Monday, October 20, 2014

Tunku Mahkota Johor Berkahwin Jumaat Ini


20 Oktober 2014, Isnin :-

Tahniah diucapkan kepada Tunku Mahkota Johor, Duli Yang Amat Mulia Tunku Ismail ibni Sultan Ibrahim yang akan melangsungkan pernikahan baginda dengan pasangannya Cik Khaleeda Bustamam pada Jumaat ini 24 Oktober 2014 bersamaan 29 Zulhijah 1435. Istiadat Pertunangan dan Pernikahan akan berlangsung di Istana Bukit Serene, Johor Baharu, Johor pada jam 10:00hrs dan hanya dihadiri oleh kaum kerabat dan keluarga terdekat kedua belah pihak sahaja. Istiadat Pernikahan akan dikendalikan oleh Mufti Johor, Datuk Tahrir Samsuddin. Selepas Istiadat Pernikahan, Cik Khaleeda akan dikurniakan gelaran Che Puan, isteri kepada Tunku Mahkota Johor.

Cik Khaleeda dilahirkan pada 16 Julai 1993 di Kuala Lumpur dan merupakan anak bongsu kepada lima adik-beradik kepada pasangan Bustamam Daud dan Aziyah Abdul Aziz. Beliau menerima pendidikan awal di Sekolah Rendah Kebangsaan Taman Seri Gombak daripada 2000 hingga 2003, sebelum meneruskan pendidikan awalnya di Sekolah St. George's Hanover Square, London pada 2003 hingga 2004. Cik Khaleeda kemudiannya melanjutkan persekolahan menengahnya di Westminster Academy London pada September 2004 hingga Julai 2008 dan di Sekolah Sri Utama, Kuala Lumpur sekembalinya ke Malaysia pada 2010.


Sumber :- Bernama

No comments: