Saturday, February 14, 2015

Sultan Nazrin Titah Petikan Al-Quran Dibaca Sebelum Majlis Rasmi Bermula



14 Februari 2014, Sabtu :-

Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-lah telah menitahkan agar bacaan petikan ayat suci Al-Quran yang bersesuaian  hendaklah dibaca sebelum sesuatu program anjuran Istana atau Kerajaan Negeri bermula. Titah Baginda lagi, ayat yang dipilih tidak perlu panjang tetapi hendaklah terdiri daripada ayat-ayat yang ada kaitan dengan sesuatu majlis yang dianjurkan.


Titah baginda :-

"Beta dengan ini menitahkan seboleh-bolehnya dalam situasi yang sesuai, acara-acara yang dianjurkan oleh istana dan kerajaan Beta hendaklah dimulakan dengan membaca beberapa petikan ayat Al-Quran dan dikembarkan dengan maksud ayat yang dibaca."

Titah ini telah disampaikan oleh baginda semasa menghadiri majlis penganugerahan watikah lantikan ahli Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk). Dalam majlis ini Baginda telah berkenan menerima cek zakat perniagaan bernilai RM2,776,486.72 daripada lapan buah agensi disamping berkenan menganugerahkan watikah pelantikan kepada Yang Dipertua Majlis, Tan Sri Datuk Dr Wan Mohd Zahid Mohd Noordin serta 21 Ahli Majlis yang berkuatkuasa 1 Januari 2015.

Dalam majlis ini juga di adakan majlis menandatangani perjanjian usaha sama pembangunan hartanah milik MAIPk dengan pemaju projek UDA Waqf Sdn Bhd yang melibatkan pembangunan bercampur dekat Mukim Ulu Kinta iaitu pembinaan bangunan komersial tiga tingkat dan kediaman 144 unit apartment.

Turut diadakan acara menandatangani perjanjian pajakan hartanah MAIPk seluas 2,000 hektar bagi tujuan saraan Sekolah Agama Rakyat (SAR) antara MAIPk, PKEINPK Sdn Bhd dan RNE Plantation Sdn Bhd.

Tutu serta mengiringi Baginda dalam majlis ini adalah Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Abdul Puhat Mat Nayan dan Mufti Perak, Tan Sri Dr Harussani Zakaria.

Sumber : Peraktoday.com/Fairul

No comments: