Saturday, April 19, 2014

Istiadat Di Raja Bersama Rakyat, Istiadat Berkhatan dan Bertindik YM Paduka-Paduka Anakanda YAM Tengku Muda Pahang




19 April 2014, Sabtu :-

Istiadat Di Raja Bersama Rakyat, Istiadat Berkhatan dan Bertindik Yang Mulia Paduka-Paduka Anakanda Yang Amat Mulia Tengku Muda Pahang Tengku Abdul Rahman ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah telah diadakan pada 16 hingga 18 April 2014 bersamaan 16 hingga 18 Jamadilakhir 1435.  Daerah Temerloh telah dipilih sebagai lokasi istiadat ini  dimana seluruh rakyat Pahang telah dijemput menghadiri istiadat ini. Istiadat ini merupakan julung kalinya diadakan bersama rakyat dan telah dihadir oleh seramai 60,000 orang. Terdahulu, pada malam 17 April telah diadakan Majlis Solat Hajat, Bacaan Yasin, Tahlil dan Doa Selamat sempena Istiadat ini di Masjid Abu Bakar, Temerloh, Pahang.

Istiadat kemuncak telah didakan malam tadi di Dataran Temerloh, Temerloh, Pahang dengan penuh adat istiadat diraja Pahang.  Para hadirin telah dihidangkan dengan pelbagai jenis makanan hasil air tangan tukang-tukang masak terkenal dari setiap daerah dalam negeri Pahang termasuklah 1000 kawah gulai kawah yang telah dimasak khas untuk istiadat kemuncak malam tadi secara gotong royong. Disamping itu para hadirin juga dihidangkan dengan makanan tradisional Pahang seperti daging opor dan gulai tempoyak ikan patin. 

Majlis bermula jam 21:00hrs dengan ketiga-tiga anakanda Tengku Muda Pahang iaitu Tengku Ameera Asya, Tengku Eddie Akasya dan Tengku Ahmad Firhan Shah diarak menaiki gajah menuju singgahsana yang terletak di khemah utama.  Bacaan doa kemudiannya disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Dakwah Islamiah dan Tugas-tugas Khas Pahang Dato' Syed Ibrahim Syed Ahmad. Selepas bacaan doa diadakan pula upacara merenjis dan menepung tawar ketiga-tiga anakanda Tengku Abdul Rahman oleh kaum kerabat diraja Pahang. Dengan adanya istiadat seperti ini, rakyat akan dapat melihat secara lebih dekat dan memahami adat-istiadat diraja negeri Pahang disamping mendekatkan lagi Istana dengan rakyat.

Turut serta dalam istiadat malam tadi adalah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah Ibni Almarhum Sultan Abu Bakar Ri'ayatuddin Al-Mu'adzam Shah,  Sultanah Pahang, Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultanah Hajah Kalsom, Kebawah Duli Yang Teramat Mulia Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Al-Haj ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah, kaum kerabat Diraja, para jemputan khas dan rakyat Pahang.

Diantara artis yang menghiburkan para hadirin malam tadi adalah Tegar dan Rosa dimana anakanda-anakanda YAM Tengku Muda Pahang sempat menyanyi bersama-sama artis pujaan mereka. Para jemputan khas telah diberikan cenderahati berupa piring peringatan sempena Istiadat Di Raja Bersama Rakyat, Istiadat Berkhatan dan Bertindik Yang Mulia Paduka-Paduka Anakanda Yang Amat Mulia Tengku Muda Pahang.

Sumber :- Bernama, Kunain/Kuanne &; Azili.

2 comments:

Radin87 said...

Eh? Tengku Muda ngan Che Puan Julita Aishah ada 4 orang anak? Sapa nama putera yg paling bongsu tu ya?

tengkusyah said...

:-)