Wednesday, May 6, 2015

Istiadat Tabal Adat Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan XXXV (Ke-35) Selamat Disempurnakan

06 May 2015, Rabu :- 


Shukur Alhamdulillah Istiadat Tabal Adat Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan XXXV (ke-35), Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-lah telah selamat disempurnakan pagi tadi dengan penuh adat istiadat Diraja Negeri Perak Darul Ridzuan. Disini Syah ingin berkongsi dengan anda semua secara ringkas perjalanan Istiadat yang penuh bersejarah ini sebagai tatapan dan rujukan bersama. Terlebih dahulu Syah mohon maaf jika ada terdapat sebarang kesilapan dalam entry ini dan sila maklumkan kepada Syah diruangan comments. Sila click gambar untuk imej yang lebih besar.


Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-lah mencemar duli memeriksa Perbarisan Kawalan Kehormatan Regimen Jurutera DiRaja Markas 2 Divisyen terdiri daripada tiga pegawai dan 103 anggota sempena Istiadat Pertabalan Baginda dihadapan Istana Iskandariah, Bukit Chandan, Kuala Kangsar, Perak.




Para Jejawat membawa masuk 16 bilah lembing kerajaan yang diperbuat dari perak dan 16 kaki payung kerajaan bewarna kuning dan putih berselang seli didahului oleh payung kerajaan kedalam Balairong Seri . Para jejawat mesti memakai baju dan seluar bewarna putih serta sampin bewarna kuning dibawah baju, bertongkolok kain batik bersolek (ikatan) getam pekasam. Payung dan Lembing di susun 16 disebelah kiri dan 16 disebelah kanan Balairong Seri yang diatur oleh Panglima dalam. Apabila payung dibuka menandakan bermulanya Istiadat Tabal Adat.




Keberangkatan Masuk Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-lah dan Raja Permaisuri Perak, Duli Yang Maha Mulia Tuanku Zara Salim ke Balairong Seri Istana Iskandariah didahului oleh Panglima-Panglima Istana. Turut serta mengiringi keberangkatan baginda berdua adalah DYTM Raja Muda Perak Darul Ridzuan Raja Dato' Seri Jaafar bin Raja Muda Musa, DYTM Raja Puan Besar Perak Darul Ridzuan Raja Nor Mahani bt. Raja Shahar Shah serta DYAM Raja Di-Hilir Perak Darul Ridzuan Raja Dato’ Seri Iskandar Dzulkarnain ibni Almarhum Sultan Idris A’fifullah Shah dan DYAM Raja Puan Muda Perak Darul Ridzuan Tunku Dato’ Seri Soraya bt. Sultan Abdul Halim.  



Yang Berbahagia Orang Kaya-Kaya Seri Andika Raja Shabandar Muda (Orang Besar 8 Perak) Dato Seri Ir. Mohamad Othman bin Zainal Azim mengadap mohon limpah perkenan DYMM Tuanku Sultan untuk memulakan Istiadat Pertabalan ini.



Bacaan ayat suci Al-Quraan dari Surah Al-Imran ayat 26 hingga 32  dibacakan oleh Al-Fadhil Tuan Haji Radzi Bin Kamarul Hailan bekas Johan Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Antarabangsa Tahun 2000 dan 2004.



Istiadat membawa masuk naskah Al-Quraan. Sahibus Samahah Timbalan Mufti Kerajaan Negeri Perak membawa masuk naskah Al-Quraan dengan diapit oleh dua orang Bentara dan diserahkan Al-Quraan berkenaan kepada Yang Berbahagia Orang Kaya-Kaya Imam Paduka Tuan Dato' Dr Afifi al-Akiti (Orang Besar 8 Perak dan Ahli Seumur Hidup Dewan Negara Perak).  Yang Berbahagia Orang Kaya-Kaya Imam Paduka Tuan Dato' Dr Afifi al-Akiti menyembahkan Al-Quraan Berkenaan kepada DYMM Paduka Seri Sultan Perak.



DYMM Paduka Seri Sultan Perak kemudiannya menerima naskah Al-Quraan berkenaan lalu dicium oleh baginda sebelum diletakkan ditempat khas disisi singahsana disebelah kanan baginda. Secara simboliknya DYMM Paduka Seri Sultan Perak mengucup Al-Quraan dan meletakkan nya ditempat khas disebelah baginda menggambarkan agama islam sebagai tiang dan tunggak kepada setiap panduan yang akan dibuat oleh baginda dalam menerajui negeri perak. 

Istiadat membawa masuk Pedang Cura Simanja Kini dan Watikah Pemasyuharan Pertabalan DYMM Paduka Seri Sultan Perak ke-35. Pedang Cura Simanja Kini dibawa oleh YM Raja Che Muda manakala Watikah Pemasyuharan  dibawa oleh Yang Dihormati Toh Amar Seri Diraja Ketua Istiadat Setiausaha Dewan Negara Perak, Dato' Ayop Hashim. Yang Amat Berbahagia Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja (Orang Besar 4 Perak) Jen (B) Dato' Seri Diraja Tan Sri Mohd Zahidi Hj Zainuddin menerima watikah pemasyhuran berkenaan untuk dibacakan. Beliau kemudiannya mengadap DYMM Paduka Seri Sultan Perak bersama YM Raja Che Muda dan YM Raja Che Muda yang menatang Pedang Cura Simanja Kini menyerahkan pedang berkenaan kepada Yang Amat Berbahagia Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja untuk diserahkan kepada DYMM Paduka Seri Sultan Perak.



DYMM Paduka Seri Sultan Perak menerima Pedang Cura Simanja Kini dan kemudiannya bergerak kehadapan singahsana lalu menghunus dan mengucup Pedang Cura Simanja Kini diikuti dengan seruan Daulat oleh Yang Amat Berbahagia Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja dan diikuti seru oleh semua dif-dif dan tetamu di Balairong Seri sebanyak 3 kali diikuti paluan Nobat.


Mestika (Geliga) Embun

Mohor Kecil Cap Halilintar

Toh Seri Nara Diraja Mohd Sah Nong Cik masuk mengadap mempersembahkan Mestika (Geliga) Embun kehadapan DYMM Paduka Seri Sultan Perak. Toh Seri Nara diraja kemudiannya menyunting Mohor Kecil Cap Halilintar ke telinga kanan DYMM Paduka Seri Sultan Perak dan membisikkan Rahsia Nisab Sultani.  

Rahsia Nasab Sultan


Watikah Pemasyuharan penganugerahan gelaran Duli Yang Maha Mulia Raja Permaisuri Perak kepada Tuanku Zara Salim dibacakan oleh Yang Amat Berbahagia Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja (Orang Besar 4 Perak) Jen (B) Dato' Seri Diraja Tan Sri Mohd Zahidi Hj Zainuddin. Watikah Pemasyuran dibawa masuk oleh Yang Dihormati Toh Amar Seri Diraja Ketua Istiadat Setiausaha Dewan Negara Perak, Dato' Ayop Hashim.  




DYMM Raja Permaisuri Perak kemudian mengadap DYMM Paduka Seri Sultan Perak diikuti dengan seruan Daulat oleh Yang Amat Berbahagia Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja dan diikuti seru oleh semua dif-dif dan tetamu di Balairong Seri sebanyak 3 kali diikuti paluan Nobat.


Ucapan Tahniah dan Taat Setia bagi pihak Raja-Raja dan Orang Besar Perak Darul Ridzuan oleh DYTM Raja Muda Perak Darul Ridzuan Raja Dato' Seri Jaafar bin Raja Muda Musa.




Ucapan Tahniah dan Taat Setia mewakili kerajaan dan rakyat oleh Menteri Besar Perak Dato' Seri Diraja Dr. Zambry Abdul Kadir.


Yang Dihormati Toh Amar Seri Diraja Dato' Ayop Hashim membawa masuk Watikah Titah Diraja untuk diserahkan kepada DYMM Paduka Seri Sultan Perak untuk dititahkan. Setelah selesai Yang Dihormati Toh Amar Seri Diraja Dato' Ayop Hashim mengadap untuk mengambil semula Watikah Titah Diraja.


Sahibus Samahah Mufti Kerajaan Negeri Perak, Tan Sri Dato' Seri (Dr.) Hj. Harussani bin Hj. Zakaria mengambil tempat di Balairung Seri untuk membaca Doa Selamat.



Yang Berbahagia Orang Kaya-Kaya Seri Andika Raja Shabandar Muda Dato Seri Ir. Mohamad Othman bin Zainal Azim mengadap DYMM Paduka Seri Sultan Perak untuk mempersembahkan bahawa Istiadat Pertabalan DYMM Paduka Seri Sultan Yang Dipertuan Raja Pemerintah Negeri Perak Darul Ridzuan Yang ke-35  Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-lah selamat dizahirkan (telah selamat disempurnakan).


Yang Berbahagia Orang Kaya-Kaya Imam Paduka Tuan Dato' Dr Afifi al-Akiti mengadap DYMM Paduka Seri Sultan Perak untuk mengambil semula naskah Al-Quraan di Singahsana diiringi oleh Sahibus Samahah Timbalan Mufti Kerajaan Negeri Perak. Tuanku mengucup Al-Quraan berkenaan sebelum diserahkan semula kepada Yang Berbahagia Orang Kaya-Kaya Imam Paduka Tuan Dato' Dr Afifi al-Akiti.


Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-lah dan Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan Duli Yang Maha Mulia Tuanku Zara Salim berangkat keluar meninggalkan Balairong Seri Istana Iskandariah. Keberangkatan Tuanku meninggalkan Balairong Seri diiringi paluan Nobat.


Sumber :- Bernama/Jabatan Penerangan / DYTMS / Fairol

No comments: