almarhum Sultan Ismail Nasiruddin Shah ibni Almarhum Sultan Zainal Abidin III. Disebelah makam inilah jenazah Almarhumah YMM Tengku Ampuan Intan Zaharah dimakamkan.


............ Al-Fatihah ...........

Sumber :- Bernama/The Royal Ark/Warisan Permaisuri Melayu

No comments: