Thursday, October 17, 2013

Daging Korban Sultan Brunei dan Keluarga Diraja Diagihkan Kepada Mereka Yang Berhak Menerimanya


17 Oktober 2013, Khamis :-

Negara Brunei Darussalam menyambut Hari Raya Aidiladha pada 16 Oktober 2013 bersamaan hari Rabu, semalam berbanding dengan kita pada hari Selasa 15 Oktober 2013. Sudah menjadi kelaziman setiap tahun apabila menjelang sambutan Aidiladha, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan keluarga diraja akan melaksanakan ibadah korban dan daging korban diagihkan kepada rakyat baginda di seluruh negara yang berhak menerimanya. Ibadah korban dilakukan dalam masa empat hari bermula waktu selepas Khatib menyampaikan khutbah Hari Raya Aidiladha sehingga sebelum tengelam matahari pada hari ke-13 Zulhijjah. 


Di Daerah Tutong, 57 keluarga fakir miskin menerima sumbangan daging korban baginda dan kerabat diraja yang berlangsung di Dewan Seri Kenangan, Komplek Kemasyarakatan disampaikan oleh Pegawai Daerah Tutong, Awang Wardi bin Haji Mohammad Ali. Bagi Daerah Kuala Beliat pula seramai 77 ketua keluarga bagi golongan asnaf fakir miskin menerima daging korban baginda dan kerabat diraja yang disampaikan oleh Pegawai Daerah Belait, Awang Haji Haris bin Othman di Dewan Kemasyarakatan, Kampung Pandan.

Bagi Daerah Temburong pula seramai 157 orang asnaf fakir miskin  menerima sumbangan daging korban baginda dan keluarga diraja yang berlangsung di Dewa Utama, Kompleks Dewan Kemasyarakatan Pekan Bangar disempurnakan oleh Pemangku Pegawai Daerah Temburong, Awang Haji Abdul Hamid bin Dato' Paduka Haji Abdullah. Di Bandar Seri Bagawan pula seramai 1,809 fakir miskin di Daerah Brunei dan Muara menerima sumbangan daging korban baginda dan kerabat diraja yang berlangsung di Dewan Muhibah, Jabatan Daerah Brunei dan Muara. Daging-daging korban berkenaan diagihkan oleh Pemangku Pegawai Daerah Brunei dan Muara, Awang Shamsul Bahrin bin Haji Mohd. Hussain.

Daging-Daging korban Baginda dan keluarga diraja diletakkan dalam bekas khas bewarna kuning sebelum diedarkan kepada penerima. Setiap majlis yang diadakan dimulai dengan bacaan surah Al-Fatihah diikuti Takbir Hari Raya. Para penerima merupakan golongan yang berhak menerima daging korban yang telah didaftarkan dibawah Majlis Ugama Islam Brunei atau MUIB dibawah Kementerian Hal Ehwal Ugama Brunei Darussalam.


Sumber :- Jabatan Penerangan Brunei/Pelita Brunei

No comments: