Sunday, May 3, 2015

Istiadat Meletak Kerja Sempena Istiadat Pertabalan Sultan Perak Ke-35


03 May 2015, Ahad :-


Pagi ini telah berlangsung Istiadat Meletak Kerja Sempena Istiadat Pertabalan Paduka Seri Sultan Perak XXXV (ke-35), Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-lah. Istiadat meletak kerja sebagai tanda bermulanya secara rasmi Istiadat  Pertabalan Paduka Seri Sultan Perak ke-35 yang akan berlangsung mulai hari ini hingga 17 May 2015. Istiadat meletak kerja ini disempurnakan oleh Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di kawasan Panca Persada, Istana Iskandariah. 

Istiadat bermula dengan Orang Kaya-Kaya Seri Andika Raja Shabandar Muda Dato Seri Ir. Mohamad Othman bin Zainal Azim  memohon perkenan DYMM Tuanku Sultan untuk memulakan Istiadat Meletak Kerja. Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Nazrin Muizzuddin Shah kemudiannya membaca lafas merasmikan Istiadat Meletak Kerja. Istiadat kemudiannya disusuli dengan bacaan doa oleh Mufti Kerajaan Negeri Perak, Tan Sri Dato' Seri (Dr.) Hj. Harussani bin Hj. Zakaria bagi memohon kelancaran istiadat berkenaan. Serentak itu kedengaran 17 das tembakan meriam dan paluan Nobat sebagai tanda Istiadat Meletak Kerja sempena Pertabalan Paduka Seri Sultan Perak ke-35 telah selamat disempurnakan.

Majlis Kenduri Arwah akan diadakan di kawasan Panca Persada sebagai tanda kesyukuran setelah selesai memulakan salah satu daripada istiadat sempena Istiadat Pertabalan Paduka Seri Sultan Perak ke-35. Diantara Istiadat-Istiadat yang dijalankan sempena Istiadat Pertabalan Paduka Seri Sultan Perak XXXV (ke-35), Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-lah adalah seperti berikut :-

  1. 03 Mei 2015 : Istiadat Meletak Kerja.
  2. 06 Mei 2015 : Istiadat Tabal Adat
  3. 07 Mei 2015 : Istiadat Bersiram Tabal (Pagi)
  4. 07 Mei 2015 : Istiadat Tabal Pusaka (Malam)
  5. 08 Mei 2015 : Istiadat Menziarahi Makam Almarhum Sultan Terdahulu
  6. 14 Mei 2015 : Istiadat Ziarah ke Beting Beras Basah
  7. 17 Mei 2015 : Istiadat Menutup Kerja.

Kali terakhir Istiadat Pertabalan Sultan Perak diadakan adalah 30 tahun yang lepas pada 09 Disember 1985. Istiadat Pertabalan Paduka Seri Sultan Perak akan diadakan dengan penuh adat istiadat diraja Negeri Perak yang diwarisi turun temurun oleh keluarga diraja semenjak tahun 1528 apabila Sultan Mudzaffar Shah 1 dijemput ke Perak sebagai Sultan Perak pertama.


Sumber : Bernama Radio/MBS/Fairol

No comments: