Sunday, December 13, 2009

Makam-Makam Sultan Terengganu - 13.12.2009

Semasa di Terengganu Syah mengambil kesempatan untuk melawat Makam-Makam DiRaja Terengganu. Tak lengkap jika satu atau dua makam sultan sahaja yang Syah ziarahi. Syah mengambil keputusan untuk menzairahi kesemua makam-makam Sultan Terengganu yang terletak dibeberapa lokasi berbeza di Kuala Terengganu dalam masa terhad - 1 hari sahaja. Dari Makam Sultan pertama hinggalah makam Sultan ke-15. Syah berjalan kaki dari Makam di Masjid Abidin ke Bukit Kelidang dan seterusnya ke Tanah Perkuburan Seikh Ibrahim. Walaupun penat dalam keadaan cuaca panas terik selepas musim banjir tetapi hati Syah puas dapat menziarahi kesemua Makam Sultan Terengganu.

Dalam blog ini Syah akan tunjukkan makam-makam Al-Marhum Sultan Terengganu Pertama hingga ke -13. Bagi Al-Marhum Tuanku Ismail Nasiruddin Shah dan Al-Marhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah akan Syah buat edisi khas untuk mereka. Begitu juga Mantan Sultan Terengganu, Tengku Ali (Sultan Terengganu semasa era penjajahan Jepun di Tanah Melayu)
Sultan Terengganu Pertama, Sultan Zainal Abidin 1

Tun Zainal Abidin (Paduka Maharaja) Ibni Tun Habib (Habab) Abdul Majid. Ayahandanya merupakan Bendahara Johor ke 19 bergelar Tun Habib Abdul Majid ibni Sultan Muhammad, Bendahara Seri Maharaja @ Bendahara Padang Saujana. Diputerakan di Johor pada 1678, Menaiki tahta pada 1708 dan mengikut Thufatun Nafis kemangkatan baginda pada subuh malam Ahad 21 Ramadan 1146H bersamaan 25.02.1733 dan dimakamkan di Bukit Kelidang, Kuala Terengganu.
Sultan Terengganu Ke-2, Sultan Mansur 1

Dilahirkan sebagai Tuan Dalam @ Ku Tana Mansur ibni Sultan Zainal Abidin. Baginda dikatakan seorang yang kebal dan tidak lut senjata. Menjadi Sultan selepas kemangkatan ayahandanya dan jawatan berkenaan telah ditolak oleh putera-putera yang lain. Pada masa ini Baginda berusia 10 tahun dan dikenali sebagai Tun Dalam atau Tun Kechik dan ada juga dikatakan bergelar Yang Dipertuan Raja Kechik. Diputerakan pada 1726, Menaiki tahta 1733 dan Mangkat pada 26.01.1793 dalam usia 69 tahun dan dikenali sebagai Marhum Janggut. Makam di Masjid Abidin, Kuala Terengganu.
Sultan Terengganu Ke-3, Sultan Zainal Abidin II.

Tarikh lahirnya tidak dapat dipastikan dan berkemungkinan tahun 1744 berdasarkan pendapat yang menyatakan baginda naik tahta pada usianya separuh umur (50tahun). Naik tahta pada 14.07.1794 dan ada mengatakan tahun 1793. Mangkat pada 1808 dan ada yang menyatakan 1812. Makamnya di kawasan Masjid Abidin. Dikenali dengan panggilan Yang Dipertuan Mata Merah dan selepas mangkat dikenali sebagai Marhum Misjid atau Marhum Mata Merah. Baginda merupakan seorang daripada dua Sultan Terengganu yang tiga orang puteranya menjadi Sultan. Makamnya di kawasan Masjid Abidin.
Sultan Terengganu Ke-4, Sultan Ahmad Shah 1



Tengku Ahmad ibni Sultan Zainal Abidin II Menaiki tahta pada 1808 dan mangkat pada 04.07.1830. Dikenali sebagai Marhum Parit kerana Baginda telah membina sebuah parit yang besar sekeliling kota istananya dan kawasan Paya Bunga, Kuala Terengganu. Makamnya di Tanah Perkuburan Sheikh Ibrahim, Kuala Terengganu. Setiap kali Syah menghampiri makam Tuanku Sultan Ahmad, Syah akan tercium bau harum. Walaupun Syah ke tempat lain dan kemudiannya kembali semula kemakamnya Syah tetap akan tercium haruman yang sama.

Sultan Terengganu Ke-5, Sultan Abdul Rahman
Tengku Abdul Rahman ibni Sultan Zainal Abidin II dilantik sebagai Sultan Terengganu pada 04.07.1830 selepas kemangkatan saudara seibunya, Sultan Ahmad Shah 1. Walau bagaimanapun baginda hanya menjadi sultan selama 5 bulan 26 hari sahaja. Mangkat pada 31.12.1830 dan digelar Marhum Surau. Makamnya di tanah perkuburan Sheikh Ibrahim, Kuala Terengganu.
Sultan Terengganu Keenam, Sultan Daud ibni Sultan Ahmad 1.

Terdapat konflik diantara pembesar mengenai perlantikan sultan yang baru selepas kemangkatan Tuanku Abdul Rahman. Terdapat dua calon sultan iaitu Tengku Daud ibni Sultan Ahmad 1 dengan Tengku Mansur ibni Sultan Zainal Abidin II. Permakaman tidak dapat dijalankan kerana pengganti sultan belum dilantik. Dengan ikhtiar isteri Al-Marhum Sultan Abdul Rahman, Tengku Puteri Tengku Bulang, akhirnya Tengku Daud dilantik menjadi Sultan dan Tengku Mansur dijanjikan sebagai pengganti Sultan Daud. Baginda dilantik sebagai Sultan pada 31.12.1830. Walau bagaimanapun baginda hanya sempat menjadi Sultan selama 1 bulan sahaja. Mangkat pada 31.01.1831 dan digelar Marhum Kampung Daik. Makamnya di tanah perkuburan Sheikh Ibrahim, Kuala Terengganu.
Sultan Terengganu Ketujuh, Sultan Mansor II
Tengku Mansor naik tahta pada 31.01.1831 selepas kemangkatan ayahanda saudaranya. Memerintah selama lebih kurang 7 tahun dan mangkat pada tahun 1837. Baginda dimakamkan di tanah perkuburan Sheikh Ibrahim dengan gelaran Marhum Mansor. Sultan Terengganu Ke-8, Sultan Muhammad
Sultan Muhammad Ibni Al-Marhum Sultan Mansur Shah II Naik tahta pada 09.03.1837 sewaktu berusia 15 tahun dan mangkat pada tahun 1839. Dikenali sebagai Marhum Telor kerana tuturkata dan suaranya pelat dan telor. Makamnya di kawasan Masjid Abidin, Kuala Terengganu. Menurut penjaga makam ini adalah makamnya tetapi dalam kebanyakan buku menyatakan makamnya di Kelantan.
Sultan Terengganu Ke-9 , Sultan Omar
Sultan Omar ibni Al-Marhum Sultan Ahmad I naik tahta pada 31.01.1830 tetapi pada tahun ini juga jatuh kerajaannya kerana berperang dengan Sultan Mansor II. Pada 04.11.1839 berjaya merebut kembali kerajaannya daripada Sultan Muhammad putera Sultan Mansor II. Mangkat pada 12.04. 1876 dalam usia lebih kurang 70 tahun dengan gelaran marhum baginda dan dimakamkan dalam kubah Masjid Abidin, Kuala Terengganu. Baginda tidak dikurniakan anak lelaki. Pada 1874 baginda melantik anakanda saudaranya Tengku Ahmad ibni Al-Marhum Yang Dipertuan Muda Tengku Mahmud untuk mentadbir kerajaan Negeri Terengganu.
Sultan Terengganu Ke 10 - Sultan Ahmad II
Baginda menggantikan Ayahanda saudaranya sebagai Sultan Terengganu Ke - 10. Tidak banyak yang diketahui mengenai baginda. Naik tahta pada 12.04.1876 dan mangkat pada malam Ahad 18.12.1881 dan dimakamkan di Kubah Masjid Abidin dan dikenali sebagai Marhum Baru. Semasa perkahwinan baginda dengan Tengku Puan Besar Terengganu, Tengku Kalsom bt Sultan Muhammad Daik telah dibina panca persada setinggi tujuh tingkat. Ini merupakan panca persada yang pertama di Terengganu.
Sultan Terengganu Ke- 11, Sultan Zainal Abidin III.

Sultan Zainal Abidin Ibni Sultan Ahmad II dilahirkan pada 23.041864. Dilantik sebagai Sultan Terengganu pada 19.12.1881. sewaktu berusia 16 tahun 7 bulan 27 hari. Baginda lahir pada 23.04.1864. Memerintah Terengganu selama lebih kurang 36 tahun 11 bulan dan 6 hari. Mangkat pada 25.11.1918 jam 02:25 pagi kerana sesak nafas semenjak jam 11:00 malam. Dimakamkan pada jam 05:00pm di Kubah Masjid Abidin, Kuala Terengganu. Kemangkatan baginda merupakan kehilangan besar bagi rakyat negeri Terengganu. Kesempatan ini telah diambil oleh pihak British untuk mencengkam dengan lebih kuat penjajahannya keatas Terengganu.
Sultan Terengganu Ke 12 - Sultan Muhammad II (Mantan Sultan)
Baginda Merupakan putera sulung Sultan Zainal Abidin III. Diputerakan pada 01.05.1889 dari bondanya Cik Kalsom Haji Daud. Ayahandanya memanggil baginda dengan gelaran manja "Awang". Naik tahta pada 25.11.1918 dan turun tahta pada 21.05.1920 kerana tidak bersetuju dengan pemerintahan British. Mangkat pada 11.04.1956 (bulan Ramadan) di Istana Gong Kapas, Kuala Terengganu jam 11:00am hari Rabu. Makamnya di Kubah Masjid Abidin, Kuala Terengganu.
Sultan Terengganu Ke- 13, Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah.
Diputerakan pada 01.12.1895 dan menaiki tahta mengantikan ayahandanya Sultan Zainal Abidin III pada 21.05.1920. Mangkat pada hari Jumaat 25.09.1942 dalam bulan Ramadan (14hb) jam 05:30pm kerana mengidap demam dan bisul selama beberapa hari. Mangkat di Istana Timur Padang Negara dalam era pemerintahan Jepun di Tanah Melayu.

No comments: