Sunday, March 8, 2015

Istiadat Kemahkotaan Sultan Johor Ke-5 - Mahkota Kerajaan dan Mahkota Permaisuri


Mahkota Kerajaan


Mahkota Permaisuri

08 Mac 2015, Ahad :-

Insyallah pada tanggal 23 Mac 2015 bersamaan 02 Jamadilakhir 1436H akan berlangsung Istiadat Kemahkotaan Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim ibni Almarhum Sultan Iskandar sebagai Sultan Johor ke-5 dalam sejarah Johor Moden. Istiadat Kemahkotaan akan berlangsung dengan penuh adat istiadat diraja Johor di Istana Besar Johor Baharu. Istiadat Kemahkotaan akan bermula seawal 16 Mac ini dengan Istiadat Meletak Kerja yang akan diadakan di Tugu Peringatan Istana Besar Johor Baharu serta diikuti dengan Istiadat lainnya. Sambutan dijangka berlansung selama tiga bulan. 

Dalam Istiadat Kemahkotaan pada 23 Mac 2015 ini nanti, dua buah Mahkota akan digunakan untuk Istiadat berkenaan iaitu :-
      1. Mahkota Kerajaan 
      2. Mahkota Permaisuri
Mahkota Kerajaan

Mahkota ini merupakan ilham daripada Almarhum Sultan Abu Bakar ibni Almarhum Temenggong Daeng Ibrahim, Sultan Johor 1 dalam sejarah Johor Moden. Mahkota ini telah ditempah di London pada tahun 1886 daripada Syarikat J.W. Benson yang terkenal sebagai sebuah syarikat yang membuat barang kemas diraja Brtish. Mahkota sebarat 1.6 kilogram dengan rekabentuk oriental iaitu mengikut kebudayaan timur ini diperbuat daripada logam yang berharga bertatahkan batu permata yang berbeza ukuran dan bentuk, antaranya enam biji berlian besar, tiga biji batu delima merah, empat batu zamrud besar, dan empat biji batu nilam biru besar. Balang mahkota sahaja mengandungi 1,450 biji berlian kecil. Bulan dan bintang bersalut dengan berpuluh berlian kecil yang bergemelapan.

Mahkota Permaisuri

Mahkota Permaisuri merupakan mahkota yang digunakan oleh suri kepada Tuanku Sultan dan bentuknya agak kecil sedikit daripada Mahkota Kerajaan. Mahkota ini telah diubah dan diperbaiki oleh Almarhum Sultan Ibrahim (Sultan Johor Ke-2) pada tahun 1925 dengan mengadakan lima biji berlian besar 18 karat setiap satu. Almarhum Sultan Ibrahim  juga telah menambah alat kebesaran ini dengan mengadakan seutas rantai atau kalung yang mengandungi 671 butir berlian dan sebuah tiara diperbuat daripada emas putih bertatahkan berlian.


Almarhum Sultan Abu Bakar ibni Almarhum Temenggong Daeng Ibrahim, Sultan Johor Pertama dalam Sejarah Johor Moden.



Gambar atas dan bawah adalah Almarhum Sultan Ibrahim ibni Almarhum Sultan Abu Bakar, Sultan Johor Ke-2 dalam Sejarah Johor Moden.



Kedua-dua Mahkota ini hanya digunakan dalam dua istiadat sahaja dengan titah perkenan raja iaitu Istiadat Kemahkotaan dan Kemangkatan. Alat kebesaran ini akan disimpan sebaik sahaja istiadat berkenaan selesai.

Semasa Istiadat Kemahkotaan, Mufti Johor akan meletakkan Mahkota Kerajaan keatas jemala (kepala) Tuanku Sultan dan Mahkota Permaisuri keatas jemala (kepala) Permaisuri Tuanku Sultan diikuti bacaan doa kesyukuran.


Istiadat Kemahkotaan Almarhum Tuanku Ismail sebagai Sultan Johor ke-3 dalam sejarah Johor Moden pada 10 Februari 1960. Kelihatan Mufti Johor ketika itu meletakkan Mahkota Kerajaan dan Mahkota Permaisuri ke jemala (kepala) Almarhum Tuanku Ismail dan Almarhumah Sultanah Ungku Tun Aminah binti Ungku Ahmad 


Kali terakhir Mahkota ini digunakan untuk Istiadat Kemahkotaan adalah kira-kira 55 tahun lalu sewaktu Istiadat Kemahkotaan Almarhum Sultan Ismail yang merupakan nenda kepada Tuanku Sultan Ibrahim pada 10 Februari 1960. Apabila Almarhum Sultan Ismail mangkat pada 10 May 1981, Almarhum Sultan Iskandar iaitu ayahanda kepada Tuanku Sultan Ibrahim menggantikan ayahanda baginda sebagai Sultan Johor ke-4 dalam Sejarah Johor Moden dan tiada Istiadat Kemahkotan sewaktu pemerintahan Almarhum Sultan Iskandar. Apabila Almarhum Sultan Iskandar mangkat pada 22 Januari 2010, Tuanku Sultan Ibrahim menaiki tahta sebagai Sultan Johor ke-5 dalam sejarah Johor Moden.



Almarhum Sultan Iskandar ibni Almarhum Sultan Ismail, Sultan Johor ke-4 dalam Sejarah Johor Moden. Almarhum juga merupakan KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Malaysia Ke-8 untuk tempoh lima tahun bermula 26 April 1984 hingga 25 April 1989.



Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim ibni Almarhum Sultan Iskandar, Sultan Johor ke-5 dalam sejarah Johor Moden

........... Dirgahayu Tuanku..........

Sumber :- Bernama/Kemahkotaan.johor.gov.my/Utusan.com.my/Wikipedia/MBS

No comments: