Saturday, December 6, 2014

Istiadat Pertabalan Paduka Seri Sultan Perak ke-35 Dijadualkan Pada 06 Mei 2015


06 Disember 2014, Sabtu :-


Setiausaha Dewan Negara Perak Dato' Ayop Hashim dalam kenyataannya kepada Bernama semalam memaklumkan bahawa Istiadat Pertabalan Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-lah sebagai Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan ke-35 dijadualkan berlangsung pada 06 Mei 2015 mengikut adat istiadat Diraja Negeri Perak Darul Ridzuan. Istiadat ini akan berlangsung di Istana Iskandariah, Bukit Chandan, Bandar Diraja Kuala Kangsar, Perak. Tambah beliau lagi keputusan ini telah dibuat dengan nasihat Dewan Negara Perak yang bersidang pada 22 November 2014 serta atas perkenan Tuanku Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.


Istiadat Pertabalan setiap Sultan Perak mempunyai kesinambungan dengan tradisi pertabalan Sultan Perak  pertama Paduka Seri Sultan Muzaffar Shah yang diwarisi daripada adat resam pertabalan Sultan-Sultan Melaka pada kurun ke-15.  Istiadat Pertabalan ini terbahagi kepada dua bahagian iaitu Istiadat Tabal Adat dan Istiadat Tabal Pusaka.

Istiadat Tabal Adat akan berlangsung di Istana lskandariah pada pagi 06 Mei 2015 diikuti Istiadat Tabal Pusaka pada malam 07 Mei 2015.  Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-lah dan Duli Yang Maha Mulia Tuanku Zara Salim mengikut istiadat akan berangkat menziarahi makam-makam Sultan Perak terdahulu dan Orang Besar Perak yang terletak ditebing Sungai Perak dengan menaiki kenderaan laut yang dikenali sebagai Balai Gambang bernama Chempaka Sari.
.
Istiadat pertabalan akan diakhiri dengan keberangkatan Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Nazrin Muizzuddin Shah ke Beting Beras Basah untuk membasahkan kaki baginda di Beting berkenaan yang merupakan tempat Sultan Perak pertama, Paduka Seri Sultan Muzaffar Shah I (Marhum Tanah Abang 1528-1549) menjejakkan kaki baginda buat pertama kalinya di bumi Perak apabila bahtera baginda terkandas dibeting berkenaan semasa memasuki muara Sungai Perak.

Istiadat pertabalan ini akan dihadiri oleh KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Almu'tasimu Billahi Muhibbuddin Tuanku Alhaj Abdul Halim Mu'adzam Shah ibni Almarhum Sultan Badlishah, KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah, Raja Pemerintah, Raja Muda dan Tengku Mahkota, Yang Dipertua Negeri, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, jemaah menteri, perwakilan asing serta tetamu dari dalam dan luar negara.

Pelbagai acara berbentuk keagamaan dan acara yang akan melibatkan baginda Sultan dan pelbagai lapisan rakyat akan dijadualkan sepanjang tempoh sambutan Istiadat Pertabalan Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan ke-35.

Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-lah dimasyhurkan sebagai Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan ke-35 pada 29 May 2014 di Balairong Seri Istana Iskandariah berikutan kemangkatam Almarhum Paduka Ayahanda baginda, Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-lah ibni Almarhum Sultan Yusuf Izzuddin Shah pada 28 May 2014 bersamaan 28 Rejab 1435H di Institut Jantung Negara dalam usia 86 tahun. Perlantikan dan Pengisytiharan baginda sebagai Sultan Perak yang baru adalah mengikut Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak Fasal VI (I) dan (2). 

Dirgahayu Tuanku Patik.

Sumber :- Bernama / Biography Bergambar Sultan Azlan Shah / MBS

No comments: