Monday, January 19, 2015

Istiadat Menyembah Tahniah dan Penganugerahan Darjah-Darjah Serta Bintang-Bintang Kebesaran Sempena Hari Keputeraan Sultan Kedah Yang Ke-87


Yang Teramat Mulia Tunku Temenggong Kedah Dato' Seri DiRaja Tan Sri Tunku Sallehuddin ibni Almarhum Sultan Badlishah  berkenan menyampaikan Anugerah Jaksa Pendamai (J.P.) kepada Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir. 

19 Januari 2015, Isnin :-

Semalam telah diadakan istiadat menyembah tahniah dan penganugerahan darjah-darjah serta bintang-bintang kebesaran sempena hari keputeraan Sultan Kedah yang ke-87 di Istana Anak Bukit, Alor Setar, Kedah.  Istiadat disempurnakan oleh Pengerusi Pemangku Sultan Negeri Kedah Darul Aman, Yang Teramat Mulia Tunku Temenggong Kedah Dato' Seri DiRaja Tan Sri Tunku Sallehuddin ibni Almarhum Sultan Badlishah. 

Titah ucapan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Almu'tasimu Billahi Muhibbuddin Tuanku Alhaj Abdul Halim Mu'adzam Shah ibni Almarhum Sultan Badlishah yang juga merupakan Sultan Kedah telah disampaikan oleh YTM Dato' Seri DiRaja Tan Sri Tunku Sallehuddin didalam istiadat berkenaan. Diantara titah baginda, baginda meminta rakyat memastikan sebarang projek pembangunan yang dirancang serta kegiatan sosio-ekonomi tidak menjejaskan alam sekitar, susulan bencana bencana banjir yang berlaku di negeri-negeri Pantai Timur. Baginda juga berharap kerja-kerja tebatan banjir yang telah dirancang kerajaan negeri Kedah dan mendapat kelulusan kerajaan Persekutuan dilaksanakan dengan kadar segera.

Baginda turut memberi nasihat meminta ibu bapa menghindari anak-anak mereka daripada terjebak dengan fahaman-fahaman yang menyimpang daripada ajaran agama Islam yang sebenar. Baginda meminta pondok-pondok agama di Kedah memainkan peranan mereka bagi memastikan rakyat negeri Kedah tidak terpengaruh dengan fahaman ekstremisme. Baginda juga bertitah agar Kerajaan Persekutuan segera meluluskan cadangan pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim di Sungai Petani. Baginda yakin pembinaan projek tersebut dapat mencetuskan pertumbuhan ekonomi bagi negeri-negeri di utara Semenanjung. Baginda merasa berbangga kerana politik di dalam negeri Kedah berada dalam kedudukan terkawal.


Sumber :- Bernama

No comments: