04 November 2015, Rabu :-
Semalam Sultan Johor, Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim ibni Almarhum Sultan Iskandar dalam laman facebook milik baginda memaklumkan bahawa baginda akan menderma sebanyak RM 1 juta kepada rumah anak-anak yatim di Johor sebagai menunaikan nazar baginda diatas kemenangan pasukan Johor Darul Takzin (JDT) yang telah menjulang Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 2015 yang diadakan di Dushanbe, Tajikistan baru-baru ini.
Baginda juga memaklumkan bahawa anakanda baginda, Tunku Mahkota Johor, Duli Yang Amat Mulia Tunku Ismail ibni Sultan Ibrahim juga bernazar untuk menderma kepada semua Masjid di Negeri Johor Darul Takzim jika pasukan JDT menjadi juara Piala AFC 2015. Walau bagaimanapun baginda tidak memaklumkan jumlah derma yang akan disumbangkan oleh DYAM Tunku Ismail.
Pasukan JDT menjuarai Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 2015 dengan menewaskan pasukan Istiklol FC 1-0 dalam perlawanan final Piala AFC yang berlangsung di Stadium Central Republik Dushanbe, Tajikstan pada 31 Oktober 2015. Gol disumbangkan oleh pemain import dari Argentina, Leandro Velazquez pada minit ke-22.
Sempena kemenangan ini, Negeri Johor telah mengisytiharkan 01 November 2015 lalu sebagai cuti khas peristiwa bagi seluruh Negeri Johor. Warga Johor akan berpeluang melihat Piala berkenaan dari dekat apabila iannya akan dipamerkan diseluruh daerah di Negeri Johor selepas keberangkatan tiba DYAM Tunku Ismail ke Johor pada 18 November 2015.
Sumber : Sultan Ibrahim Sultan Iskandar FB / Kosmo
No comments:
Post a Comment