26.01.2018, Jumaat :
Sultan Selangor, Duli Yang Maha Mulia Sultan
Sharafuddin Idris Shah Alhaj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah
Alhaj menganugerahkan Darjah Kerabat (DK) Yang Amat Dihormati kepada Sultan
Negeri Kedah Darul Aman, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Sallehuddin ibni
Almarhum Sultan Badlishah. Istiadat
berlangsung semalam di Balai Singahsana Istana Bukit Kayangan, Shah Alam Selangor.
Turut berangkat sama dalam
istiadat ini adalah Tengku Permaisuri Selangor, Duli Yang Maha Mulia Tengku
Permaisuri Norashikin dan Raja Muda Selangor, Duli Yang Teramat Mulia Tengku
Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj. KDYMM Sultan Kedah diiringi oleh Sultanah
Negeri Kedah Darul Aman, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultanah Maliha binti
Tengku Ariff, Raja Muda Kedah, Duli Yang Teramat Mulia Tengku Sarafudin
Badlishah Ibni Sultan Sallehuddin berserta 20 ahli rombongan diraja Kedah.
Sultan
Kedah mendahului senarai 103 penerima darjah dan bintang kebesaran Selangor
sempena Ulangtahun hari Keputeraan
Sultan Selangor ke 72 pada 11 Disember 2017. DK merupakan darjah kebesaaran
tertinggi di Selangor yang dizahirkan pada 1961 yang mengandungi seutas kalung,
lencana kalung, bintang darjah, selimpang dan lencana selimpang dengan bilangan keseluruhan maksimum
keahliannya seramai 25 individu. Darjah kebesaran ini dikurniakan kepada kaum kerabat
diraja dinegara ini selain raja negara lain sebagai tanda penghormatan dan persahabatan akrab dengan
Sultan Selangor.
Sumber : Bernama/My Metro/selangorroyalofficial/laman web rasmi darjah kebesaran Negeri Selangor/laman web rasmi pejabat penyimpan mohor besar raja-raja Malaysia