Tuesday, September 22, 2015

Istiadat Permakaman DYTM Raja Puan Muda Kedah Darul Aman Disempurnakan

22 September 2015, Selasa :-

Merafak Sembah Takziah kepada Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Kedah Darul Aman Tunku Haji Abdul Malik Ibni Almarhum Sultan Badlishah  diatas kemangkatan suri tercinta baginda Almarhumah Duli Yang Teramat Mulia Raja Puan Muda Kedah Darul Aman Tengku Hajah Raudzah Binti Almarhum Sultan Hisamuddin Alam Shah. Almarhumah yang berusia 86 tahun mangkat pagi semalam (21 September 2015) jam 10:15 pagi di Hospital Sultanah Bahiyah kerana sakit tua. Dengan kemangkatan ini, Kerajaan Negeri mengisytiharkan Negeri Kedah Darul Aman berkabung selama 7 hari bermula 21 hingga 27 September 2015. Segala bentuk hiburan, keraian dan perayaan adalah dibatalkan.  Bendera Persekutuan dan lain-lain dikibar separuh tiang selama tiga hari bermula 21 - 23 September 2015.

Almarhumah diputerikan pada 29 September 1929 di Istana Bandar Temasha, Kampung Bandar, Jugra, Kuala Langat, Selangor. Almarhumah merupakan kerabat diraja Selangor dan puteri Sulong kepada Almarhum  Sultan Hisamuddin Alam Shah Alhaj Ibni Almarhum Sultan Alaeddin Sulaiman Shah bersama suri baginda Allahyarhamah Che Puan Hajah Kalsom. Almarhumah merupakan Bonda Saudara kepada Sultan Selangor, Duli Yang Maha Mulia Sultan Sharafuddin Idris Shah ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.

Almarhumah berkahwin dengan DYTM Tunku Haji Abdul Malik pada 16 Julai 1956 dan dianugerahkan gelaran DYTM Raja Puan Muda Kedah pada tahun 1981. Pasangan diraja ini tidak dikurniakan sebarang cahayamata.


Shukur Alhamdulillah Istiadat Permakaman Almarhumah Duli Yang Teramat Mulia Raja Puan Muda Kedah Darul Aman Tengku Hajah Raudzah Binti Almarhum Sultan Hisamuddin Alam Shah  telah selamat disempurnakan dengan penuh adat istiadat diraja negeri Kedah Darul Aman petang semalam di Makam Diraja Langgar, Alor Setar, Kedah.

Click Gambar Untuk Imej Yang Lebih Besar.


Solat Jenazah diadakan di Dewan Penghadapan, Istana Anak Bukit diimamkan oleh Mufti Negeri Kedah, Datuk Paduka Syeikh Muhammad Baderudin Ahmad.


Jenazah disemayamkan di Dewan Penghadapan, Istana Anak Bukit selama satu jam bermula jam 04:00 petang untuk  Istiadat Penghormatan Terakhir.


KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong berangkat tiba di Dewan Penghadapan, Istana Anak Bukit kira-kira jam 04:30 petang dan berada kira-kira 15 minit di istiadat berkenan. Turut berangkat adalah DYMM Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan, DYTM Raja Muda Perlis, YTM Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah dan YTM anggota Jemaah Pemangku Sultan Kedah serta  kerabat-kerabat diraja.  Turut serta dalam istiadat ini adalah  Menteri Besar Kedah, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, barisan exco kerajaan negeri serta pegawai-pegawai kanan negeri dan tetamu lainnya


Jam 05:00 petang, pedati khas yang membawa jenazah Almarhumah berangkat keluar meninggalkan Istana Anak Bukit menuju ke Makam Diraja Langgar.



Jenazah dibawa melalui  jalan Lebuh Raya Darul Aman, Lebuhraya Sultanah Bahiyah dan Jalan Langgar.



Jenazah selamat berangkat tiba ke Makam Diraja lebih kurang jam 06:15 petang untuk Istiadat Permakaman. Istiadat Permakaman telah selamat disempurnakan pada jam 07:15 malam.



Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Kedah Darul Aman Tunku Haji Abdul Malik Ibni Almarhum Sultan Badlishah menyiram air mawar dan menabur bunga di makam Almarhumah suri baginda.


Al-Fatihah 
Semuga Rohnya Almarhumah Duli Yang Teramat Mulia Raja Puan Muda Kedah Darul Aman Tengku Hajah Raudzah Binti Almarhum Sultan Hisamuddin Alam Shah Ditempatkan Bersama-Sama Orang-Orang Yang Beriman Dan Beramal Solleh.

..... Amien .....

Sumber :- Bernama / Putra Kola / Mukhriz Mahathir FC / Lain-Lain Carian

Monday, September 21, 2015

Duli Yang Teramat Mulia Raja Puan Muda Kedah Mangkat

21 September 2015, Isnin :- 
Al-Fatihah


Duli Yang Teramat Mulia Raja Puan Muda Kedah Darul Aman Tengku Hajah Raudzah Binti Almarhum Sultan Hisamuddin Alam Shah 

Setakat yang Syah ketahui, Almarhumah mangkat pagi ini lebih kurang jam 10:00 pagi di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar akibat sakit tua dan Istiadat Permakaman akan dijalankan selepas solat Asar di Makam Diraja Langgar, Alor Setar, Kedah Darul Aman. Sekarang jenazah berada di Istana Anak Bukit untuk Istiadat Penghormatan Terakhir dan dijadualkan berangkat  ke Makam Diraja jam 04:00 petang ini.


Semuga Rohnya Almarhumah DYTM Raja Puan Muda Kedah Darul Aman Tunku Hajah Raudzah Binti Almarhum Sultan Hisamuddin Alam Shah ditempatkan bersama-sama orang-orang yang beriman dan beramal solleh.

Amien.

Wednesday, September 16, 2015

Raja Arab Saudi Umum Pampasan Mangsa Kren Jatuh Di Masjidil Haram


16 September 2015, Rabu :-

Raja Arab Saudi, Raja Salman ibni Abdul Aziz bertitah bahawa 1 Juta Riyal atau RM 1.2 Juta akan diberikan kepada  waris mangsa yang terkorban dalam tragedi kren jatuh di Masjidil Haram pada Jumaat, 11 September 2015. Jumlah yang sama juga akan diterima oleh mangsa yang mengalami kecacatan kekal.  Sebanyak 500,000 riyal atau RM600,000.00 akan diberikan kepada mangsa yang tercedera.

Mangsa yang tidak mampu meneruskan ibadah haji pada tahun ini akan diundang sebagai tetamu diraja bagi mengerjakan ibadah haji pada tahun hadapan. Manakala bagi mangsa yang telah meninggal dunia, dua orang ahli waris mereka akan dijemput sebagai tetamu diraja untuk mengerjakan haji pada tahun hadapan. Kaum keluarga mangsa yang cedera pula dibenarkan datang untuk melawat dan menjaga mangsa dihospital dimana mereka akan diberi jaminan visa lawatan  sepanjang musim haji sehingga mangsa kembali ke negara masing-masing.

Tabung Haji dan Syarikat Takaful Malaysia Berhad sebelum ini mengumumkan bantuan sebanyak RM40,000.00 kepada semua waris mangsa yang terkorban. 

Hasil daripada siasiatan yang dijalankan, Kren yang dilaporkan jatuh itu diletakkan ditempat yang salah dan dalam posisi yang tidak selamat. Syarikat Saudi Binladin  telah diarah memberhentikan operasi mereka sehingga siasatan selesai. Dalam kejadian Jumaat lalu telah mengorbankan 111 orang manakala 331 orang tercedera termasuk lima rakyat Malaysia disahkan terkorban manakala dua lagi masih hilang.  Proses menaiktaraf Masjidil Haram yang dianggarkan bernilai 21 billion Dollar sedang giat dijalankan bagi meningkatkan kapisiti jemaah haji.


..... Al-Fatihah ....

Sumber :- Bernama Radio / Astro Awani

Monday, September 14, 2015

Sambutan Aidiladha Pada 24 September 2015


14 September 2015, Isnin :-

Malam tadi Penolong Setiausaha Majlis Raja-Raja, En Mohd Aseral Jusman mengumumkan bahawa tarikh sambutan Hari Raya Aidiladha (Hari Raya Qurban) adalah pada hari Khamis, 24 September 2015  bersamaan 10 Zulhijjah 1436.

“Bagi menyempurnakan titah perintah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, setelah diperkenankan oleh Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja, maka saya bagi pihak Penyimpan Mohor Besar Raja-raja Malaysia, dengan ini mengisytiharkan bahawa 1 Zulhijah 1436 Hijrah ialah pada 15hb September 2015 Masehi. Oleh yang demikian Hari Raya Qurban (10 Zulhijah) bagi Negeri-negeri seluruh Malaysia ditetapkan pada hari Khamis, 24hb. September 2015 Masehi.”

Sumber :- Bernama / Portal Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Malaysia / Astro Awani

Friday, September 4, 2015

Sultan Selangor Melawat Panda Gergasi

04 September 2015, Jumaat :-

Semalam Sultan Selangor, Duli Yang Maha Mulia Sultan Sharafuddin Idris Shah ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah telah berkenan mencemar duli melawat panda gergasi Xing Xing di Pusat Konservasi Panda Gergasi Zoo Negara. Keberangkatan Tuanku Sultan Selangor dan rombongan ke Zoo Negara semalam sempena Program Sambutan Hari Lahir ke-9 Xing Xing dan Liang Liang serta Perasmian Poskad Zoo Negara. 

Panda gergasi Liang Liang pula tidak kelihatan kerana sedang direhatkan setelah melahirkan anak bulan lepas. Turut serta mengiringi Tuanku Sultan selangor adalah Menteri Besar Selangor, Yang Amat Berhormat Azamin Ali dan  Presiden Zoo Negara, Datuk Seri Zaharin Md Arif.

Sumber :- Bernama/The Sun

Monday, August 31, 2015

Mengapa Al-Marhum Tunku Abdul Rahman Dimakamkan Di Kedah


Makam Diraja Langgar, Alor Setar, Kedah.

31 Ogos 2015, Isnin :-

Gambar diatas adalah Makam Bapa Kemerdekaan Malaysia iaitu Al-Marhum YTM Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj Ibni Al-Marhum Sultan Abdul Hamid Halim Syah.  Al-Marhum mangkat pada  06 Disember 1990 sewaktu berusia 87 tahun di Kuala Lumpur dan dimakamkan di Makam DiRaja Langgar, Alor Setar, Kedah. Manakala gambar dibawah adalah pusara Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri di Makam Pahlawan, Masjid Negara, Kuala Lumpur. Makam Al-Marhum ini Syah ambil pada Desember 2006 sewaktu ziarah ke Makam Diraja Langgar manakala gambar pusara di Makam Pahlawan ini Syah ambil pada November 2009.



Makam Pahlawan, Masjid Negara, Kuala Lumpur.

Jika anda pernah ke Masjid Negara, terdapat satu kubah di dalam kawasan Masjid Negara yang menempatkan pusara Perdana Menteri Malaysia dan Timbalan Perdana Menteri Malaysia. Manakala dibahagian luarnya terdapat beberapa pusara untuk mereka yang berjasa kepada negara.


Gambar pusara dalam kawasan Makam Pahlawan ini pula diambil pada April 2010.



@ Makam Pahlawan, May 2012.

Terbaca di FB dan sebuah blog pagi tadi yang menyatakan bahawa dalam wasiatnya Almarhum menolak  untuk dimakamkan di Makam Pahlawan tetapi memilih untuk dimakamkan di Makam Diraja Langgar yang merupakan kawasan permakaman keluarga diraja Kedah. 

Syah secara peribadi bersetuju dengan wasiat Al-Marhum itu kerana Al-Marhum merupakan keluarga diraja Kedah dan putera kepada Seorang Sultan dan Makam Diraja adalah tempat yang sesuai untuk persemadian jenazah Al-Marhum. Walau dimanapun Al-Marhum dimakamkan, struktur binaan makam Al-Marhum adalah sama seperti pusara-pusara Bekas Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri yang disemadikan didalam kubah Makam Pahlawan di Masjid Negara.

Al-Fatihah ........... Semuga Rohnya Al-Marhum YTM Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj Ibni Al-Marhum Sultan Abdul Hamid Halim Syah ditempatkan bersama-sama orang-orang yang beriman dan beramal solleh. Amien.


Tuesday, August 18, 2015

KDYMM Sultan Brunei Dan KDYMM Raja Isteri Berangkat ke Majlis Persantapan Pasukan Beruniform



18.08.2015, Selasa :-

Malam tadi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha binti Al-Marhum Pengiran Pemancha Pengiran Anak Haji Mohamed Alam telah berkenaan berangkat ke  Majlis Persantapan untuk Pegawai-Pegawai Keselamatan dan Pegawai Beruniform serta Pertubuhan-Pertubuhan Awam Beruniform sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan baginda Ke-69. Majlis diadakan di Istana Nurul Iman, Bandar Seri Bagawan.

Majlis dimulai dengan bacaan doa selamat oleh Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr.) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned.

KDYMM Tuanku Sultan juga telah berkenan beramah mesra dan menerima menerima mengadap para pegawai dan anggota pasukan beruniform terdiri daripada Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB), Pasukan Polis Diraja Brunei (PDB), Unit Simpanan Gurkha, Jabatan Kastam dan Eksais Diraja, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Laut, Jabatan Imigresen & Pendaftaran Kebangsaan dan Jabatan Penjara. 


KDYMM Tuanku Sultan juga kemudiannya beramah mesra dan menerima menerima mengadap ahli-ahli pertubuhan sukarelawan yang terdiri daripada Kadet ABDB, Kadet PDB, Kadet Bomba dan Penyelamat, Persekutuan Pengakap Negara Brunei Darussalam, Persatuan Pandu Puteri Negara Brunei Darussalam, Persatuan Bulan Sabit Merah dan Program Khidmat Bakti Negara (PKBN).

Turut berangkat dalam majlis ini adalah kerabat-kerabat diraja Negara Brunei Darussalam, Yang Amat Mulia Pengiran-Pengiran Cheteria, Menteri-Menteri Kabinet, Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat, Timbalan-Timbalan Menteri, Pengiran-Pengiran Peranakan, Pehin-Pehin Manteri, Manteri-Manteri Hulubalang dan Manteri-Manteri Pedalaman, para perwakilan asing ke negara ini, Setiausaha-Setiausaha Tetap dan ketua-ketua jabatan serta pegawai-pegawai kanan kerajaan.





Sumber :- Pelitabrunei

Saturday, August 15, 2015

Sambutan Hari Keputeraan Sultan Brunei Ke-69


15 Ogos 2015, Sabtu :- 

Sempena Sambutan Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang Ke-69, pagi tadi telah diadakan Istiadat Barisan Kehormatan di Taman Haji Sir Muda Omar 'Ali Saifuddien dan Istiadat  Mengadap dan Mengurniakan Bintang-Bintang Kebesaran yang berlangsung di Balai Singahsana, Istana Nurul Iman.


Sumber : Jabatan Penerangan 

Hari Keputeraan Sultan Brunei Ke-69


15 Ogos 2015, Sabtu :-

Merafak Sembah Setingi-Tinggi Tahniah

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien

Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam 

Sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Baginda yang Ke- 69 Tahun


Dirgahayu Tuanku

Semuga Allah Lanjutkan Usia Tuanku


Sembah Takzim Daripada

Maharum Bugis Syah

Tuesday, August 4, 2015

Tuanku Abdul Halim Sempurnakan Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan Menteri dan Timbalan Menteri

04 Ogos 2015, Selasa :-

Tengahari tadi lebih kurang jam 12:00hrs,  Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di- Pertuan Agong Almu'tasimu Billahi Muhibbuddin Tuanku Alhaj Abdul Halim Mu'adzam Shah ibni Almarhum Sultan Badlishah telah berkenan menyempurnakan Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Wilfred Madius Tangau.  Istiadat yang berlangsung di Bilik Singahsana Kecil, Istana Negara ini turut menyaksikan Angkat Sumpah Jawatan Timbalan Menteri kepada Nogeh anak Gumbet.

Datuk Wilfred Madius Tangau dan Nogeh anak Gumbet juga menandatangani surat angkat sumpah dan surat simpan rahsia yang disaksikan oleh Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa.

Turut serta dalam istiadat ini adalah Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan beberapa menteri kabinet lain.

Sumber :- Bernama

Tuesday, June 30, 2015

Pengiran Muda Mohammad Aiman Cucunda Baru Sultan Brunei


Click Gambar Untuk Imej Yang Lebih Besar

30 Jun 2015, Selasa

Inilah dia Cucunda baru Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.  Putera kecil ini diberi nama Yang Teramat Mulia Pengiran Muda Mohammad Aiman Ibni Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah.  YTM Pengiran Muda Mohammad Aiman  diputerakan pada 07 Jun 2015 bersamaan 20hb Syaaban, 1436H. 

Syah tidak sempat hendak kemaskini gambar ini awal kerana agak sibuk dengan kerja Syah. Beliau merupakan Putera kedua dan anakanda ketiga kepada Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah Ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah binti Pengiran Hj Salleh Ab. Rahman.

Sebelum kelahiran YTM Pengiran Muda Mohammad Aiman, pasangan diraja ini telah dikurniakan dengan sepasang cahayamata iaitu :-

  1. Yang Teramat Mulia Pengiran Muda 'Abdul Muntaqim ibni Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah. Diputerakan pada 17 Mac 2007. 
  2. Yang Teramat Mulia Pengiran Anak Muneerah Madhul Bolkiah binti Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah. Diputerikan pada 02 Januari 2011.

Wednesday, June 17, 2015

Kurma Kurniaan Sultan Brunei



17 Jun 2015, Rabu :-

Syah mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Menyambut Ramadhan Al-Mubarak dan Selamat Berpuasa kepada semua. Bercakap mengenai persiapan bulan puasa, baru-baru ini Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah berkenan menyumbangkan buah kurma untuk setip warga Brunei dan warga asing yang berugama Islam. Buah kurma ini diagihkan kepada penerima oleh Ketua-Ketua Kampung dan wakil yang dilantik.

Tuesday, June 9, 2015

Pengiran Muda Mahkota & PAIPA Sarah Dikurniakan Seorang Putera

09 Jun 2015, Selasa :-

Shukur Alhamdulillah dan Merafak Sembah Tahniah kepada Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah Ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah kerana telah dikurniakan seorang Putera. Isteri baginda, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah binti Pengiran Hj Salleh Ab. Rahman telah melahirkan seorang putera pada hari Ahad lepas 07 Jun 2015 bersamaan 20hb Syaaban, 1436H.  Kelahiran putera diraja ini disambut dengan tembakan meriam 19 das di perkarangan Istana Nurul Iman di Bandar Seri Bagawan.


Sebelum kelahiran putera ini, pasangan diraja ini telah dikurniakan dengan sepasang cahayamata iaitu :-
  1. Yang Teramat Mulia Pengiran Muda 'Abdul Muntaqim ibni Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah. Diputerakan pada 17 Mac 2007.
  2. Yang Teramat Mulia Pengiran Anak Muneerah Madhul Bolkiah binti Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah. Diputerikan pada 02 Januari 2011.

Monday, May 18, 2015

Sultan Perak Sempurnakan Istiadat Menutup Kerja sempena Istiadat Pertabalan Paduka Seri Sultan Perak XXV (ke-35)

Click gambar untuk Imej yang lebih besar
17 May 2015, Ahad :-

Tengahari semalam Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-lah telah menyempurnakan Istiadat Menutup Kerja sempena Istiadat Pertabalan Paduka Seri Sultan Perak XXV (ke-35) di Istana Iskandariah. Dalam titah Baginda, Tuanku Sultan Nazrin memaklumkan segala kerja berkaitan istiadat pertabalan Baginda telah selamat disempurnakan. Baginda juga turut menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang telah memberikan komitmen penuh dalam menjayakan acara-acara yang telah dijadualkan sepanjang istiadat pertabalan berlangsung.

Baginda juga amat menghargai kehadiran rakyat jelata yang menyambut keberangkatan baginda disetiap lokasi yang diziarahi serta disetiap majlis yang diadakan. Baginda mengangapnya sebagai satu hadiah yang paling berharga bagi Baginda dan Raja Permaisuri.

Titah Baginda lagi, menziarah makam adalah sebahagian daripada istiadat yang telah diamalkan turun-temurun oleh Sultan yang baharu ditabalkan dan pengalaman itu telah menginsafkan baginda kepada tiga perkara. :-
  1. Darjat dan jawatan di dunia adalah sementara sifatnya, setiap insan akan dikembalikan kepada asal usul kejadiannya oleh ALLAH yang Maha Pencipta, dari tanah kita dicipta kepada tanah kita kembali.
  2. Setiap seorang Sultan terdahulu telah berjasa dan masing-masing mencipta sejarah pemerintahan. Oleh itu, Sultan yang terkemudian tidak wajar bersifat membesar diri, membelakangi mereka, tetapi wajib mengambil pengajaran dari pengalaman Sultan terdahulu untuk dijadikan pedoman.
  3. Keinsafan pengalaman menjejakkan kaki di Beting Beras Basah dan pengalaman menziarahi makam-makam telah mengimbaas kembali tentang susah payah sultan Perak terdahulu untuk mengasaskan sebuah negeri dan pemerintahan dengan kemudahan yang sangat terbatas.
Titah Baginda lagi, adalah menjadi tanggungjawab besar baginda untuk memberikan payung naungan pemerintahan yang dapat menyatukan rakyat yang berbilang agama, berbilang kaum, berbilang budaya dari pelbagai latar belakang sosial, ekonomi, politik dan usia agar terus kekal bersatu, hidup dalam harmoni dan saling bekerjasama memakmurkan negeri Perak. Baginda turut menzahirkan kesyukuran di atas pengajaran yang diperoleh daripada pengalaman melawat makam dan menjejakkan kaki di Beting Beras Basah.

Diantara Titah Baginda :-

  • "Hari ini selesailah segala acara istiadat pertabalan. Beta menzahirkan penghargaan kepada Paduka Ayahanda Raja Muda dan Paduka bonda Raja Puan Besar serta kepada Paduka kakanda Raja Di-Hilir dan Raja Puan Muda yang telah bersama mempamerkan semangat bersama untuk memulihara kedaulatan takhta Kerajaan Perak Darul Ridzuan".
  • "Penghargaan turut dizahirkan kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar, kepada Yang Amat Berbahagia Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja dan Yang Berhormat Setiausaha Kerajaan Negeri yang telah memberikan pimpinan berkesan kepada ahli-ahli Jawatankuasa yang terdiri daripada Orang Besar Negeri dan kakitangan kerajaan menguruskan pelbagai acara".
  • "Kepada setiap ahli jawatankuasa dan kepada setiap pihak yang terlibat Beta menzahirkan ucapan terima kasih".
  • Semangat kerjasama dan kesatuan matlamat ini hendaklah diterapkan sebagai budaya kerja untuk memajukan negeri Perak Darul Ridzuan.
  • Sebarang kekurangan, sebarang kecacatan adalah sebahagian daripada sifat semula jadi kelemahan insan untuk membuktikan bahawa hanya Allah SWT yang memiliki sifat-sifat kesempurnaan".


Sumber : Bernama / Perak Today

    Sunday, May 17, 2015

    Hari Keputeraan Raja Perlis Ke-72



    Merafak Sembah Setinggi-Tinggi Tahniah 

    Duli Yang Maha Mulia Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail

    Raja Bagi Negeri Perlis dan Seluruh Jajahan Takluknya

    Sempena

    Ulang Tahun Hari Keputeraan Baginda Yang Ke-72
    17 May 2015 bersamaan 28 Rejab 1436

    Dirgahayu Tuanku
    Semuga Allah Lanjutkan Usia Tuanku


    Sembah Takzim Daripada


    Maharum Bugis Syah

    Friday, May 15, 2015

    Istiadat Mencecah Kaki ke Beting Beras Basah Sempena Istiadat Pertabalan Paduka Seri Sultan Perak XXXV


    15 May 2015, Jumaat :-

    Sebagai menyempurnakan Istiadat Pertabalan Paduka Seri Sultan Perak XXXV (Ke-35), Istiadat Mencecah Kaki ke Beting Beras Basah telah dijalankan pagi semalam 14 May 2015 di Beting Beras Basah, Bagan Datoh, Perak. Beting Beras Basah merupakan kawasan lubuk pusar yang ada ketikanya timbul dan ada ketikannya tenggelam apabila air pasang. Keadaan pasirnya keras dan bewarna putih seluas padang bola. Adalah menjadi perkara wajib bagi setiap Sultan Perak menziarahi Beting Beras Basah setelah sempurna ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan dan Raja Pemerintah bagi Jajahan Takluk Negeri Perak Darul Ridzuan 

    Beting Beras Basah merupakan kawasan dimana Bahtera Raja Muzaffar (Paduka Seri Sultan Muzaffar Shah) dikatakan  dilanda ribut taufan dan ombak besar lalu tersangkut di beting ini  ketika pertama kali memasuki Negeri Perak setelah dijemput oleh Pembesar Perak untuk dirajakan sebagai Paduka Seri Sultan Perak 1 pada 1528. Baginda terpaksa membuang segala peralatan didalam bahtera beginda kecuali alat kebesaran diraja bagi memudahkan bahtera Baginda bergerak. 

    Menurut cerita, jin yang menjaga lubuk pusar itu, Datuk Maharaja Siraja Jin, meminta baginda membuang mahkota yang dipakai ke laut dan Baginda mematuhi arahana berkenaan. Setelah itu ribut taufan dan ombak besar berhenti lalu baginda berseru :-

    Selilit Tanah Minangkabau,
    Selengkung Pulau Perca,
    Dilengkung ular Saktimuna,
    Sebenarnya Aku keturunan Raja,
    Jauhkan segala malapetaka,
    Perpisahan Aku di Selat Melaka....

    Setelah selesai baginda berseru, barulah bahtera baginda bergerak ke tebing dan disambut oleh rakyat Perak yang diketuai oleh Tun Saban. Ada juga yang menyatakan, Raja Muzaffar terpaksa menyelam ke dasar laut selama tujuh hari tujuh malam untuk mengadakan perjanjian dengan makhluk ghaib yang menjaga kawasan berkenaan.  Didasar tasik juga dikatakan ada sebuah kerajaan yang diperintah oleh tujuh Jin. Kawasan ini juga dipercayai sebagai tempat pawang/bomoh memenjarakan mahluk ghaib yang jahat dari zaman dahulu hingga sekarang. Kawasan ini juga dikatakan pusat mahluk ghaib seluruh dunia serta perkampungan orang Bunian. wallahualam bissawab.

     Click Gambar Untuk Imej Yang Lebih Besar
      
      Click Gambar Untuk Imej Yang Lebih Besar
      Click Gambar Untuk Imej Yang Lebih Besar
      Click Gambar Untuk Imej Yang Lebih Besar
      Click Gambar Untuk Imej Yang Lebih Besar
    Click Gambar Untuk Imej Yang Lebih Besar

    Berbalik kepada Istiadat Mencenah Kaki ke Beting Beras Basah yang berlangsung semalam, Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-lah dan rombongan diraja berangkat tiba ke Jeti Bagan Datoh lebih kurang jam 06:45hrs dan disambut rakyat jelata yang telah menunggu keberangkatan Baginda seawal jam 06:00hrs. Bacaan doa dan selawat diadakan sebelum Baginda berangkat ke Beting Beras Basah menaiki bot amphibian milik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia. Keberangkatan baginda diiringi oleh beberapa buah bot yang membawa anggota keselamatan, perubatan dan petugas media.

    Diantara yang mengiringi Baginda adalah Menteri Besar Perak Dato’ Seri Diraja Dr Zambry Abdul Kadir,  Orang Kaya-Kaya Imam Paduka Tuan Dato’ Dr Afifi Al-Akiti, Toh Seri Nara Diraja Mohd Shah Nong Chik dan Raja Cik Muda Pawang Diraja Raja Rosli Raja Mohamad. Hadir sama adalah Anggota Parlimen Bagan Datoh yang juga merupakan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahidi Hamidi.

    Baginda tiba di Beting Beras Basah sekitar jam 07:20hrs. Baginda kemudiannya mencelupkan kaki dan membasahkan muka Baginda di Beting Beras Basah sebagai tanda Baginda telah selamat sampai ke Beting Beras Basah. Doa dibacakan oleh Orang Kaya-Kaya Imam Paduka Tuan Dato’ Dr Afifi Al-Akiti diikuti seru “Daulat Tuanku” sebanyak 3 kali.

    Setelah Istiadat Mencecah Kaki ke Beting Beras Basah disempurnakan, Baginda dan rombongan berangkat pulang ke Jeti Beting Beras Basah dan berkenan mencemar duli menjamu selera bersama rakyat di Kompleks Pelancongan Bagan Datoh.

    Sumber : Abdullah Jumain Abu Samah (UKM)/Mohd Ariffin Dahlan (Pak Engku)/Jabatan Penerangan Malaysia / Bernama

    Wednesday, May 13, 2015

    Sultan Perak dan Raja Permaisuri Menaiki Balai Gambang Sempena Istiadat Menziarahi Makam-Makam Sultan dan Pemerintah Perak

    Click gambar untuk Imej yang lebih besar

    13 May 2015, Rabu :-

    Istiadat Menziarahi Makam-Makam Sultan dan Pemerintah Perak yang terdahulu sempena Istiadat Pertabalan Paduka Seri Sultan Perak XXXV (Ke-35) diteruskan lagi hari ini dimana DYMM Paduka Seri Sultan Perak dan DYMM Raja Permaisuri Perak menziarahi lima makam Sultan Perak di sepanjang Sungai Perak dari Pasir Salak ke Teluk Intan. Bagi ziarah kali ini Baginda dan rombongan menaiki Balai Gambang yang dinamakan Cempaka Sari. Baginda dan rombongan Diraja berangkat tiba di perkarangan Jeti Pasir Salak lebih kurang jam 09:30hrs disambut dengan paluan kompang, selawat dan bacaan doa.

    Click gambar untuk Imej yang lebih besar
    Click gambar untuk Imej yang lebih besar
    Click gambar untuk Imej yang lebih besar
    Click gambar untuk Imej yang lebih besar


    Balai Gambang merupakan sejenis rakit besar atau bot berhias dibina khas sempena Istiadat Istiadat Pertabalan Paduka Seri Sultan Perak XXXV (Ke-35). Iannya masih mengekalkan reka bentuk dan hiasan tradisi Melayu Perak seperti yang pernah digunakan semasa pertabalan Sultan Azlah Shah. Balai Gambang dikendalikan oleh Jurumudi khas daripada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Perak. Mereka adalah anak beranak dimana si ayah mempunyai pengalaman mengemudkan Balai Gambang ketika pertabalan Sultan Azlan Shah.

    Balai Gambang ini berukuran 12.2 meter panjang dan 6.1 meter lebar dengan berat 4.5 tan dan boleh membawa 10 hingga 15 penumpang pada satu-satu masa. Balai Gambang digerakkan oleh tiga buah enjin sangkut yang masing-masing berkuasa kuda 150 sentimeter padu (cc). Bahan-bahan yang digunakan bagi pembinaan Balai Gambang ini terdiri daripada gentian kaca yang lebih ringan dan kuat serta menggunakan kayu dan besi untuk mendapatkan struktur yang lebih kukuh.Balai Gambang kali ini dibina agak kecil dari kebiasaannya kerana DYMM Paduka Seri Sultan Perak tidak bersemayam atau beradu didalam Balai Gambang ini. 

    Balai Gambang Cempaka Sari dibina oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Perak dengan kerjasama Institut Teknologi Kejuruteraan Marin Malaysia, Universiti Kuala Lumpur (UniKL MIMET) di Lumut . Seramai 35 anggota JKR dan 13 tenaga pakar dan pelajar UniKL terlibat dalam pembinaan Balai Gambang ini. Kerja-kerja pembinaan dilakukan di Litar Datuk Sagor bermula Januari 2015.

    Balai Gambang mula diperkenalkan sewaktu pemerintahan Paduka Seri Sultan Perak ke-15, Almarhum Sultan Iskandar Dzulkarnain dimana iannya digunakan sewaktu Baginda berpindah dari Pulau Cempaka Sari ke Pulau Indera Sakti di daerah Perak Tengah sekitar tahun 1754.  Walau bagaimanapun Balai Gambang digunakan sebagai alat kelengkapan khusus untuk Istiadat Pertabalan hanya pada tahun 1754 sewaktu pertabalan Paduka Seri Sultan Perak Ke-16, Almarhum Sultan Mahmud Shah atau Marhum Muda.

    Pada ketika itu, Balai Gambang diperbuat daripada buluh kuning atau buluh gading sehinggalah pada tahun 1963 ketika pertabalan Paduka Seri Sultan Perak Ke-33, Almarhum Sultan Idris Almutawakkil Allallahi Syah, kayu dan besi digunakan bagi menggantikan buluh untuk mendapatkan binaan yang lebih teguh dan kemas. 

    Sumber :- Fairul / Perak Today / Jabatan Penerangan Malaysia / mynewshub.cc / Bernama