Thursday, October 24, 2013

Perkahwinan Puteri keempat Sri Sultan Hamengkubuwono XI Penuh Adat Istiadat Diraja



24 Oktober 2013, Khamis :-

Pesta keramaian sempena perkahwinan Puteri keempat Sri Sultan Hamengkubuwono XI, Sultan di Daerah Istemewa Yogyakarta berlangsung dengan penuh adat istiadat diraja. Istiadat Nyekar atau mengunjungi makam diraja dilaksanakan pada 13 Oktober 2013 di Panembahan Senopati.  Istiadat Nyantri atau bersiram dilakukan pada 21 Oktober 2013 di Bangsal Kasatriyan dan Sekar Kedhaton. Pada hari yang sama juga diadakan istiadat yang dipanggil Majang Pasareyan, Tarub dan Bleketepe  di Gedog Proboyekso, Pagelaran, Kuncung Tratag Bangsal Kencana. Bakal pengantin perempuan kemudiannya akan melakukan istiadat Tantingan dan Midodareni.

Istiadat Akad Nikah yang diadakan di Masjid Panepen Kraton Yogyakarta pada 22 Oktober 2013.  Akad nikah dijalankan dalam bahasa Jawa walaupun pengantin lelaki bukanlah dari keturunan Jawa. Setelah itu mempelai akan menjalani istiadat yang dipanggil Panggih di Tratag Bangsal Kencana dan Tampa Kaya dan Dahar Klimah di Bangsal Kasatriyan.

Semalam pula diadakan upacara perarakan atau dikenali sebagai "Kirab Kereta Kencana" yang membawa maksud pemimpin bersatu dengan rakyat atau dalam bahasa Jawa disebut "Manunggaling Kawulo Gusti. Perarakan bermula dari Keraton Yogyakarta menuju Bangsal Kepatihan dan seterusnya ke Jalan Malioboro. Kemudiannya diadakan Istiadat Persandingan Diraja. Setelah Istiadat Persandingan Diraja selesai, kedua mempelai akan menghadiri istiadat yang dipanggil pamitan pada sebelah malam di Gedhong Jene yang dihadiri oleh kaum keluarga kedua belah pihak pengantin sebagai penutup istiadat perkahwinan mereka.

Majlis Persandingan Diraja ini turut dihadiri oleh Presiden Indonesia dan Isteri, barisan Menteri Kabinet serta perwakilan asing  dan mendapat liputan media antarabangsa.  Gusti Kanjeng Ratu Hayu bertemu jodoh dengan rakyat biasa bernama Anger Pribadi Nugroho setelah mengenali hati budi masing-masing selama 10 tahun. Kedua-dua pasangan ini merupakan lulusan universiti daripada Amerika Syarikat. Dengan perkahwinan ini, pengantin lelaki diberi gelaran Kanjeng Pangeran Haryo Notonegoro.  KPH Notonegoro bertugas di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di New York.



Sumber :- Okezon.com / Utusan Malaysia

2 comments:

Anonymous said...

Yg ni keturunan kesultanan Jawa kan? Dlm silibus form 6 ada study nih sultan hamengkubuwono..huhu

tengkusyah said...

Yer betul tu...:-)