Tuesday, December 31, 2013

Wajah Terkini Sultan Azlan Shah


31 Disember 2013 :-

Tentu ramai yang hendak melihat wajah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Azlan Muhibbuddin Shah ibni Almarhum Sultan Yussuf Izzuddin Shah Ghafarullahu-lah, Sultan Perak yang telah lama tidak kelihatan dikhalayak ramai.  Inilah dia gambar terbaru Tuanku Sultan Azlan Shah. Pada 28 Disember lepas, Tuanku Sultan Azlan Shah yang berusia 85 tahun telah berkenaan menyumbangkan RM 1juta kepada Institut Jantung Negara atau IJN. Sumbangan ini diberikan kepada IJN adalah sebagai tanda bangga baginda terhadap pencapaian serta usaha IJN dalam menyediakan rawatan kardiovaskular dan torasik kepada pesakit-pesakit jantung.

Sumbang diserahkan oleh baginda dalam satu majlis ringkas di IJN kepada Ketua Pegawai Eksekutif merangkap Pengarah Urusan IJN, Tan Sri Dr Robaayah Zambri.  Turut serta dalam majlis ini adalah Duli Yang Maha Mulia Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan, Tuanku Bainun binti Mohd Ali dan Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Perak Darul Ridzuan Raja Dr. Nazrin Shah Ibni Sultan Azlan Muhibbuddin Shah.

Syah doakan agar Tuanku Sultan Azlan Shah dipanjangkan umur, diberikan kesihatan yang baik dan sentiasa dilindungi Allah hendaknya. Amin.



Sumber : Bernama

Sunday, December 29, 2013

Wajah Sultan Brunei Ketika Pulang Dari Mengerjakan Ibadat Haji


29 Disember 2013, Ahad :- 

Tahukah anda siapakah gerangannya lelaki ini.  Ini adalah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ketika berusia 41 tahun.  Gambar ini diambil pada tahun 1987 ketika baginda kembali daripada mengerjakan ibadat haji buat pertama kalinya. Dikatakan ada seorang mutawif dari Indonesia memberi komen terhadap gambar baginda yang menurut beliau menyerupai wajah orang Arab Yaman.

Sumber : Pg OA

Thursday, December 26, 2013

Tidak Dapat Update Blog


26 Disember 2013, Khamis :-

Salam  kepada semua pembaca setia tengkusyah.blogspot.com.  Syah minta maaf kerana kurang update blog akhir-akhir ini kerana sibuk dengan tugas-tugas dipejabat terutamanya untuk proses penutupan akaun 2013. Sekarang jam 19:39hrs dan Syah masih lagi dipejabat. Insyallah jika ada masa terluang Syah akan cuba kemaskini blog Syah.

Sekali lagi terima kasih kepada semua yang sudi singah ke tengkusyah.blogspot.com. Tanpa anda semua siapalah tengkusyah.blogspot.com.

Sehingga berjumpa lagi dilain Entry.

Wednesday, December 25, 2013

Penceroboh Istana Perlis Dijatuhi Hukuman Penjara Tiga Bulan

25 Disember 2013, Rabu :-


Seorang lelaki, Cheah Hun Chee didapati bersalah oleh Mahkamah Majistret Kuala Lumpur semalam atas kesalahan menceroboh Istana Perlis di Jalan Eaton, Kuala Lumpur.  Hun Chee yang berusia 31 tahun merupakan seorang penggangur dan tidak diwakili peguam mengaku bersalah diatas pertuduhan yang dikenakan terhadap beliau. Diantara pertuduhan yang dikenakan terhadap beliau adalah seperti berikut:-
  1. Memasuki Istana Pelis di Jalan Eaton, Kuala Lumpur tanpa kebenaran pada jam 3 pagi 12 Disember 2003. Didakwa mengikut Seksyen 447 kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara enam bulan atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
  2. Memecahkan cermin pintu serta menconteng dinding Istana Perlis dengan cat sehingga menyebabkan kerugian RM500.00 ditempat dan masa yang sama.  Didakwa mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
  3. Gagal menunjukkan kad pengenalan mengikut Peraturan 25(1)(N) Peraturan Pendaftaran Negara 1990 yang membawa hukuman penjara tiga tahun atau denda RM20,000.00.
Majistret Saifulkamal Said menjatuhkan hukuman penjara dua bulan terhadap tertuduh bagi kesalahan menceroboh, tiga bulan penjara kerana melakukan khianat dan satu bulan penjara bagi kesalahan gagal menunjukkan kad pengenalan. Hukuman penjara yang dikenakan terhadap tertuduh adalah tiga bulan penjara. Hukuman berjalan serentak bermula dari tarikh tertuduh ditangkap iaitu pada tarikh 12 Disember 2013.

Sumber :- Kosmo/Malaysian Insider

Selamat Menyambut Ulang Tahun Keputeraan Yang Ke-26, Tunku Temenggong Johor



25 Disember 2013, Selasa :- 

Selamat menyambut ulang tahun keputeraan yang ke- 26 tahun kepada Yang Amat Mulia Tunku Temenggong Johor Tunku Idris Iskandar ibni Sultan Ibrahim semuga dipanjangkan umur, dimurahkan rezeki dan diberi kesihatan yang baik.  Amin.

YAM Tunku Idris merupakan putera kedua dan anakanda ketiga kepada Sultan Johor, Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim ibni Almarhum Sultan Iskandar dan Duli Yang Maha Mulia Raja Zarith Sofiah binti Almarhum Sultan Idris Shah. YAM Tunku Idris diputerakan pada 25 Disember 1987. YAM Tunku Idris mendapat gelaran Tunku Temengong Johor pada 26 Februari 2010. YAM Tunku Idris masih bujang.

Sumber :- Kesultanan Johor/The Royal Ark/MBS

Monday, December 23, 2013

Sultan Selangor Ke-5 Rasmikan Masjid Jamek Kuala Lumpur


23 Disember 2013, Isnin :-


Masjid Jamek Kuala Lumpur telah dirasmikan oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan Ala'eddin Suleiman Shah ibni Almahum Raja Muda Musa, Sultan Selangor Kelima pada 23 Disember 1909. Masjid ini dibina dengan kos $32,625.00 dimana $12,000.00 adalah dari sumbangan orang ramai manakala $20,625 pula disumbangan oleh Kerajaan Negeri Selangor. Arkitek bagi masjid ini adalah A.B. Hubbock yang merupakan Arkitek dari Jabatan Kerja Raya. Masjid ini diilhamkan daripada reka bentuk masjid-masjid di Utara India. Beliau juga merupakan arkitek bagi bangunan Keratapi Tanah Melayu atau KTM. 

Sumber :- Arkib Negara

Saturday, December 21, 2013

Ziarah Ke Makam Ayahanda dan Bonda Mertua Sultan Brunei



21 Disember 2013, Jumaat :-

Pada 23 November 2013 lepas Syah ziarah ke makam Ayahanda dan Bonda kepada Puan Hajjah Mariam binti Haji Abdul Aziz yang merupakan bekas Isteri kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.  Makam berkenaan berada didalam kawasan Tanah Pekuburan Islam Dagang di Bandar Seri Bagawan. Didalam tanah perkuburan ini juga terdapat satu batu nisan yang bertanda Maharaja Brunei.

Makam ini sering diziarahi oleh Yang Teramat Mulia Pengiran Muda Haji 'Abdul 'Azim Ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah dan Yang Teramat Mulia Pengiran Muda 'Abdul Mateen ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah.


Inilah dia makam kedua Ayahanda dan Bonda Mertua kepada Sultan Brunei iaitu bapa kepada Puan Hajjah Mariam, Allahyarham Haji Abdul Aziz bin Abdullah yang merupakan seorang lelaki kacukan Jepun dan Eropah manakala bonda Puan Hajjah  Mariam adalah berketurunan Pangeran dari Brunei. Bentuk makam kedua-duanya ini memang unik dan berbeza dari kebanyakan makam-makam/kubur-kubur lainnya di Brunei. 

Jika anda lihat gambar dibawah dan binaan mamar bewarna putih dibelakang makam merupakan tempat duduk untuk orang-orang yang menziarahi makam ini untuk bertahlil atau membaca Yasin terutamanya Pengiran Muda 'Abdul 'Azim dan Pengiran Muda 'Abdul Mateen. Syah dimaklumkan setiap kali ziarah ke makam, Pengiran Muda akan memberi sedekah berupa wang kepada orang ramai yang berada di tanah perkuburan ini.


Ini adalah makam Allahyarham Haji Abdul Aziz bin Abdullah yang mangkat dalam usia 65 tahun.


Dibatu Nisan Allahyarham tertulis :-

Al-baqa ilallah. 
Haji Abd Aziz bin Abdullah, dilahirkan pada 4 September 1914M. Kembali kerahmatullahi ta'ala pada hari Ahad 2 Disember 1979M bersamaan 12 Muharam 1400H. Ghafarallahu lahu wa li usulihi wa furu 'ihi, Amin.


Ini adalah makam bonda kepada Puan Hajjah Mariam, Allahyarhamah Pengiran Hajah Rashidah binti Pengiran Mohd Salleh yang mangkat dalam usia 71 tahun.

 Dibatu Nisan Allahyarhamah tertulis :-

Al-baqa ilallah. 
Pengiran Hajah Rashidah binti Pengiran Mohd Salleh, dilahirkn pada 28 Disember 1913M. Kembali kerahmatullahi ta'ala pada hari Ahad 11 Mac 1984M bersamaan 8 Jamadilakhir 1404H. Ghafarallahu laha wa li usuliha wa furu 'iha, Amin.

Al-Fatihah

Semuga Rohnya Allahyarham Haji Abdul Aziz bin Abdullah dan Allahyarhamah Pengiran Hajah Rashidah binti Pengiran Mohd Salleh ditempatkan bersama-sama  
orang-orang yang beriman dan beramal solleh. 
Amin. 

Thursday, December 19, 2013

Cucunda Al-Marhum Sultan Ahmad Tajuddin Mangkat

Gambar Syah sewaktu ziarah ke makam Allahyarhamah Yang Amat Mulia Pengiran Anak Datin Seri Hajah Siti Saerah pada 23 November 2013.

19 Disember 2013, Khamis :-

Dukacita dimaklumkan bahawa anak kepada Allahyarhamah Yang Amat Mulia Pengiran Anak Datin Seri Hajah Siti Saerah Binti Al-Marhum Sultan Ahmad Tajuddin iaitu Hajah Rohani binti Haji Ali telah kembali ke rahmatullah sebentar tadi.  Allahyarhamah YAM Pengian Anak Datin Seri Hajah Siti Saerah baru sahaja mangkat pada 04 November 2013 lepas dan hari ini anakandanya pula.


Jenazahnya Allahyarhamah sekarang berada dikediaman Allahyarham di Kampung Sungai Buluh, Jalan Muara. Dari maklumat yang Syah terima, Jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid JameAsr Hassanil Bolkiah.


Al-Fatihah


Semuga Rohnya Allahyarhamah Hajah Rohani binti Haji Ali ditempatkan bersama-sama orang-orang yang beriman dan beramal solleh.  Amin.

Entry Syah terdahulu mengenai kemangkatan Allayarhamah YAM Pengian Anak Datin Seri Hajah Siti Saerah :-
  1. Kemangkatan Allahyarhamah YAM Pengiran Anak Datin Seri Hajah Siti Saerah
  2. Makam Allahyarhamah
Takziah diucapkan kepada keluarga Allahyarhamah Hajah Rohani binti Haji Ali semuga kalian tabah menghadapi dugaan ini.

Sumber : Danny / MBS

Wednesday, December 18, 2013

Sultan Brunei Meneri Mengadap Menteri Besar Kelantan

18 Disember 2013, Rabu :- 

Semalam Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah berkenan menerima mengadap Menteri Besar Kelantan, Dato' Haji Ahmad bin Yakob di Istana Nurul Iman. Dato' Haji Ahmad dan rombongan berada di Brunei untuk lawatan rasmi negara selama lima hari.

Sumber :- Pelitabrunei/Jabatan Penerangan Brunei

Tuesday, December 17, 2013

Perkarangan Istana Negara Pernah Dijadikan Tempat Solat Hari Raya Aidilfitri


17 Disember 2013, Selasa :-


Tahukah anda bahawa sebelum Masjid Negara dibina, Solat Hari Raya Aidilfitri telah diadakan di perkarangan Istana Negara di Jalan Syed Putra, Kuala Lumpur yang sekarang ini dikenali sebagai Istana Negara Lama atau Muzium Istana Negara.  Gambar ini diambil semasa Solat Hari Raya Aidilfitri pada tahun 1961.

Sumber :- Buku Tunku Prince of Peace/Arkib Negara 

Monday, December 16, 2013

Piring Peringatan Jubli Intan Pemerintahan Queen Elizabeth II


16 Disember 2013, Isnin :-

Petang semalam Syah ke Amcorp Mall di Petaling Jaya untuk melihat jualan barang-barang lama di sana.  Pusing punya pusing akhirnya terjumpa commemorative plate atau piring peringatan sempena sambutan Jubli Intan pemerintahan Baginda Queen Elizabeth II yang ke-60 diatas tahta Britain. Harganya RM32.00 tetapi Syah dapat RM28.00.  Piring ini berukuran 4.5 inci diletakkan dalam kotak khas dan didatangkan dengan "frame stand". Ada dua set piring ini dan Syah beli satu sahaja sebagai koleksi diraja Maharum Bugis Syah Mini Royal Library.

Sunday, December 15, 2013

Selamat Menyambut Ulangtahun Perkahwinan Ke-60 Tengku Aris Temenggong Selangor


Gambar terbaru Tengku Muhamad Yusof dan Raja Saidatul-Ezam sewaktu sambutan ulangtahun perkahwinan mereka yang ke-60 yang diadakan di Hotel One World, Genting Highland.


15 Disember 2013, Ahad :-

Tahniah diucapkan kepada Tengku Aris Temenggong Selangor, Yang Amat Mulia Tengku Dato' Setia Muhamad Yusof Shah Al-Haj Ibni Almarhum Sultan Ala'eddin Suleiman Shah dan Yang Mulia Raja Saidatul-Ezam Binti Raja Kechil Besar Perak, Raja Datuk Sri Lope Nur Rashid yang telah menyambut ulang tahun ke-60 Perkahwinan mereka pada 12 Disember lepas. Yang Amat Mulia Tengku Dato' Setia Muhamad Yusof Shah berkahwin dengan Yang Mulia Raja Saidatul-Ezam pada 1953.

Yang Amat Mulia Tengku Dato' Setia Muhamad Yusof Shah merupakan kerabat diraja Selangor manakala Yang Mulia Raja Saidatul-Ezam merupakan kerabat diraja Perak. Hasil daripada perkahwinan ini Yang Amat Mulia dikurniakan dengan 10 orang cahayamata iaitu dua putera dan lapan puteri.

Syah mendoakan agar Tengku Aris Temenggong Selangor, Yang Amat Mulia Tengku Dato' Setia Muhamad Yusof Shah Al-Haj Ibni Almarhum Sultan Ala'eddin Suleiman Shah dan Yang Mulia Raja Saidatul-Ezam Binti Raja Kechil Besar Perak, Raja Datuk Sri Lope Nur Rashid dipanjangkan umur, dimurahkan rezeki dan diberi kesihatan yang baik serta dipanjangkan jodoh hingga ke akhir hayat. Amin

Gambar sewaktu muda

Gambar :- TS Facebook

Perkahwinan Sultan Haji Hassanal Bolkiah

15 Disember 2013, Ahad :-

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkahwin buat pertama kalinya semasa berusia 19 tahun dengan sepupu baginda iaitu Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha binti Al-Marhum Pengiran Pemancha Pengiran Anak Haji Mohamed Alam pada 28 Julai 1965 di Bandar Seri Bagawan, Brunei Darussalam. KDYMM Paduka Seri Baginda Raja Isteri ketika itu berusia 19 tahun. Hasil perkahwinan ini KDYMM Paduka Seri Baginda Raja Isteri dikurniakan dengan dua orang putera dan empat orang puteri.

Sultan Brunei berkahwin buat kali keduanya dalam usia 35 tahun dengan Puan Mariam binti Abdul Aziz pada 28 Oktober 1981 di Bandar Seri Bagawan, Brunei Darussalam. Puan Mariam ketika itu berusia 25 tahun. Hasil daripada perkahwinan ini Puan Mariam dikurniakan dengan dua orang putera dan dua orang puteri.

Baginda kemudiannya berkahwin buat kali ketiga dengan Puan Azrinaz Mahzar Hakim pada 20 Ogos 2005 di salah sebuah Istana Sultan Brunei yang kini dikenali sebagai Rumah Awang Alak Bertatar di Jalan Ampang, Kuala Lumpur. Ketika berkahwin Puan Azrinaz berusia 26 tahun manakala Tuanku berusia 59 tahun. Hasil daripada perkahwinan ini Puan Azrinaz dikurniakan dengan sepasang cahayamata.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha binti Al-Marhum Pengiran Pemancha Pengiran Anak Haji Mohamed Alam.


Disebelah kiri adalah Puan Hajjah Mariam semasa menjadi isteri kedua Sultan Brunei menggunakan gelaran Duli Yang Teramat Mulia Pengiran Isteri Hajjah Mariam binti Hj Abdul Aziz manakala disebelah kanan adalah Puan Azrinaz dimana beliau semasa menjadi isteri kedua Sultan Brunei menggunakan gelaran Duli Yang Teramat Mulia Pengiran Isteri Azrinaz Mahzar binti Hakim Mahzar.

Walau bagaimanapun jodoh Sultan Brunei dengan dua orang isteri baginda terputus ditengah jalan. Sultan Brunei bercerai dengan Puan Hajah Mariam pada Februari 2003 setelah mendirikan rumahtangga selama 21 (duapuluh satu) tahun.  Manakala pada 16 Jun 2010 baginda telah menceraikan Puan Azrinaz setelah hidup bersama selama hampir 5 (lima) tahun.

Berita mengenai perceraian diantara Sultan Brunei dan Puan Azrinaz telah dimaklumkan kepada rakyat Brunei melalui RTB (Radio dan Televisyen Brunei) pada jam 08:00pm 16 Jun 2010. Berita ini disampaikan oleh YAM Pengiran Penggawa Laila Bentara Istiadat Diraja Dalam Istana, Pengiran Haji Alaudin bin Pengiran Paduka Tuan Pengiran Haji Abu Bakar. Dalam ucapanya beliau memaklumkan "Maka pada petang Rabu 03 haribulan Rejab 1431 Hijrah bersamaan dengan 16 haribulan Jun tahun 2010 masihi (baginda) telah menjatuhkan talak satu kepada isteri baginda, Duli Yang Teramat Mulia Pengiran Isteri Azrinaz Mazhar binti Hakim Mazhar".

Dengan penceraian ini,  segala gelaran dan pingat kebesaran yang diberikan kepada kedua-dua bekas isteri baginda telah ditarik balik berkuatkuasa mulai tarikh penceraian.  Buat masa ini Puan Hajah Mariam menetap di Brunei manakala Puan Azrinaz telah pulang ke Malaysia. Anak-anak Puan Azrinaz kini dibawah jagaan Sultan Brunei dan Raja Isteri.

Kini Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha merupakan satu-satunya isteri kepada Sultan Brunei.

Saturday, December 14, 2013

Kek Sempena Hari Keputeraan Sultan Selangor Ke-68

14 Disember 2013, Sabtu :-

Sempena sambutan Hari Keputeraan Ke-68  Duli Yang Maha Mulia Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj, Sultan dan Yang Dipertuan Negeri Selangor Darul Ehsan pada 11 Disember lepas Syah ingin berkongsi dengan anda semua kek yang dipersembahkan kepada DYMM Tuanku Sultan Sharafuddin sempena hari keputeraan baginda. Kek-Kek ini diletakkan di Dewan Santapan, Istana Alam Shah, Klang, Selangor.




Meja Makan Utama di Dewan Santapan Istana Alam Shah, Klang, Selangor.

Sumber :- TS Facebook

Thursday, December 12, 2013

Sultan Pahang Menyempurnakan Istiadat Penganugerahan Panji-Panji Skuadron kepada 3 (tiga) Skuadron TUDM




12 Disember 2013, Khamis :-

Hari ini Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang, Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah Ibni Almarhum Sultan Abu Bakar Ri'ayatuddin Al-Mu'adzam Shah yang juga merupakan Kolonel Yang Di-Pertua Tentera Udara Diraja Malaysia telah berkenan mencemar duli menyempurnakan Istiadat Penganugerahan Panji-Panji Skuadron kepada 3 (tiga) Skuadron TUDM iaitu No.11, 12 dan 15 .  Istiadat berlangsung di Pengkalan Udara Subang, Selangor.


Penganugerahan panji-panji ini merupakan satu pengiktirafan tinggi yang diberikan bagi mengenang jasa, sumbangan dan pengorbanan warga TUDM dalam mempertahankan kedaulatan negara. Panji-panji ini juga merupakan simbol kepahlawanan yang harus disanjung dan dipertahankan oleh semua Waga Tentera Udara Diraja Malaysia.

Leftenan Kolonel Azman bin Jantan telah mengetuai perbarisan Istiadat Penganugerahan panji-Panji Skuadron bersama-sama 26 pegawai dan 363 anggota lain-lain pangkat. Turut serta dalam istiadat ini adalah Duli Yang Maha Mulia Sultanah Pahang Sultanah Hajjah Kalsom dan Panglima Angkatan Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Rodzali Daud.

Sumber :- Bernama / Airforce.gov.my

Sultan Brunei Berangkat Ke Jepun

12 Disember 2013, Khamis :-

Hari ini Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berangkat ke Tokyo, Jepun bagi menghadiri Sidang Kemuncak Peringatan Asean-Jepun kali ke-40. Seperti biasa sebelum berangkat, doa selamat telah dibacakan oleh Mufti Kerajaan, Pehin Orang Kaya Laila Wijaya Dato Seri Setia (Dr) Hj Awang Abd Aziz bin Juned. Majlis doa selamat diadakan di Istana Nurul Iman, Bandar Seri Begawan dan Penerbangan Diraja Rimba.

Syah mendoakan agar Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah dan rombongan sentiasa dilindungi Allah hendaknya dan selamat berangkat pergi dan kembali semula ke Negara Brunei Darussalam.  Amin.

Sumber :- Jabatan Penerangan Brunei

Wednesday, December 11, 2013

Dua Menantu DYMM Sultan Selangor Menerima Darjah Kebesaran Datuk Setia Sultan Sharafuddin Idris Shah

Dari Kiri ke Kanan : Yang Amat Berbahagia Dato' Setia Aubry Rahim Mennesson dan Yang Amat Berbahagia Dato' Setia Colin Salem Parbury 


11 Disember 2013, Rabu :-

Sempena Sambutan Hari Keputeraan  Duli Yang Maha Mulia Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj, Sultan dan Yang Dipertuan Negeri Selangor Darul Ehsan Yang Ke-68 hari ini, satu Istiadat Pengurniaan Darjah dan Bintang Kebesaran Negeri Selangor Darul Ehasan telah diadakan pagi tadi di Balairung Seri, Istana Alam Shah, Klang, Selangor. Dalam istiadat ini, seramai 102 orang telah dipilih untuk menerima darjah dan bintang kebesaran Negeri Selangor termasuklah dua orang menantu lelaki DYMM Sultan Selangor iaitu Pengarah, Penerbit dan Penulis Filem Pendek 'Adrenalin', Colin Salem Parbury dan Pengarah Urusan Light Cibles Malaysia, Aubry Rahim Mennesson telah dianugerah Darjah Kelas Pertama, Darjah Kebesaran Datuk Setia Sultan Sharafuddin Idris Shah (S.S.I.S) yang membawa gelaran Dato’ Setia. Tahniah kepada kedua-dua menantu DYMM Sultan Selangor diatas pengurniaan Darjah Kebesaran Datuk Setia Sultan Sharafuddin Idris Shah (S.S.I.S).


Sumber :- Bernama/Darjah Kebesaran Negeri Selangor

Selamat Menyambut Hari Keputeraan Yang Ke-68 Tahun Duli Yang Maha Mulia Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj

DAULAT TUANKU



Duli Yang Maha Mulia
Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj
Sultan dan Yang Dipertuan Negeri Selangor Darul Ehsan
Serta Segala Daerah Takluknya

Merafak Sembah Tahniah Dan Ucap Selamat
Sempena Ulang Tahun Keputeraan Baginda Yang Ke-68
11 Disember 2013 bersamaan 08 Safar 1435H

Semuga Tuanku Sultan Selangor DiPanjangkan Umur, Diberikan Kesihatan Yang Baik dan Dapat Memerintah Negeri Selangor Dengan Seadilnya.

Sembah Takzim Daripada
Maharum Bugis Syah

Monday, December 9, 2013

Syah Dapat Buku Putera Sulong



09 Disember 2013, Isnin :-

Sabtu lepas Syah dapat hadiah sebuah buku - Putera Sulong daripada seorang sahabat Syah yang hanya boleh Syah sebutkan sebagai Pengiran OA sahaja.  Kebetulan beliau datang bersama keluarga bercuti di Malaysia dan kami sempat berjumpa Sabtu lepas di Pavalion Kuala Lumpur.  Buku ini diterbitkan pada 1989 sempena Istiadat Berkahtan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda Al-Muhtadee Billah. Buku ini merupakan penulisan awal mengenai diri Duli Yang Teramat Mulia dimana ianya menceritakan secara ringkas mengenai keputeraan, persekolahan dan kegiatan baginda sebagai Putera Sulung kepada Sultan Brunei.

Shukur Alhamdulillah, bertambahlah lagi koleksi peribadi Syah untuk Maharum Bugis Syah Mini Royal Library. Terima Kasih Pengiran OA, Syah amat menghargainya.


Sunday, December 8, 2013

Sultan Brunei dan Perdana Menteri Malaysia Rasmikan Jambatan Persahabatan

08 Disember 2013, Ahad :-

Pagi tadi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Yang Amat Berhomat Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia telah merasmikan Jambatan Persahabatan  yang menghubungkan Daerah Temburung di Brunei dan Limbang di Sarawak, Malaysia.

Majlis perasmian jambatan berkenaan dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah oleh Mufti Kerajaan, Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr.) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned. KDYMM Sultan Haji Hassanal Bolkiah dan Datuk Seri Najib Kemudiannya menandatangani plak Perasmian Jambatan Persahabatan dan seterusnya memotong riben perasmian. KDYMM Sultan Haji Hassanal Bolkiah dan Datuk Seri Najib kemudiannya menyaksikan lintas lalu kenderaan yang melalui jambatan ini buat pertama kalinya selepas ianya dirasmikan. Para pemandu dan penumpang kenderaan mengibarkan bendera kebangsaan kedua-dua negara. 

Doa selamat kemudiannya dibacakan oleh Mufti Kerajaan, Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr.) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned. Baginda dan Datuk Seri Najib kemudiannya berangkat menyaksikan Pameran Pembinaan Jambatan Persahabatan di Antara Negara Brunei Darussalam dan Malaysia. Para pemimpin kedua belah negara kemudiannya melintas berjalan kaki di atas jambatan persahabatan tersebut sebelum menghadiri majlis santap tengah hari.

Kos pembinaan Jambatan Persahabatan dianggarkan berjumlah BND9 juta atau kira-kira RM21 juta dan dibiayai secara sama rata diantara  Malaysia dan Brunei manakala kos jalan hala tuju ke Jambatan Persahabatan adalah di bawah tanggungan negara masing-masing. Pembinaan jambatan ini bermula semenjak 15 Mei 2012 dan siap sepenuhnya pada penghujung November 2013.  Jambatan ini berukuran 189 meter panjang dan 14 meter lebar.

Pembinaan jambatan ini  akan melancarkan lagi perjalanan pengguna jalanraya diantara kedua negara tanpa menggunakan perkhidmatan feri penumpang seperti sebelumnya. Pembinaan jambatan ini juga diharap menjadi pemangkin kepada pembangunan sosio-ekonomi penduduk di kawasan sekitarnya dan meningkatkan perdagangan rentas sempadan.

Sumber :- Pelita Brunei / Jabatan Penerangan Brunei

Tengku Puan Pahang Menyumbang Bantuan Memasak Untuk Mangsa Banjir



08 Disember 2013, Ahad :- 

Tahniah diucapkan kepada Kebawah Duli Yang Teramat Mulia Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Al-Haj ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah dan isteri, Kebawah Duli Yang Teramat Mulia Tengku Puan Pahang, Tunku Hajjah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah binti Almarhum Almutawakkil 'Alallah Sultan Iskandar diatas keperihatinan baginda berdua membantu menyediakan makanan bagi mangsa banjir yang melanda negeri Pahang sekarang ini. DYTM Tengku Puan Pahang yang diketahui umum mempunyai minat dalam bidang masakan selalu dilihat membantu menyediakan makanan bagi mangsa-mangsa banjir sekitar Pahang. Negeri Pahang dilaporkan paling teruk dilanda banjir setakat ini.

Tahniah diucapkan kepada DYTM Tengku Puan Pahang diatas usaha-usaha murni Tengku Puan bagi membantu rakyat yang memerlukan pertolongan dan bantuan. 

Sumber :- Pic from Facebook

Jambatan Perpaduan Menghubungkan Malaysia-Brunei


08 Disember 2013, Ahad :-

Beginilah keadaan Jambatan Perpaduan yang akan dirasmikan pagi ini oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bagi pihak Negara Brunei Darussalam dan Yang Amat Berhomat Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak bagi pihak negara Malaysia. Jambatan ini dibina diatas Sungai Pandaruan bagi menghubungkan Brunei-Malaysia iaitu melalui Daerah Temburong di Brunei dan Limbang di Sarawak.

Datuk Seri Najib berada di Brunei bagi menghadiri Rundingan Tahunan Ke-17 dengan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Waddaulah.

Sumber:- Bernama / Fantistic Brunei Issue

Tuanku Abdul Halim Hadiri Majlis Santapan Malam Sempena Sambutan Hari Ulang Tahun Rejimen Askar Melayu Diraja ke-80


08 Disember 2013, Ahad:

Malam semalam Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Almu'tasimu Billahi Muhibbuddin Tuanku Alhaj Abdul Halim Mu'adzam Shah ibni Almarhum Sultan Badlishah dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah binti Haji Hamidun telah berkenaan mencemar duli menghadiri Majlis Santapan Malam sempena sambutan hari ulang tahun Rejimen Askar Melayu Diraja ke-80.  Majlis yang diadakan di Wisma Perwira ini turut dihadiri oleh Panglima Medan Tentera Darat yang juga merupakan Pengerusi Rejimen Askar Melayu Diraja, Leftenan Jeneral Datuk Seri Zulkiple Kassim dan Tunku Temenggung Kedah, Tan Sri Tunku Salehuddin ibni Almarhum Sultan Badlishah.

Sumber :- Bernama

Friday, December 6, 2013

23 Tahun Kemangkatan Allahyarham Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj


Makam Allahyarham Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj di Makam Diraja Langgar, Alor Setar, Kedah. Gambar ini diambil oleh Syah sendiri ketika ziarah ke Makam Diraja Langgar pada tahun 2006.

06 Disember 2013, Jumaat :-

Hari ini genaplah 23 tahun Bapa Kemerdekaan Negara, Yang Teramat Mulia Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj ibni Almarhum Sultan Abdul Hamid Halim Shah meninggalkan kita semua.  Allahyarham merupakan putera ketujuh Sultan Abdul Hamid Halim Shah ibni Almarhum Sultan Ahmad Tajuddin Al-Mukarram Shah, Sultan Kedah ke-25 telah diputerakan pada 08 Februari 1903 oleh bondanya Cik Manjalara binti Long Naraburi Rak.  Allahyarham mangkat jam 22:25hrs di Hospital Besar Kuala Lumpur  pada 06 Disember 1990 ketika berusia 87 tahun kerana sakit tua.

Jenazah Allahyarham telah di bawa ke bangunan Parlimen daripada kediaman Allahyarham di Kuala Lumpur bagi membolehkan orang ramai memberikan penghormatan terakhir. Satu upacara penghormatan terakhir juga telah diadakan di Stesen Tentera Udara Diraja Malaysia oleh Pasukan Polis Diraja Malaysia, sejurus sebelum Jenazah Almarhum diterbangkan ke Alor Setar, Kedah untuk disemadikan di Makam Diraja Langgar.

Al-Fatihah ...... 

Semuga Roh Allahyarham  Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj ibni Almarhum Sultan Abdul Hamid Halim Shah ditempatkan bersama-sama orang-orang yang beriman dan beramal solleh.  Amin.


Makam Almarhum Sultan Abdul Hamid Halim Syah, ayahanda kepada Allahyarham Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj. Mangkat pada 13 Mei 1943.  Gambar tahun 2006 sewaktu ziarah Syah ke Makam Diraja Langgar.


Makam Allahyarhamah Che Manjalara binti Long Naraburi Rak. Bonda kepada Allahyarham Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj. Mangkat pada 23 April 1941.  Gambar tahun 2006 sewaktu ziarah Syah ke Makam Diraja Langgar.

Thursday, December 5, 2013

Ziarah Ke Makam Sultan Sharif Ali

04 Disember 2013, Rabu :-

Syah Ziarah ke makam Al-Marhum Sultan Sharif Ali pada 20 November 2013. Ini adalah makam pertama yang Syah ziarahi semasa lawatan Syah di Brunei Darussalam bermula 18 November hingga 25 November 2013. Niat asalnya Syah hendak ziarah ke Makam Sultan Bolkiah dan apabila bas turun di Muzium Brunei di Kota Batu dan Syah bertanya kepada seorang wanita arah kemakam Sultan Bolkiah dan dia beliau menunjukkan tangannya arah kedepan dan Syah pun pergi ketempat berkenaan.  Rupa-rupanya itu adalah makam Al-Marhum Sultan Sharif Ali, Sultan Brunei ke-3 dan bukannya Al-Marhum Sultan Bolkiah, Sultan Brunei ke-5. Itulah salah Syah juga............ sepatutnya dahulukan yang tua baru yang muda dan akhirnya keadaan menentukan iannya terjadi begitu dimana akhirnya Syah Ziarah dahulu ke Makam Al-Marhum Sultan Shariff Ali.

Al-Marhum Sultan Sharif Ali merupakan menantu kepada Sultan Ahmad, Sultan Brunei ke-2. Menurut kajian, Al-Marhum adalah dari keturunan Nabi Muhammad S.A.W.  Al-Marhum dikatakan berasal dari Taif dan berbangsa Arab.  Al-Marhum datang ke Brunei untuk menyebarkan agama Islam. Diatas sumbangan dan jasa yang diberikan oleh Al-Marhum terhadap penyebaran Islam di Brunei, Sultan Ahmad telah berkenan menjodohkan puteri baginda, Puteri Ratna Kesuma dengan Al-Marhum. Apabila Sultan Ahmad mangkat pada 1425 dan tidak meninggalkan sebarang Putera Gahara,  maka para pembesar dan rakyat telah sepakat memilih Al-Marhum sebagai Sultan Brunei ke-3. 

Dalam Batu Tarsilah di Kubah Makam Diraja yang ditulis oleh Khatib Haji Abdul Latif pada 1807 ada diceritakan mengenai Al-Marhum Sultan Sharif Ali seperti berikut :-

Maka adalah yang pertama Kerajaan di Negeri Brunei dan membawa agama Islam dan mengikut Syariat Nabi kita Muhammad Sallallahu 'Alaihi wa Sallam iaitu Paduka Seri Sultan Muhammad dan Saudaranya Sultan Ahmad. Maka beranak seorang perempuan dengan isterinya saudara Raja Cina yang diambil dari Kinabatangan. Maka puteri itu yang diambil oleh Sharif Ali yang turun dari negeri Taif. Maka Sharif Ali itulah Kerajaan dinamakan dia Paduka Seri Sultan Berkat ialah yang mengeraskan syariat Rasulullah Sallallahu 'Alaihi wa Sallam dan berbuat masjid dan segala rakyat Cina berbuat kota baru.  Tuan Sharif Ali itu pancir salasilah daripada Amirul Mu'minin Hasan cucu Rasulullah.

Al-Marhum memerintah Brunei lebih kurang tujuh tahun mulai tahun 1425 hingga 1432. Baginda merupakan seorang ulama yang telah berjaya menyebarkan ugama Islam di Brunei dan merupakan pengasas pemerintahan Islam di Brunei. Al-Marhum juga dikenali dengan panggilan Sultan Berkat.

Diantra sumbangan Al-Marhum adalah :-
  1. Sultan pertama yang mendirikan masjid di Brunei.
  2. Mencipta panji-panji kerajaan yang bersayap tiga mungkin melambangkan ajaran islam yang mengandungi Islam, Iman dan Ihsan.
  3. Mencipta alat kebesaran diraja bernama "Tunggul Alam Bernaga" yang mungkin melambangkan kebesaran Raja tempat rakyat bernaung.
  4. Al-Marhum mewariskan "Pedang Kerajaan Si Bongkok" sebagai salah satu alat kebesaran diraja. Pedang ini dibawa oleh Al-Marhum dari Taif.
Al-Marhum merupakan seorang yang sederhana dan tidak meninggi diri sehinggakan di batu nisan Al-Marhum hanya ditulis Ali sahaja dan tiada perkataan Sultan seperti berikut :-

Ya Allah
Dari Hijrah Nabi Sallallahu 'Alaihi wa Sallam Delapan Ratus Tiga Puluh Enam Tahun dalam bulan Jamadilawal malam khamis waktu Isya' di hari Ali berpindah dari dunia kepada akhirat, wassalam bil-khair.


Papantanda Makam Al-Marhum Sultan Sharif Ali ditepi jalan utama. Laluan bertile disebelah kiri Syah merupakan laluan menuju ke makam Al-Marhum Sultan Sharif Ali yang terletak dibawah bukit. 


Didalam bangsal atau pondok dibelakang Syah ada diletakkan sedikit penerangan berhubung Al-Marhum Sultan Sharif Ali, Sultan Brunei ke-3.


Dari bangsal/pondok berkenaan kita terpaksa berjalan kehadapan lagi untuk sampai ke makam Al-Marhum Sultan Sharif Ali.

 Pintu masuk ke Makam Al-Marhum Sultan Sharif Ali.

Syah dihadapan kubah yang menempatkan Makam Al-Marhum Sultan Ali


 Makam Al-Marhum Sultan Sharif Ali

Bahagian hadapan  batu nisan Al-Marhum Sultan Sharif Ali

Bahagian belakang batu nisan Al-Marhum Sultan Sharif Ali

 Pandangan dari sisi tepi batu nisan Al-Marhum Sultan Ali

 Pandangan dari atas batu nisan Al-Marhum Sultan Ali

 Makam Al-Marhum Sultan Sharif Ali

Syah dihadapan makam Al-Marhum Sultan Sharif Ali.  Semasa berada dikawasan ini batu nisan dan makam Al-Marhum berbau wangi.  Mungkin ada yang meletakkan wangian.


Bila Syah pegang batu nisan Al-Marhum Sultan Sharif Ali,  batunya terasa sejuk.


Al-Fatihah .........
Semuga rohnya Al-Marhum Sultan Sharif Ali ditempatkan bersama-sama orang-orang yang beriman dan beramal solleh.  Amin.