Tuesday, September 22, 2015

Istiadat Permakaman DYTM Raja Puan Muda Kedah Darul Aman Disempurnakan

22 September 2015, Selasa :-

Merafak Sembah Takziah kepada Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Kedah Darul Aman Tunku Haji Abdul Malik Ibni Almarhum Sultan Badlishah  diatas kemangkatan suri tercinta baginda Almarhumah Duli Yang Teramat Mulia Raja Puan Muda Kedah Darul Aman Tengku Hajah Raudzah Binti Almarhum Sultan Hisamuddin Alam Shah. Almarhumah yang berusia 86 tahun mangkat pagi semalam (21 September 2015) jam 10:15 pagi di Hospital Sultanah Bahiyah kerana sakit tua. Dengan kemangkatan ini, Kerajaan Negeri mengisytiharkan Negeri Kedah Darul Aman berkabung selama 7 hari bermula 21 hingga 27 September 2015. Segala bentuk hiburan, keraian dan perayaan adalah dibatalkan.  Bendera Persekutuan dan lain-lain dikibar separuh tiang selama tiga hari bermula 21 - 23 September 2015.

Almarhumah diputerikan pada 29 September 1929 di Istana Bandar Temasha, Kampung Bandar, Jugra, Kuala Langat, Selangor. Almarhumah merupakan kerabat diraja Selangor dan puteri Sulong kepada Almarhum  Sultan Hisamuddin Alam Shah Alhaj Ibni Almarhum Sultan Alaeddin Sulaiman Shah bersama suri baginda Allahyarhamah Che Puan Hajah Kalsom. Almarhumah merupakan Bonda Saudara kepada Sultan Selangor, Duli Yang Maha Mulia Sultan Sharafuddin Idris Shah ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.

Almarhumah berkahwin dengan DYTM Tunku Haji Abdul Malik pada 16 Julai 1956 dan dianugerahkan gelaran DYTM Raja Puan Muda Kedah pada tahun 1981. Pasangan diraja ini tidak dikurniakan sebarang cahayamata.


Shukur Alhamdulillah Istiadat Permakaman Almarhumah Duli Yang Teramat Mulia Raja Puan Muda Kedah Darul Aman Tengku Hajah Raudzah Binti Almarhum Sultan Hisamuddin Alam Shah  telah selamat disempurnakan dengan penuh adat istiadat diraja negeri Kedah Darul Aman petang semalam di Makam Diraja Langgar, Alor Setar, Kedah.

Click Gambar Untuk Imej Yang Lebih Besar.


Solat Jenazah diadakan di Dewan Penghadapan, Istana Anak Bukit diimamkan oleh Mufti Negeri Kedah, Datuk Paduka Syeikh Muhammad Baderudin Ahmad.


Jenazah disemayamkan di Dewan Penghadapan, Istana Anak Bukit selama satu jam bermula jam 04:00 petang untuk  Istiadat Penghormatan Terakhir.


KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong berangkat tiba di Dewan Penghadapan, Istana Anak Bukit kira-kira jam 04:30 petang dan berada kira-kira 15 minit di istiadat berkenan. Turut berangkat adalah DYMM Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan, DYTM Raja Muda Perlis, YTM Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah dan YTM anggota Jemaah Pemangku Sultan Kedah serta  kerabat-kerabat diraja.  Turut serta dalam istiadat ini adalah  Menteri Besar Kedah, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, barisan exco kerajaan negeri serta pegawai-pegawai kanan negeri dan tetamu lainnya


Jam 05:00 petang, pedati khas yang membawa jenazah Almarhumah berangkat keluar meninggalkan Istana Anak Bukit menuju ke Makam Diraja Langgar.



Jenazah dibawa melalui  jalan Lebuh Raya Darul Aman, Lebuhraya Sultanah Bahiyah dan Jalan Langgar.



Jenazah selamat berangkat tiba ke Makam Diraja lebih kurang jam 06:15 petang untuk Istiadat Permakaman. Istiadat Permakaman telah selamat disempurnakan pada jam 07:15 malam.



Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Kedah Darul Aman Tunku Haji Abdul Malik Ibni Almarhum Sultan Badlishah menyiram air mawar dan menabur bunga di makam Almarhumah suri baginda.


Al-Fatihah 
Semuga Rohnya Almarhumah Duli Yang Teramat Mulia Raja Puan Muda Kedah Darul Aman Tengku Hajah Raudzah Binti Almarhum Sultan Hisamuddin Alam Shah Ditempatkan Bersama-Sama Orang-Orang Yang Beriman Dan Beramal Solleh.

..... Amien .....

Sumber :- Bernama / Putra Kola / Mukhriz Mahathir FC / Lain-Lain Carian

No comments: