Thursday, November 6, 2014

Sultan Brunei Berangkat Pulang Dari Lawatan Rasmi Negara Ke Malaysia


06 November 2014, Khamis :-

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah menamatkan lawatan rasmi baginda ke Malaysia petang semalam.  Baginda Sultan dan rombongan berangkat pulang melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang. Baginda Sultan Brunei telah berkenan melintasi Kawalan Hormat daripada Batalion Kedua Rejimen Askar Melayu Diraja, Kem Sungai Ara, Pulau Pinang yang dianggotai oleh dua pegawai dan 26 anggota lain-lain pangkat. Sebelum menaiki pesawat bacaan Doa Selamat dibacakan oleh Pengarah Pusat Transformasi Insan, Dato Al-Ustaz Haji Ellias bin Haji Zakaria.

Turut berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang untuk mengucapkan selamat berangkat kepada Baginda Sultan Brunei serta rombongan diraja adalah  Raja Negeri Perlis, Duli Yang Maha Mulia Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail dan Yang Di-Pertua Negeri Pulau Pinang, Tuan Yang Terutama Tun Dato' Seri Utama (Dr.) Haji Abdul Rahman bin Haji Abbas. Turut serta Pesuruhjaya Tinggi Negara Brunei Darussalam ke Malaysia, Tuan Yang Terutama Dato Paduka Awang Haji Alaihuddin bin Pehin Orang Kaya Digadong Seri Lela Dato Seri Utama Haji Awang Mohd. Taha.

Sumber :- Husam/Pelita Brunei

No comments: