Monday, December 8, 2014

Tuanku Nazrin Dianugerahkan Darjah Kebesaran D.M.N


08 Disember 2014, Isnin :-

Menjunjung kasih ucap sembah tahniah kepada Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-lah yang telah dianugerahkan Darjah Kebesaran Darjah Utama Seri Mahkota Negara (D.M.N) daripada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di- Pertuan Agong Almu'tasimu Billahi Muhibbuddin Tuanku Alhaj Abdul Halim Mu'adzam Shah ibni Almarhum Sultan Badlishah.

Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak mewakili KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong mempersembahkan Darjah Kebesaran berkenaan kepada DYMM Paduka Seri Sultan Perak dalam satu majlis ringkas pada Sabtu lepas 06 Disember 2014 di Istana Hinggap Perak, Kuala Lumpur. Turut serta dalam majlis ini adalah Raja Permaisuri Perak Duli Yang Maha Mulia Tuanku Zara Salim, Menteri Besar Perak Dato' Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan Isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor.




Darjah Utama Seri Mahkota Negara (D.M.N.) merupakan darjah yang kedua antara sepuluh darjah Anugerah Diraja Malaysia dan tidak mempunyai darjah kecil.

Bilangan ahli D.M.N. terhad kepada 30 orang. D.M.N ini dikurniakan kepada Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong dan Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu yang baru sahaja ditabalkan di negerinya. 15 daripadanya mungkin daripada Anak-anak Raja Negara Asing, Ketua-ketua Negara atau orang-orang yang amat ternama.

Darjah Utama Seri Mahkota Negara ini mengandungi Kalung, Bintang, Selepang dan Lencana. Kalung Darjah mengandungi motif tengah yang berbentuk dua bilah keris bersarung yang bersilang serta menjulang. Bintang dan Bulan Sabit Bintang Darjah ini diperbuat daripada emas dan berbentuk bintang pecah sembilan. Lencana Darjah ini diperbuat daripada bintang pecah lima. Selepang Darjah diperbuat daripada kain sutera kuning dan di tengahnya terdapat jalur merah dan hujungnya berikat reben.


Di kedua-dua belah tepinya terdapat jalur kecil putih di antara dua jalur kecil berwarna biru. Darjah ini dizahirkan pada 16 Ogos 1958 dan diwartakan pada 21 Ogos 1958.

Sumber :- Bernama / Wikipedia / Majlis Raja-Raja

No comments: