Saturday, June 14, 2014

Tuanku Abdul Halim Berangkat Ke Istiadat Mengarak Panji-Panji Yang di-Pertuan Agong


14 Jun 2014, Sabtu :-

Pagi semalam (13 Jun 2014) Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Almu'tasimu Billahi Muhibbuddin Tuanku Alhaj Abdul Halim Mu'adzam Shah ibni Almarhum Sultan Badlishah dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah binti Haji Hamidun telah berkenaan berangkat ke Istiadat Mengarak Panji-Panji Yang di-Pertuan Agong sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XIV. Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong merupakan pemerintah tertinggi Angkatan Tentera Malaysia atau ATM. Istiadat Mengarak Panji-Panji Yang di-Pertuan Agong merupakan istiadat penting yang gilang gemilang bagi ATM manakala panji-panji merupakan lambang kemegahan, semangat dan taat setia yang tidak berbelah bagi ATM terhadap Raja dan Negara.

Keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda berdua ke Dataran Panglima Tentera Darat, Kem Perdana, Sungai Besi disambut oleh Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan. Istiadat dimulai dengan lagu Negaraku diiringi dengan 21 das tembakan meriam kehormat oleh pasukan 41 Bateri Istiadat/Rejimen Artileri Diraja yang diketuai Leftenan Kolonel Hashim Muda. Tuanku Abdul Halim kemudiannya menaiki pentas khas untuk menerima tabik hormat diraja daripada pasukan kawalan kehormat yang dianggotai pegawai dan anggota Tentera Darat, Udara dan Laut. Acara terbang lintas kemudiannya mengambil tempat dimana lima buah helikopter milik ATM iaitu tiga EC 725 Cougar, sebuah Agusta A-109 LOH dan sebuah Fennec yang masing-masing membawa bendera Malaysia, ATM, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Darat.


Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin kemudiannya mengiringi Tuanku Abdul Halim melakukan pemeriksaan perbarisan kawalan kehormat yang terdiri daripada 22 pegawai dan 560 anggota lain-lain pangkat yang diketuai Pegawai Memerintah Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja, Leftenan Kolonel Megat Ahmad Najib Megat Yunus. Setelah selesai, Gabungan Pancaragam Pusat ATM di bawah pimpinan Kapten Mohd Subri Mohd Isa dari TUDM mengambil tempat dengan memainkan alunan lagu-lagu patriotik. Istiadat mengarak Panji-panji Yang di-Pertuan Agong bermula dengan penuh istiadat ketenteraan dalam tempo kawad perlahan dan cepat di hadapan Seri Paduka Baginda, para pegawai dan hadirin.


Dalam istiadat ini, Lima Panji-Panji Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang terdiri daripada Panji-Panji Rejimen Askar Melayu Diraja, Rejimen Renjer Diraja, Kor Armor Diraja, TLDM dan TUDM telah diarak dan diakhir dengan laungan 'Daulat Tuanku' sebanyak tiga kali. Seblum istiadat berakhir, Ketua Pengarah Kor Agama ATM, Mejar Jeneral Datuk Kamarudin Mamat mengambil tempat membaca doa. Sebelum Tuanku Abdul Halim dan Tuanku Hajah Haminah berangkat pulang, baginda sekali lagi menerima tabik hormat daripada barisan kawalan kehormat dan lintas hormat oleh kelima-lima pesawat ATM serentak dengan alunan lagu Negaraku.

Sumber :- Bernam

No comments: