19 Oktober 2013, Sabtu :-
Makam Tok Temong yang telah dinaik taraf.
Shukur Alhamdulillah proses menaik taraf Makam Tok Temong telah siap sepenuhnya pada Mei 2013. Kerja-kerja menaik taraf dimulakan pada hujung Januari 2013 dan Majlis Doa Selamat telah diadakan pada 14 Januari 2013. Pada 05 Julai 2013 telah diadakan Majlis Penyerahan Projek Kerja Ubahsuai Makam Tok Temong yang telah disempurnakan oleh Pengarah Kerja Raya Perak, Toh Paduka Setia Dato' Dr. Safry Haji Ahmad kepada Pengarah Lembaga Muzium Negeri Perak, Puan Nor Janti Ibrahim. Dari sumber yang didengar, kos menaik taraf Makam Tok Temong lebih kurang berjumlah hampir RM400,000.00.............Wallahu a’lam.
Makam Tok Temong sebelum kerja-kerja menaik taraf dilaksanakan
Siapakah Tok Temong? Jika anda seorang pencinta Sejarah atau anda berasal dari negeri Perak Darul Ridzuan, mungkin anda pernah mendengar cerita mengenainya. Mengikut ceritanya, Tok Temong ini adalah seorang wanita dan merupakan Pemerintah di Temong dalam kawasan Hulu Perak sebelum Kesultanan Perak wujud lagi. Beliau merupakan anak perempuan kepada Bendahara Tun Perak dari Melaka dan juga merupakan adinda kepada Tun Saban yang juga merupakan seorang pemerintah di Belum, Hulu Perak dan juga merupakan salah seorang individu yang mengadap Sultan Mahmud (Sultan Melaka Terakhir) di Kampar untuk meminta salah seorang putera baginda di Rajakan di Perak. Nama asal Tok Temung adalah Tun Perabu dan apabila dilantik sebagai pemerintah Temong, beliau menggunakan gelaran Tok Puan Putih. Selepas kemangkatannya, beliau dikenali sebagai Tok Temong.
Batu Nesan Tok Temong
Apabila Raja Mudzaffar ditabalkan sebagai Paduka Seri Sultan Perak pertama sekitar tahun 1528 disebuah kawasan bernama Tanah Abang, Tok Temung telah hadir ke Istiadat berkenaan dengan diiringi oleh 77 ekor gajah. Dalam istiadat ini Tok Temong telah menghadiahkan sebiji geliga bernama "Mestika Embun" kepada Raja Mudzaffar. Sebagai balasan, baginda telah mengurniakan sebuah bekas sirih yang dikenali sebagai Puan Bujur tetapi dikembalikan semula oleh Tok Temong kepada baginda.
Mestika Embun
Tok Temong hanya mahukan satu aku janji dimana baginda Sultan dan keturunanya hendaklah memerintah disebelah kanan mudik Sungai Perak manakala Tok Temong serta anak cucunya memerintah disebelah kiri mudik Sungai Perak. Baginda Sultan telah memberi perkenaan kepada permintaan Tok Temong. Sebab itulah Istana-Istana dan makam-makam Sultan-Sultan Perak pada zaman dahulu terletak disebelah kanan mudik Sungai Perak. Walau bagaimanapun Almarhum Sultan Idris Murshidul 'Adzam Shah telah mengubah tradisi ini dengan mengalihkan Istana, pusat pemerintahan dan makam-makam diraja disebelah kiri mudik Sungai Perak iaitu Bukit Chandan, Kuala Kangsar.
Kerja-kerja menaik taraf Makam Tok Temong sedang dijalankan.
Tok Temong mangkat di Kampong Temong dan dimakamkan dalam satu kawasan yang sekarang ini dikenali sebagai Kampung Temong Ulu, Mukim Chegar Galah, Kuala Kangsar terletak diantara Jalan Kota Lama ke Kati berhampiran Jambatan Iskandar. Tok Temung merupakan seorang individu yang mempunyai kedudukan yang tinggi di Perak dan dianggap keramat dimana setiap Sultan Perak yang baru ditabalkan adalah diwajibkan menziarahi makamnya terlebih dahulu sebelum menziarahi makam-makam Sultan lainnya. Mustika Embun pemberian Tok Temong kepada Sultan Perak Pertama merupakan salah satu Alat Kebesaran Diraja Negeri Perak Darul Ridzuan dan digunakan semasa Istiadat Pertabalan Sultan dari zaman dahulu hingga ke hari ini.
Toh Paduka Setia Dato' Dr. Safry Haji Ahmad dan Puan Nor Janti Ibrahim pada Majlis Penyerahan Projek Kerja Ubahsuai Makam Tok Temong.
Sumber :- JKR Perak/Artmelayu.blogspot/Individu-Individu yang tidak mahu namanya dikenali