Monday, December 6, 2010

Menziarahi Makam Tun Habab - 05.11.2010


Dari Makam Sultan Mahmud Mangkat Dijulang, Muss bawa kami ke kawasan tepi sungai yang dikenali sebagai Pengkalan Kota, Kota Tinggi. Dengar ceritanya disinilah dahulu tempat pedagang-pedagang asing menjalankan urusniaga mereka. Ada beberapa buah kedai di kawasan Pengkalan Kota ini, bila kami turun ambil gambar orang-orang disitu tengok-tengok kami jer.... tak tahu nape, mungkin mereka tahu orang luar kot kalau orang Kota Tinggi takkan hendak ambil gambar kan? Heheheheh. Dari Pengkalan Kota kami bertolak ke Makam Tun Habab yang terletak tidak berapa jauh dari Makam Sultan Mahmud Mangkat DiJulang, adalah 5 minit memandu.



Semasa sampai di Makam, Syah dan Cd masuk ke Komplek Makam yang diperbuat daripada batu yang dicat warna Pink serta berbumbung warna Biru manakala Muss menunggu didalam kereta. Terdapat beberapa Batu Nesan Aceh diluar Komplek Makam Tun Habab ini. Dalam Makam Syah nampak ada seekor kucing kampung tapi bulaunya cantik bewarna-warni tak silap Syah ada Putih, Hitam, Kuning dan ada warna yang Syah tak ingat. Syah nampak Cd hendak ambil gambar kucing tu tapi meow tu lari keluar tak sempat hendak ambil gambarnya dan Syah senyum jer.

Tentu anda semua tertanya-tanya siapa Tun Habab (Habib) tu? Nama sebenar baginda adalah Bendahara Tun Abdul Majid Tun Habab Padang Saujana Johor atau dikenali sebagai Tun Habab Abdul Majid. Tun Habab menjadi Bendahara kepada dua orang Sultan iaitu semasa pemerintahan Sultan Ibrahim Shah I dan Sultan Mahmud Shah II atau lebih dikenali sebagai Sultan Mahmud Mangkat Di Julang. Tun Habab merupakan Bendahara Johor Ke-19 yang dikatakan berasal dari keturunan anak cucu Tun Hussin Temenggung iaitu anak Tun Mutahir, Bendahara Seri Maharaja Melaka Ke-8. Tun Mutahir telah dibunuh oleh Tun Sura Diraja dan Tun Indera Segara atas titah perintah Sultan Melaka, Sultan Mahmud Shah akibat fitnah Raja Mendeliar dan Si Kitul.

Selepas kemangkatan Sultan Mahmud Shah II yang dibunuh oleh Laksamana Bentan, Tun Habab telah ditabalkan sebagai Sultan Johor ke II kerana Sultan Mahmud Shah II tidak berputera. Tun Habab menggunakan gelaran Sultan Abdul Jalil Riayat Shah Ke-IV (4).

Tun Habab atau Sultan Abdul Jalil Shah Ke-IV ini Penting dalam Sejarah kerana beberapa sebab seperti berikut :-

  • Memindahkan Pusat Pemerintahan Johor dari Kota Makam Tauhid ke Kota Pancur pada tahun 1700

  • Anakanda Baginda, Tun Zainal Abidin menjadi Sultan Terengganu Pertama dengan gelaran Sultan Zainal Abidin I. Keturunan Sultan Zainal Abidin I ini telah memerintah Terengganu sehingga hari ini disambung oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin.

  • Puteri Baginda, Tunku Tengah telah berkahwin dengan Daing Perani, putera salah seorang anak raja bugis lima bersaudara yang terkenal di Alam Melayu yang keturunannya menjadi Sultan Johor sehingga sekarang disambung oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim.

  • Tun Abas putera Tun Habab menjadi Bendahara Seri Maharaja Pahang dan keturunannya menjadi Sultan Pahang sehingga kini disambung oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah.

AL-FATIHAH

SEMUGA ALLAH MENCUCURI RAHMATNYA KE ATAS ALMARHUM TUN HABAB DAN MENEMPATKAN BAGINDA BERSAMA-SAMA ORANG-ORANG YANG SOLEH.

AMIN.

No comments: