Saturday, January 10, 2015

Bekas Yang di-Pertua Negeri Sarawak Ke-4 Meninggal Dunia


10 Januari 2015, Sabtu :-

Dukacita dimaklumkan bahawa Bekas Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Abdul Rahman Ya'kub telah meninggal dunia malam tadi 09 Januari 2015 lebih kurang jam 21:30hrs di Pusat Perubatan Normah dalam usia 87 tahun. Para pembesar, pemimpin dan juga rakyat jelata boleh menziarahi dan memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham di Masjid Negeri mulai jam 10:30hrs hingga 12:00hrs bagi orang awam dan 11:30hrs hingga 12:30hrs bagi orang-orang kenamaan. Kerajaan Negeri Sarawak mengarahkan bendera negeri dikibarkan setengah tiang.





Orang ramai yang berhasrat menziarahi jenazah Allahyarham dinasihatkan supaya mengenakan pakaian yang sesuai manakala orang Islam dinasihatkan supaya memakai baju kebangsaan hitam, manakala wanita bukan Islam mengenakan baju kurung atau kebaya labuh.

Istiadat Pengkebumian akan disempurnakan di Tanah Perkuburan Islam Semariang selepas Solat Zohor hari ini. Jenazah Allahyarham Tun Abdul Rahman Ya'kub akan disemadikan bersebelahan makam isteri pertama Allahyarham Tun, Toh Puan Normah meninggal dunia pada 1983.

Allahyarham Tun Abdul Rahman Ya'kub berketurunan melanau dilahirkan pada 03 Januari 1928 di Kampung Jepak, Bintulu, Sarawak. Dilantik sebagai Ketua Menteri Sarawak pada 1970 hingga 1981 dan Yang di-Pertua Negeri Sarawak pada 1981 hingga 1984.  

Allahyarham Tun yang terkenal sebagai seorang yang suka berpidato pernah menjadi Menteri Pelajaran Persekutuan pada 1969. Allahyarham Tun juga merupakan bapa saudara kepada Yang di-Pertua Negeri Sarawak sekarang, Tuan Yang Terutama Tun Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud.

Allahyarham Tun Abdul Rahman Ya'kub meninggalkan seorang balu, Toh Puan Siti Maemunah dan lapan anak perempuan termasuk Anggota Dewan Undangan Negeri Tanjung Manis, Datuk Norah Abdul Rahman dan Khadijah yang merupakan menantu Allahyarham Perdana Menteri kedua Tun Abdul Razak Hussein. 

Takziah diucapkan kepada seluruh keluarga Allahyarham Tun Abdul Rahman Ya'kub, semuga kalian tabah menghadapi dugaan ini.

...................... Al-Fatihah ...................


Semuga Rohnya Allahyarham Tun Abdul Rahman Ya'kub ditempatkan bersama-sama orang-orang yang beriman dan beramal solleh. Amien.

Sumber :- Bernama/Radio Bernama/Borneo Post Online

No comments: